SDI 2090: Hukum Meninggikan Suara Dengan Berzikir Ketika Mengiringi Jenazah ke Tanah Perkuburan

Soalan:

Apakah hukum meninggikan suara dengan berzikir atau membaca al-Quran ketika mengiringi jenazah ke tanah perkuburan? Adakah terdapat keadaan yang membolehkan zikir secara kuat dilakukan ketika mengiringi jenazah? Begitu juga, bagi tujuan memberi peringatan, kita menyeru orang ramai supaya memohon keampunan untuk jenazah dengan berkata, “Mohonlah keampunan untuk saudara kamu ini”?

Jawapan:

Makruh hukumnya meninggikan suara dengan zikir atau bacaan al-Quran ketika berjalan mengiringi jenazah. Begitu juga, tidak disukai perbuatan menyeru orang ramai dengan lafaz tertentu supaya memohon keampunan untuk jenazah, kerana amalan yang lebih menepati panduan yang dinyatakan oleh para ulama ialah berdiam diri, merenung tentang kematian dan mengambil pengajaran daripadanya.

Al-Imam al-Baihaqi meriwayatkan Qais bin ‘Ubadah (قيس بن عبادة) رحمه الله yang berkata:

كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ يَكْرَهُونَ رَفْعَ صَوْتٍ عِنْدَ الْجَنَائِزِ، وَعِنْدَ الْقِتَالِ، وَعِنْدَ الذِّكْرِ

“Para sahabat Rasulullah ﷺ tidak menyukai perbuatan meninggikan suara ketika mengiringi jenazah, ketika peperangan dan ketika berzikir.”

Berdasarkan nukilan ini, amalan ketika mengiringi jenazah hendaklah dilakukan dengan tenang dan tidak meninggikan suara dengan zikir atau bacaan al-Quran.

Imam al-Bayhaqi رحمه الله berkata:

وَرَوَيْنَا عَنْ سَعِيدِ بْنِ الْمُسَيِّبِ، وَالْحَسَنِ الْبَصْرِيِّ، وَسَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ، وَإِبْرَاهِيمَ النَّخَعِيِّ: أَنَّهُمْ كَرِهُوا أَنْ يُقَالَ فِي الْجَنَازَةِ: اسْتَغْفِرُوا لَهُ غَفَرَ اللهُ لَكُمْ

“Kami meriwayatkan daripada Sa‘id bin al-Musayyib, al-Hasan al-Basri, Sa‘id bin Jubayr dan Ibrahim al-Nakha‘i bahawa mereka (para sahabat) tidak menyukai ucapan yang disebut ketika mengiringi jenazah: “Mohonlah keampunan untuknya (jenazah), semoga Allah mengampuni kamu semua.”

Maksudnya, para sahabat tidak menyukai perbuatan seseorang menyeru orang ramai ketika mengiringi jenazah dengan lafaz tersebut.

Dalam Hasyiah al-Tuhfah dinyatakan:

أَنَّهُمْ كَرِهُوا أَنْ يَقُولَ الْمُنَادِي مَعَ الْجَنَازَةِ: «اسْتَغْفِرُوا لِأَخِيكُمْ» لِأَنَّ الْمَشْرُوعَ السُّكُوتُ،

Mereka (para sahabat) tidak menyukai perbuatan seseorang yang menyeru ketika mengiringi jenazah dengan berkata: “Mohonlah keampunan untuk saudara kamu ini (jenazah).”

Hal ini kerana amalan yang disyariatkan ialah berdiam diri. Oleh sebab itu, disebut dalam kitab Tuhfah:

بَلْ يَسْكُتُ مُتَفَكِّرًا فِي الْمَوْتِ، وَمَا يَتَعَلَّقُ بِهِ، وَفَنَاءِ الدُّنْيَا، ذَاكِرًا بِلِسَانِهِ سِرًّا لَا جَهْرًا، لِأَنَّهُ بِدْعَةٌ قَبِيحَةٌ

“Bahkan, hendaklah seseorang berdiam diri sambil merenung tentang kematian, perkara-perkara yang berkaitan dengannya dan kefanaan dunia. Hendaklah dia berzikir dengan lidahnya secara perlahan bukan secara kuat dan terang-terangan, kerana perbuatan tersebut merupakan suatu bid‘ah yang buruk.”

Berdasarkan penjelasan ini, orang yang mengiringi jenazah disarankan supaya menjaga ketenangan, mengingati kematian dan mengambil iktibar daripada perjalanan menuju ke tempat pengebumian. Zikir secara perlahan dan tidak mengganggu orang lain adalah menepati panduan syara’.

Adakah terdapat keadaan yang membolehkan zikir secara kuat?

Terdapat dalam kalangan ulama yang berpandangan hukum makruh tersebut terangkat apabila terdapat sangkaan yang kuat dalam kalangan orang yang mengiringi jenazah bahawa kesibukan mereka dengan berzikir secara kuat dapat menghalang mereka daripada melakukan kemaksiatan, seperti mengumpat. Dalam Hasyiah al-Syirwani ‘ala Tuhfat al-Muhtaj, juz 3, hlm. 187. al-Syirwani menukil pendapat al-Sayyid ‘Umar al-Basri dengan rumus «بَصْرِيٌّ». Beliau mensyarahkan perkataan Ibn Hajar tentang Ibn ‘Umar yang berkata «لا غفر الله لك» kepada orang yang berseru «استغفروا لأخيكم» ketika mengiringi jenazah:

...ثُمَّ الظَّاهِرُ أَنَّهُ حَيْثُ غَلَبَ عَلَى الظَّنِّ أَنَّ اشْتِغَالَهُمْ بِالْجَهْرِ بِالذِّكْرِ يَمْنَعُ مِنْ مَعْصِيَةٍ كَنَحْوِ غِيبَةٍ نُزُولُ الْكَرَاهَةِ. بَصْرِيٌّ. أَقُولُ: تَأْوِيلُهُ الْحَدِيثَ بِمَا ذُكِرَ حَسَنٌ جَيِّدٌ فِي الْغَايَةِ...

...Kemudian, yang zahir ialah apabila berat sangkaan bahawa kesibukan mereka dengan menyaringkan zikir dapat menghalang daripada maksiat, seperti mengumpat dan seumpamanya, maka hukum makruh itu terangkat. (Demikian kata al-Basri.) Aku (al-Syirwani) berkata: Takwilan beliau terhadap hadis itu dengan makna yang telah disebutkan adalah baik dan amat elok sekali...

Ini bermakna, menurut nukilan tersebut, terdapat keadaan tertentu yang menyebabkan hukum makruh itu terangkat, iaitu apabila zikir secara kuat dijangka dapat menghalang kemaksiatan. Namun, hal ini tidak bermaksud zikir secara kuat hendaklah dijadikan amalan tetap atau dianggap sebagai tuntutan khusus ketika mengiringi jenazah.

Kesimpulan

  1. Makruh meninggikan suara dengan zikir atau bacaan al-Quran ketika berjalan mengiringi jenazah.
  2. Tidak disukai perbuatan menyeru orang ramai dengan lafaz tertentu supaya memohon keampunan untuk jenazah.
  3. Amalan yang sepatutnya ialah berdiam diri, mengingati kematian dan mengambil pengajaran daripadanya, di samping berzikir secara perlahan.
  4. Hukum makruh boleh terangkat dalam keadaan yang dinyatakan oleh al-Sayyid al-Basri, iaitu apabila zikir secara kuat dijangka dapat menghalang kemaksiatan seperti mengumpat.

 


Cetak  
Wallahu a'lam