SDI 2091: Wasiat Sembelih Haiwan di Kubur

Soalan:

Ayah saya baru meninggal dunia. Sebelum meninggal, beliau berwasiat supaya seekor kambing disembelih di kuburnya selepas dikebumikan, dan dagingnya dimasak untuk kenduri arwah. Sebahagian saudara mara mahu menggunakan duit pusaka untuk menunaikan wasiat itu, termasuk mengadakan kenduri malam pertama dan kenduri hari keempat puluh. Ayah masih ada sedikit hutang, dan adik bongsu saya masih kecil. Adakah wasiat ini wajib ditunaikan, dan bolehkah duit pusaka digunakan untuk semua itu?

Jawapan:

Menyembelih binatang di atas kubur atau di sisi kubur bukan amalan yang diajar oleh syarak. Para ulama mazhab Syafi’i menyifatkannya sebagai amalan jahiliah dan bid’ah yang tercela. Huraiannya seperti berikut:

Hukum Menyembelih di Kubur

Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfat al-Muhtaj berkata:

وَالذَّبْحُ عَلَى الْقَبْرِ، قَالَ بَعْضُهُمْ: مِنْ صَنِيعِ الْجَاهِلِيَّةِ أ.هـ وَالظَّاهِرُ: كَرَاهَتُهُ، لِأَنَّهُ بِدْعَةٌ، فَلَا تَصِحُّ الْوَصِيَّةُ بِهِ أَيْضًا

“Menyembelih di atas kubur, pandangan sebahagian ulama bahawa perbuatan ini termasuk amalan jahiliah. Dan yang zahir ialah hukumnya makruh kerana ia bid’ah, tidak perlu dilaksanakan wasiatnya.”

Al-Imam Syamsuddin al-Ramli dalam Nihayat al-Muhtaj berkata:

«وَالذَّبْحُ وَالْعَقْرُ عِنْدَ الْقَبْرِ مَذْمُومٌ لِلنَّهْيِ»

“Menyembelih dan menetak binatang di sisi kubur adalah tercela kerana adanya larangan.”

Status Wasiat Arwah

Wasiat untuk menyembelih di kubur tidak sah, maka waris tidak perlu menunaikannya. Ini kerana wasiat hanya sah pada perkara yang baik atau harus dalam syara’, sedangkan perbuatan ini makruh dan bid’ah. Ibn Hajar menegaskan selepas menghukumnya makruh:

«فَلَا تَصِحُّ الْوَصِيَّةُ بِهِ أَيْضًا»

“Maka wasiat dengannya juga tidak sah.”

Kenduri Malam Pertama, Hari Keempat Puluh dan Seumpamanya

Syeikh Sulaiman al-Bujairimi dalam Hasyiahnya atas Syarh al-Manhaj memasukkan beberapa amalan dalam senarai bid’ah yang mungkar, beliau berkata:

وَمِنْ الْبِدَعِ الْمُنْكَرَةِ : مَا يَفْعَلُهُ النَّاسُ مِمَّا يُسَمَّى بِالْكَفَّارَةِ، وَمِنْ صُنْعِ طَعَامٍ إلَى الْأَرْبَعِينَ لِاجْتِمَاعٍ عَلَيْهِ قَبْلَ الْمَوْتِ وَبَعْدَهُ، وَمِنْ الذَّبْحِ عَلَى الْقَبْرِ، وَمِنْ الْوَحْشَةِ وَالْجَمْعِ وَالْأَرْبَعِينَ وَنَحْوِ ذَلِكَ؛ بَلْ كُلُّ ذَلِكَ حَرَامٌ إنْ كَانَ مِنْ مَالٍ مَحْجُورٍ وَلَوْ مِنْ التَّرِكَةِ، أَوْ مِنْ مَالِ مَيِّتٍ عَلَيْهِ دَيْنٌ أَوْ تَرَتَّبَ عَلَيْهِ ضَرَرٌ أَوْ نَحْوُ ذَلِكَ. وَاَللَّهُ أَعْلَمُ

“Antara bid’ah yang mungkar ialah: apa yang dilakukan orang ramai yang dinamakan ‘kaffarah’; membuat makanan sehingga hari keempat puluh untuk orang berkumpul makan, sama ada sebelum kematian atau selepasnya; menyembelih di atas kubur; (kenduri) al-wahsyah, al-jam‘u, al-arba’in dan seumpamanya. Bahkan semua itu haram jika (dibiayai) daripada harta orang yang di bawah hajr (sekatan), walaupun daripada harta pusaka; atau daripada harta si mati yang menanggung hutang; atau jika ia mendatangkan mudarat, atau seumpamanya. Wallahu a’lam.”[1]

Menggunakan Duit Pusaka Untuk Melaksanakan Wasiat Sembelih di Kubur

Al-Bujairimi menyatakan semua amalan di atas menjadi haram, bukan sekadar makruh, jika:

  • belanjanya diambil daripada harta orang di bawah hajr (seperti kanak-kanak yang belum baligh), walaupun daripada harta pusaka;
  • si mati masih menanggung hutang;
  • ia mendatangkan mudarat kepada mana-mana pihak.

Dalam situasi tuan, ayah masih berhutang dan adik bongsu masih kecil. Maka tidak boleh menggunakan harta pusaka untuk sembelihan di kubur atau kenduri-kenduri tersebut. Ini kerana sebahagian harta itu adalah hak pemiutang dan hak adik yang belum mampu mengurus hartanya sendiri.

Kesimpulan

  1. Wasiat arwah supaya disembelih kambing di kuburnya tidak sah dan tidak perlu ditunaikan.
  2. Harta pusaka hendaklah digunakan dahulu untuk menjelaskan hutang arwah. Bakinya dibahagikan kepada waris, dan bahagian adik yang masih kecil dipelihara.
  3. Menggunakan harta pusaka untuk sembelihan di kubur atau kenduri malam pertama, hari Jumaat dan hari keempat puluh, sedangkan masih ada hutang dan waris yang masih kecil, hukumnya haram.

[1] Ketiga-tiga istilah ini merujuk kepada jamuan makanan yang disediakan oleh keluarga si mati untuk orang ramai berkumpul, pada malam atau hari tertentu selepas kematian.

1. Al-Wahsyah (الوَحْشَة). Dari segi bahasa, wahsyah bermaksud kesunyian atau kesepian. Ia dikaitkan dengan malam pertama si mati bersendirian di dalam kubur. Syeikh Nawawi al-Bantani dalam Nihayat al-Zain (hlm. 281) mentakrifkannya dengan jelas:

«أَمَّا الطَّعَامُ الَّذِي يَجْتَمِعُ عَلَيْهِ النَّاسُ لَيْلَةَ دَفْنِ الْمَيِّتِ الْمُسَمَّى بِالْوَحْشَةِ فَهُوَ مَكْرُوهٌ مَا لَمْ يَكُنْ مِنْ مَالِ الْأَيْتَامِ وَإِلَّا فَيَحْرُمُ»

“Adapun makanan yang orang ramai berkumpul untuk menikmatinya pada malam pengebumian si mati, yang dinamakan al-wahsyah, hukumnya makruh selagi tidak diambil daripada harta anak yatim. Jika daripada harta anak yatim, maka haram.”

Dalam masyarakat kita, ini ialah kenduri malam pertama selepas pengebumian.

2. Al-Jumu’ (الجُمَع). Ia ialah kata jamak bagi jumu’ah (hari Jumaat). Hasyiah al-Jamal (2/216), yang menukil teks yang sama, membariskannya «الْجُمَعِ». Maksudnya kenduri yang diadakan pada hari-hari Jumaat selepas kematian. Dalam sesetengah cetakan Hasyiah al-Bujairimi, ia tertulis «الْجَمْعِ» (perhimpunan).

3. Al-Arba’in (الأَرْبَعِين). Ia bermaksud kenduri hari keempat puluh selepas kematian. Al-Bujairimi juga menyebut amalan berkaitan, iaitu menyediakan makanan secara berterusan sehingga hari keempat puluh: «صُنْعِ طَعَامٍ إِلَى الْأَرْبَعِينَ».

4. “Dan seumpamanya” (وَنَحْوِ ذَلِكَ) Ini merangkumi kenduri pada hari-hari lain yang sudah menjadi adat sempena kematian. Nihayat al-Zain menyebut adat masyarakat bersedekah untuk si mati pada hari ketiga, ketujuh, kedua puluh, keempat puluh dan keseratus, kemudian setiap tahun pada hari kematiannya. Ini dinukil daripada gurunya, Syeikh Yusuf al-Sunbulawini.

Syeikh Nawawi al-Bantani di halaman yang sama membezakan dua perkara, beliau berkata:

«(وَتَنْفَعُ مَيِّتًا صَدَقَةٌ) لِأَجْلِهِ مِنْ وَارِثٍ وَغَيْرِهِ... وَالتَّصَدُّقُ عَنِ الْمَيِّتِ بِوَجْهٍ شَرْعِيٍّ مَطْلُوبٌ وَلَا يَتَقَيَّدُ بِكَوْنِهِ فِي سَبْعَةِ أَيَّامٍ أَوْ أَكْثَرَ أَوْ أَقَلَّ، وَتَقْيِيدُهُ بِبَعْضِ الْأَيَّامِ مِنَ الْعَوَائِدِ فَقَطْ كَمَا أَفْتَى بِذَلِكَ السَّيِّدُ أَحْمَدُ دَحْلَانُ. وَقَدْ جَرَتْ عَادَةُ النَّاسِ بِالتَّصَدُّقِ عَنِ الْمَيِّتِ فِي ثَالِثٍ مِنْ مَوْتِهِ وَفِي سَابِعٍ وَفِي تَمَامِ الْعِشْرِينَ وَفِي الْأَرْبَعِينَ وَفِي الْمِائَةِ وَبَعْدَ ذَلِكَ يُفْعَلُ كُلَّ سَنَةٍ حَوْلًا فِي يَوْمِ الْمَوْتِ كَمَا أَفَادَهُ شَيْخُنَا يُوسُفُ السُّنْبُلَاوِينِيُّ. أَمَّا الطَّعَامُ الَّذِي يَجْتَمِعُ عَلَيْهِ النَّاسُ لَيْلَةَ دَفْنِ الْمَيِّتِ الْمُسَمَّى بِالْوَحْشَةِ فَهُوَ مَكْرُوهٌ مَا لَمْ يَكُنْ مِنْ مَالِ الْأَيْتَامِ وَإِلَّا فَيَحْرُمُ، كَذَا فِي كَشْفِ اللِّثَامِ»

“(Dan sedekah memberi manfaat kepada si mati) iaitu sedekah yang dibuat untuknya, sama ada oleh waris atau selain waris... Bersedekah bagi pihak si mati dengan cara yang syar’i adalah dituntut. Ia tidak terikat dengan tempoh tujuh hari, lebih atau kurang daripadanya. Mengkhususkannya pada hari-hari tertentu hanyalah adat semata-mata, sebagaimana yang difatwakan oleh Sayyid Ahmad Dahlan. Telah menjadi adat masyarakat bersedekah bagi pihak si mati pada hari ketiga kematiannya, hari ketujuh, genap hari kedua puluh, hari keempat puluh dan hari keseratus. Selepas itu, ia dilakukan setiap tahun pada hari kematiannya, sebagaimana yang dijelaskan oleh guru kami, Syeikh Yusuf al-Sunbulawini. Adapun makanan yang orang ramai berkumpul untuk menikmatinya pada malam pengebumian si mati, yang dinamakan al-wahsyah, hukumnya makruh selagi tidak diambil daripada harta anak-anak yatim. Jika daripada harta anak yatim, maka hukumnya haram. Demikianlah yang disebut dalam Kasyf al-Litham.”


Cetak  
Wallahu a'lam