SDI 2092: Hukum Mendirikan Jemaah Kedua Selepas Jemaah Pertama Selesai Solat

Soalan:

Saya kadangkala terlewat sampai ke masjid kerana urusan kerja. Apabila tiba, imam sudah memberi salam. Saya lihat ada beberapa orang lain yang turut terlewat lalu mendirikan jemaah kedua. Adakah perbuatan ini dibenarkan, dan bolehkah saya menyertai mereka atau lebih baik saya solat bersendirian?

Jawapan:

1. Hukum jemaah kedua

Ulama berbeza pendapat tentang jemaah kedua di masjid yang telah selesai jemaah pertama. Sebahagian ulama berpendapat ia makruh, manakala sebahagian lagi berpendapat ia sunat.

Menurut mazhab Syafi’i, jemaah kedua itu makruh, jika memiliki lima syarat:

  1. Ia didirikan di dalam masjid. Jika didirikan di luar masjid, seperti di surau rumah atau di pejabat, tidak makruh.
  2. Masjid itu bukan masjid mathruq -مطروق- (masjid laluan). Masjid yang sentiasa dikunjungi orang lalu-lalang, seperti masjid di tepi jalan besar atau di hentian rehat, tidak makruh berbilang jemaah di dalamnya, walaupun ia mempunyai imam tetap.
  3. Masjid itu mempunyai imam ratib (imam tetap yang dilantik). Jika masjid itu tiada imam tetap, tidak hukum makruh. Al-Imam an-Nawawi berkata dalam al-Majmu’ (4/222):

أَمَّا إذَا لَمْ يَكُنْ لَهُ إمَامٌ رَاتِبٌ فَلَا كَرَاهَةَ فِي الْجَمَاعَةِ الثَّانِيَةِ وَالثَّالِثَةِ وَأَكْثَرَ بِالْإِجْمَاعِ

“Adapun jika masjid itu tiada imam ratib, maka tidak makruh jemaah kedua, ketiga dan seterusnya, secara ijmak.”

  1. Ia didirikan tanpa izin imam ratib. Jika imam ratib di masjid yang bukan masjid mathruq memberi izin, maka tidak ada hukum makruh.
  2. Jemaah kedua sengaja menunggu jemaah pertama selesai. Wujud perbezaan pendapat bagi syarat ini dalam kalangan ulama mazhab. Menurut pilihan asy-Syarwani (الشرواني) dan asy-Syabramallisi (الشبراملسي), jika jemaah itu terlewat kerana uzur, mereka boleh mendirikan jemaah tanpa hukum makruh. Namun zahir dari at-Tuhfah dan an-Nihayah tidak meletakkan syarat ini.

2. Mengapa ia dimakruhkan?

Al-Imam asy-Syafi’i sendiri menjelaskan sebabnya dalam al-Umm. Hal ini seperti yang dinukilkan oleh al-Subki dalam al-Manhal al-‘Azb al-Maurud, 4/279:

قال في الأمّ ما نصه: وإن كان لرجل مسجد يجمع فيه ففاتته فيه الصلاة فإن أتى مسجد جماعة غيره كان أحب إلىّ وإن لم يأته وصلى في مسجده منفردا فحسن. وإذا كان للمسجد إمام راتب ففاتت رجلا أو رجالا فيه الصلاة صلوا فرادى ولا أحب أن يصلوا فيه جماعة فإن فعلوا اجزأتهم الجماعة فيه. وإنما كرهت ذلك لهم لأنه ليس مما فعل السلف قبلنا بل قد عابه بعضهم

Al-Imam al-Syafi‘i berkata dalam kitab al-Umm, dengan teks seperti berikut: “Jika seseorang mempunyai sebuah masjid yang didirikan solat berjemaah di dalamnya, kemudian dia terlepas solat berjemaah di masjid tersebut, maka jika dia pergi ke masjid lain yang didirikan solat berjemaah di dalamnya, hal itu lebih aku sukai. Jika dia tidak pergi ke masjid lain, sebaliknya menunaikan solat secara bersendirian di masjidnya sendiri, maka hal itu juga baik. Apabila sesebuah masjid mempunyai imam tetap, kemudian seseorang atau sekumpulan orang terlepas solat berjemaah di masjid tersebut, maka hendaklah mereka menunaikan solat secara bersendirian. Aku tidak menyukai mereka menunaikan solat berjemaah di masjid itu. Namun, jika mereka tetap melakukannya, solat berjemaah mereka adalah sah. Aku tidak menyukai perbuatan tersebut kerana ia bukanlah amalan yang dilakukan oleh golongan salaf sebelum kita. Bahkan, sebahagian daripada mereka telah mengingkarinya.

Imam al-Syafi‘i berkata lagi:

وأحسب كراهية من كره ذلك منهم إنما كان لتفرق الكلمة وأن يرغب رجل عن الصلاة خلف إمام جماعة فيتخلف هو ومن أراد عن المسجد في وقت الصلاة فإذا قضيت دخلوا فجمعوا فيكون في هذا اختلاف وتفرق كلمة فيكون فيهما المكروه. وإنما أكره هذا في كل مسجد له إمام ومؤذن فأما مسجد بني على ظهر الطريق أو ناحية لا يؤذن فيه مؤذن راتب ولا يكون له إمام معلوم ويصلى فيه المارّة ويستظلون فلا أكره ذلك فيه لأنه ليس فيه المعنى الذى وصفت من تفرق الكلمة وأن يرغب رجال عن إمامة رجل فيتخذون إماما غيره. وإن صلى جماعة في مسجد له إمام ثم صلى فيه آخرون في جماعة بعدهم كرهت ذلك لهم لما وصفت وأجزأتهم صلاتهم اهـ

Aku berpendapat bahawa sebab sebahagian mereka tidak menyukai perbuatan tersebut adalah kerana bimbang berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat. Seseorang mungkin enggan menunaikan solat di belakang imam yang dilantik untuk mengetuai solat berjemaah, lalu dia dan orang-orang yang sependapat dengannya sengaja tidak hadir ke masjid ketika waktu solat. Setelah solat berjemaah selesai, mereka masuk ke masjid dan menunaikan solat secara berjemaah pula. Perbuatan ini boleh membawa kepada perselisihan dan perpecahan dalam masyarakat. Oleh sebab itulah, perkara tersebut tidak disukai. Aku hanya tidak menyukai perbuatan ini di masjid yang mempunyai imam tetap dan muazin tetap. Adapun masjid yang dibina di tepi jalan atau di suatu kawasan yang terpencil, yang tidak mempunyai muazin tetap dan tidak mempunyai imam yang ditentukan, sebaliknya digunakan oleh orang-orang yang lalu-lalang untuk menunaikan solat dan berteduh, maka aku tidak memakruhkan perbuatan tersebut di situ. Hal ini kerana sebab yang aku jelaskan tadi, iaitu perpecahan masyarakat dan tindakan sekumpulan orang yang enggan menerima kepimpinan seseorang imam lalu melantik imam yang lain untuk diri mereka sendiri, tidak wujud dalam keadaan tersebut. Jika sekumpulan orang telah menunaikan solat berjemaah di sebuah masjid yang mempunyai imam tetap, kemudian sekumpulan orang lain pula menunaikan solat berjemaah di masjid itu selepas mereka, maka aku memakruhkan perbuatan tersebut atas alasan yang telah aku jelaskan. Walau bagaimanapun, solat mereka tetap sah.” -tamat petikan -

Ulama yang menghukum makruh berdalilkan:

  • Hadis riwayat at-Tabarani:

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ، عَنْ أَبِيهِ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ أَقْبَلَ مِنْ نَوَاحِي الْمَدِينَةِ يُرِيدُ الصَّلَاةَ، فَوَجَدَ النَّاسَ قَدْ صَلَّوْا، فَمَالَ إِلَى مَنْزِلِهِ، فَجَمَعَ أَهْلَهَ، فَصَلَّى بِهِمْ

Daripada Abdul Rahman bin Abi Bakrah, daripada bapanya: “Bahawa Nabi ﷺ datang ke masjid dari hujung Madinah untuk menunaikan solat dan baginda mendapati orang ramai telah selesai solat, lalu baginda pulang ke rumah dan solat berjemaah bersama keluarganya.[1]

  • Kata-kata al-Hasan al-Basri riwayat Ibn Abi Syaibah:

كَانَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ ﷺ، إِذَا دَخَلُوا الْمَسْجِدَ وَقَدْ صُلِّيَ فِيهِ صَلَّوْا فُرَادَى

“Para sahabat Muhammad ﷺ, apabila mereka masuk ke masjid yang telah didirikan solat (jemaah) di dalamnya, mereka solat secara bersendirian.”

  • At-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (9/276, no. 9380), melalui jalan ‘Abd ar-Razzaq dalam al-Musannaf (2/409, no. 3883):

عَنْ مَعْمَرٍ، عَنْ حَمَّادٍ، عَنْ إِبْرَاهِيمَ، أَنَّ عَلْقَمَةَ وَالْأَسْوَدَ أَقْبَلَا مَعَ ابْنِ مَسْعُودٍ إِلَى الْمَسْجِدِ، فَاسْتَقْبَلَهُمُ النَّاسُ قَدْ صَلُّوا، فَرَجَعَ بِهِمَا إِلَى الْبَيْتِ، فَجَعَلَ أَحَدَهُمَا عَنْ يَمِينِهِ وَالْآخَرَ عَنْ شِمَالِهِ، ثُمَّ صَلَّى بِهِمَا

“Daripada Ma’mar, daripada Hammad, daripada Ibrahim (an-Nakha’i): Bahawa ‘Alqamah dan al-Aswad datang bersama Ibn Mas’ud ke masjid, lalu mereka bertembung dengan orang ramai yang telah selesai solat. Maka beliau kembali bersama mereka berdua ke rumah, meletakkan seorang di kanannya dan seorang lagi di kirinya, kemudian solat bersama mereka.”

Namun dalil-dalil ini diperselisihkan kekuatannya oleh ahli hadis.

3. Adakah solat jemaah kedua itu sah?

Solat jemaah kedua adalah sah. Hukum makruh tidak menjadikan solat itu batal. Al-Imam asy-Syafi’i menegaskan dalam al-Umm, jika mereka tetap berjemaah, jemaah itu sah dan memadai bagi mereka. Beliau berkata:

وإن صلى جماعة في مسجد له إمام ثم صلى فيه آخرون في جماعة بعدهم كرهت ذلك لهم لما وصفت وأجزأتهم صلاتهم

Jika sekumpulan orang telah menunaikan solat berjemaah di sebuah masjid yang mempunyai imam tetap, kemudian sekumpulan orang lain pula menunaikan solat berjemaah di masjid itu selepas mereka, maka aku memakruhkan perbuatan tersebut atas alasan yang telah aku jelaskan. Walau bagaimanapun, solat mereka tetap sah.

4. Panduan praktikal untuk saudara

  • Jika masjid itu masjid laluan, atau tiada imam tetap, atau imam memberi izin, tiada masalah untuk saudara menyertai atau mendirikan jemaah kedua.
  • Jika masjid itu masjid kariah yang mempunyai imam tetap, dan saudara terlewat kerana uzur seperti urusan kerja, sebahagian ulama Syafi’iyyah tidak memakruhkannya.
  • Bagi menjaga adab dan mengelakkan fitnah, eloklah jemaah kedua didirikan di sudut masjid dan tidak mengganggu orang lain.
  • Perkara yang paling utama ialah berusaha hadir awal bersama imam, kerana jemaah pertama mempunyai kelebihan yang tidak diperoleh dengan jemaah kedua.

 



[1] Al-Haitsami dalam Majma’ az-Zawa’id (2/45): «رَوَاهُ الطَّبَرَانِيُّ فِي الْكَبِيرِ وَالْأَوْسَطِ وَرِجَالُهُ ثِقَاتٌ» (Diriwayatkan oleh at-Tabarani dalam al-Kabir dan al-Awsat, dan perawi-perawinya thiqah). Al-Albani dalam Tamam al-Minnah (hlm. 155): «وَهُوَ حَسَنٌ» (Ia hasan). Ibn Rajab dalam Fath al-Bari (6/8): «وَمُعَاوِيَةُ بْنُ يَحْيَى لَا يُحْتَجُّ بِهِ» (Mu’awiyah bin Yahya tidak boleh dijadikan hujah). Adz-Dzahabi menyenaraikan hadis ini dalam Mizan al-I’tidal (4/140) sebagai salah satu riwayat munkar Mu’awiyah bin Yahya. Ibn ‘Adi dalam al-Kamil menyatakan hadis ini daripada Khalid al-Hadzdza’ tidak diriwayatkan oleh sesiapa selain Mu’awiyah, dan sebahagian riwayatnya tidak disokong oleh perawi lain. Mahmud Khattab as-Subki dalam ad-Din al-Khalis (3/134) mengkritik penilaian al-Haitsami, kerana Mu’awiyah mutakallam fih (dipertikaikan)


Cetak  
Wallahu a'lam