SDI 2093: Hukum Menziarahi Kubur Bagi di Sisi Mazhab Syafi'e

Soalan:

Saya bercadang pulang ke kampung yang jauh untuk menziarahi kubur arwah ibu bapa saya. Isteri saya juga ingin ikut serta untuk menziarahi kubur arwah ibunya di kampung yang sama. Selepas itu kami bercadang menunaikan umrah dan menziarahi makam Rasulullah ﷺ di Madinah. Apakah hukum ziarah kubur bagi saya dan isteri, dan adakah perjalanan jauh semata-mata untuk menziarahi kubur dibenarkan?

Jawapan:

1. Hukum ziarah kubur bagi lelaki

Menziarahi kubur orang Islam bagi lelaki adalah sunat secara ijmak. Al-Imam an-Nawawi berkata dalam al-Majmu’ (5/310):

فَاتَّفَقَتْ نُصُوصُ الشَّافِعِيِّ وَالْأَصْحَابِ عَلَى أَنَّهُ يُسْتَحَبُّ لِلرِّجَالِ زِيَارَةُ الْقُبُورِ، وَهُوَ قَوْلُ الْعُلَمَاءِ كَافَّةً، نَقَلَ الْعَبْدَرِيُّ فِيهِ إِجْمَاعَ الْمُسْلِمِينَ

“Nas-nas asy-Syafi’i dan ulama mazhab sepakat bahawa disunatkan bagi lelaki menziarahi kubur. Ini pendapat semua ulama, dan al-‘Abdari menukilkan ijmak kaum Muslimin padanya.”

Dalilnya sabda Nabi ﷺ:

إني كنت نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ ألا فَزُورُوهَا

(Dahulu aku melarang kamu menziarahi kubur, maka (sekarang) ziarahilah ia.” (Riwayat Muslim, no. 977). Dalam riwayat at-Tirmidzi (no. 1054) ditambah: «فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْآخِرَةَ» “kerana ia mengingatkan kepada akhirat”.

2. Syarat-syarat Ziarah Kubur Menjadi Sunat

Ziarah kubur menjadi sunat dengan dua syarat:

Syarat pertama: Si mati ialah kerabat atau sahabat, atau ziarah itu bertujuan mengingati mati, mendoakan si mati, atau membaca al-Quran di sisinya. Al-Khatib asy-Syarbini menukil al-Qadhi Abu ath-Thayyib dalam Mughni al-Muhtaj (2/56):

أَنَّهُ مَنْ كَانَ يُسْتَحَبُّ لَهُ زِيَارَتُهُ فِي حَيَاتِهِ مِنْ قَرِيبٍ أَوْ صَاحِبٍ، فَيُسَنُّ لَهُ زِيَارَتُهُ فِي الْمَوْتِ كَمَا فِي حَالِ الْحَيَاةِ، وَأَمَّا غَيْرُهُمْ فَيُسَنُّ لَهُ زِيَارَتُهُ إِنْ قُصِدَ بِهَا تَذَكُّرُ الْمَوْتِ أَوِ التَّرَحُّمُ عَلَيْهِ وَنَحْوُ ذَلِكَ

“Sesiapa yang disunatkan menziarahinya ketika hidup, seperti kerabat atau sahabat, maka disunatkan menziarahinya selepas mati sebagaimana ketika hidup. Adapun selain mereka, disunatkan menziarahinya jika bertujuan mengingati mati, mendoakan rahmat baginya, dan seumpamanya.”

Syarat kedua: Ziarah itu tidak memerlukan musafir. Jika memerlukan musafir, hukumnya diperincikan:

  • Sunat, jika bermusafir untuk menziarahi kubur nabi, ulama, orang soleh atau kerabat.
  • Makruh, jika bermusafir untuk menziarahi kubur selain mereka, bagi keluar daripada khilaf ulama yang melarangnya, seperti Imam al-Juwaini.

Ibn Hajar al-Haitami berkata dalam Syarh al-‘Ubab, sebagaimana dinukil oleh Ibn Qasim al-‘Abbadi (Hasyiah ‘ala at-Tuhfah, 3/199):

وَلَا يُسَنُّ السَّفَرُ لِقَصْدِ زِيَارَةِ قَبْرِ غَيْرِ نَبِيٍّ أَوْ عَالِمٍ أَوْ صَالِحٍ، خُرُوجًا مِنْ خِلَافِ مَنْ مَنَعَهُ كَالْجُوَيْنِيِّ، فَإِنَّهُ قَالَ: إِنَّ ذَلِكَ لَا يَجُوزُ

“Tidak disunatkan bermusafir untuk menziarahi kubur selain nabi, ulama atau orang soleh, bagi keluar daripada khilaf ulama yang melarangnya seperti al-Juwaini, kerana beliau berkata perbuatan itu tidak harus.”

Bagi kerabat, asy-Syarwani menukil asy-Syabramallisi (3/199):

وَيَتَأَكَّدُ ذَلِكَ فِي حَقِّ الْأَقَارِبِ خُصُوصًا الْأَبَوَيْنِ وَلَوْ كَانُوا بِبَلَدٍ آخَرَ

“Sunat itu lebih dituntut bagi kerabat, khususnya ibu bapa, walaupun mereka di negeri lain.”

Maka bagi saudara: Perjalanan jauh untuk menziarahi kubur arwah ibu bapa adalah sunat dan sangat dituntut.

3. Hukum ziarah kubur bagi wanita

Menurut mazhab Syafi’i, makruh bagi wanita menziarahi kubur secara mutlak, sama ada muda atau tua. Ibn Hajar al-Haitami berkata dalam Tuhfah al-Muhtaj (3/200):

وَتُكْرَهُ لِلْخَنَاثَى وَلِلنِّسَاءِ مُطْلَقًا خَشْيَةَ الْفِتْنَةِ وَرَفْعِ أَصْوَاتِهِنَّ بِالْبُكَاءِ

“Makruh bagi khunsa dan wanita secara mutlak, kerana dikhuatiri fitnah dan mereka meninggikan suara dengan tangisan.”

Asy-Syarwani menjelaskan maksud “mutlak”: «أَيْ وَلَوْ عَجُوزًا تَذْهَبُ فِي نَحْوِ الْهَوْدَجِ» (iaitu walaupun wanita tua yang pergi dalam usungan).

Dalilnya hadis Ibn ‘Abbas RA:

 لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ زَائِرَاتِ الْقُبُورِ، وَالْمُتَّخِذِينَ عَلَيْهَا الْمَسَاجِدَ وَالسُّرُجَ

(Rasulullah ﷺ melaknat wanita-wanita yang menziarahi kubur, dan orang-orang yang menjadikan masjid dan pelita di atasnya), riwayat Abu Daud (no. 3236), at-Tirmidzi (no. 320) dan an-Nasa’i (4/94). At-Tirmidzi menilainya hasan, tetapi Imam Ahmad berkata hadis ini tidak sahih, dan lafaz “pelita” dinilai lemah. Lafaz yang lebih kuat ialah «لَعَنَ اللَّهُ زَوَّارَاتِ الْقُبُورِ» riwayat at-Tirmidzi (no. 1056) daripada Abu Hurairah.

Ada pendapat yang mengharamkannya. Pendapat ini lemah dalam keadaan biasa, tetapi menjadi haram jika keluarnya wanita membawa fitnah. Ibn Hajar al-Haitami berkata dalam Tuhfah al-Muhtaj (3/201):

وَمَحَلُّ ضَعْفِهِ حَيْثُ لَمْ يَتَرَتَّبْ عَلَى خُرُوجِهِنَّ فِتْنَةٌ، وَإِلَّا فَلَا شَكَّ فِي التَّحْرِيمِ، وَيُحْمَلُ عَلَيْهِ الْحَدِيثُ

“Pendapat (haram) itu lemah hanya apabila keluarnya mereka tidak membawa kepada fitnah. Jika membawa fitnah, tidak syak lagi ia haram, dan hadis itu difahami atas keadaan ini.”

4. Pengecualian bagi wanita

  • Makam Rasulullah ﷺ: Disunatkan bagi wanita menziarahinya. Ibn Hajar al-Haitami berkata (3/200): «نَعَمْ تُسَنُّ لَهُنَّ زِيَارَتُهُ ﷺ». Malah ar-Ramli dan al-Khatib menyebut ia «أَعْظَمُ الْقُرُبَاتِ لِلذُّكُورِ وَالْإِنَاثِ» (antara qurbah yang paling agung bagi lelaki dan wanita).
  • Kubur para nabi dan wali: Sebahagian ulama mutaakhirin turut mengecualikannya. Ar-Ramli berkata dalam Nihayah al-Muhtaj:

وَيَنْبَغِي أَنْ تَكُونَ قُبُورُ سَائِرِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْأَوْلِيَاءِ كَذَلِكَ، كَمَا قَالَهُ ابْنُ الرِّفْعَةِ وَالْقَمُولِيُّ، وَهُوَ الْمُعْتَمَدُ

“Sepatutnya kubur semua nabi dan wali juga begitu, sebagaimana kata Ibn ar-Rif’ah dan al-Qamuli, dan inilah pendapat muktamad.”

  • Kubur kerabat: Sebahagian ulama, iaitu Ibn Qadhi Syuhbah, turut mengecualikan kubur kerabat seperti bapa dan saudara lelaki. Namun pendapat ini ditolak oleh ar-Ramli dan al-Khatib asy-Syarbini:

وَالْأَوْجَهُ عَدَمُ إِلْحَاقِ أَبَوَيْهَا وَإِخْوَتِهَا وَبَقِيَّةِ أَقَارِبِهَا بِذَلِكَ أَخْذًا مِنَ الْعِلَّةِ

“Pendapat yang lebih tepat ialah tidak menyamakan ibu bapa, saudara-saudara dan kerabat lain wanita itu dengan hukum tersebut, berdasarkan ‘illah (sebab kemakruhan).”

Maka bagi isteri saudara:

  • Menziarahi kubur arwah ibunya: menurut pendapat muktamad mazhab Syafi’i, hukumnya makruh, tetapi tidak haram selagi tiada fitnah atau ratapan. Jika dia tetap ingin pergi, hendaklah menjaga aurat, tidak berhias, tidak meninggikan suara atau meratap, dan menumpukan kepada doa dan mengambil iktibar.
  • Menziarahi makam Rasulullah ﷺ di Madinah: hukumnya sunat, malah antara qurbah yang paling agung.

Kesimpulan:

  • Bagi saudara: Ziarah kubur ibu bapa, walaupun dengan perjalanan jauh, adalah sunat dan sangat dituntut. Ziarah makam Rasulullah ﷺ juga sunat.
  • Bagi isteri: Ziarah kubur ibunya makruh, dan haram jika membawa fitnah atau ratapan, manakala ziarah makam Rasulullah ﷺ sunat.

Cetak  
Wallahu a'lam