SDI 2094: Hukum Melewatkan Solat Jenazah Kerana Menunggu Ahli Keluarga Terdekat dan Meramaikan Jemaah Solat

Soalan:

Ayah saya meninggal dunia pagi tadi. Abang sulung saya sedang dalam penerbangan pulang dari luar negara dan dijangka tiba lewat petang. Ada ahli keluarga mencadangkan solat jenazah ditangguhkan sehingga abang sampai. Ada pula yang mencadangkan solat jenazah dilewatkan ke selepas solat Asar supaya lebih ramai jemaah dapat menyembahyangkan arwah. Apakah hukum melewatkan solat jenazah dalam kedua-dua keadaan ini?

Jawapan:

Asal hukum dalam pengurusan jenazah ialah menyegerakannya, berdasarkan perintah Nabi ﷺ supaya menyegerakan jenazah. Namun ada keadaan tertentu yang membolehkan solat jenazah dilewatkan.

1. Melewatkan solat jenazah kerana menunggu wali

Tidak mengapa melewatkan solat jenazah untuk menunggu kehadiran wali, seperti anak lelaki si mati, dengan dua syarat:

  • Pertama: Kuat sangkaan bahawa jenazah tidak akan berubah atau rosak. Jika dikhuatiri jenazah akan berubah, maka tidak boleh dilewatkan.
  • Kedua: Penantian itu tidak lama, iaitu wali dijangka akan hadir dalam masa terdekat.

Al-Khatib asy-Syarbini berkata dalam Mughni al-Muhtaj (2/51):

وَلَا بَأْسَ بِانْتِظَارِ الْوَلِيِّ عَنْ قُرْبٍ مَا لَمْ يُخْشَ تَغَيُّرُ الْمَيِّتِ

“Tidak mengapa menunggu wali dalam tempoh yang dekat, selagi tidak dikhuatiri jenazah berubah.”

Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj (3/192) menyatakan bahawa ungkapan “tidak mengapa” (لا بأس) yang digunakan oleh an-Nawawi dalam ar-Raudhah menunjukkan bahawa menunggu wali tidak wajib. Ia sekadar dibenarkan.

Maka bagi keadaan saudara, jika abang dijangka tiba dalam beberapa jam, dan jenazah tidak dikhuatiri berubah, tidak mengapa solat jenazah ditangguhkan sehingga beliau sampai. Namun jika penangguhan itu terlalu lama, atau ada tanda-tanda jenazah mula berubah, wajib disegerakan.

2. Melewatkan solat jenazah untuk menambah bilangan jemaah

Menurut pendapat muktamad dalam mazhab Syafi’i, tidak disunatkan melewatkan solat jenazah semata-mata untuk menambah bilangan jemaah. Ibn Hajar al-Haitami berkata dalam Tuhfah al-Muhtaj (3/192):

وَلَا تُؤَخَّرُ أَيْ لَا يُنْدَبُ التَّأْخِيرُ لِزِيَادَةِ مُصَلِّينَ أَيْ كَثْرَتِهِمْ

“Tidak dilewatkan, iaitu tidak disunatkan melewatkan (solat jenazah) untuk menambah bilangan jemaah.”

Namun al-Imam as-Subki mempunyai pandangan berbeza, dan diikuti oleh al-Adzra’i dan az-Zarkasyi. Menurut mereka, jika tidak dikhuatiri jenazah berubah, sepatutnya ditunggu seratus atau empat puluh orang yang dijangka akan hadir dalam waktu terdekat. Ibn Hajar al-Haitami menukilnya:

وَإِنْ نَازَعَ فِيهِ السُّبْكِيُّ وَاخْتَارَه، وَتَبِعَهُ الْأَذْرَعِيُّ وَالزَّرْكَشِيُّ وَغَيْرُهُمَا، أَنَّهُ إِذَا لَمْ يُخْشَ تَغَيُّرُهُ يَنْبَغِي انْتِظَارُ مِائَةٍ أَوْ أَرْبَعِينَ رُجِيَ حُضُورُهُمْ قَرِيبًا لِلْحَدِيثِ

“Walaupun as-Subki membantahnya. Beliau memilih, dan diikuti oleh al-Adzra’i, az-Zarkasyi dan lain-lain, bahawa jika tidak dikhuatiri jenazah berubah, sepatutnya ditunggu seratus atau empat puluh orang yang diharapkan hadir dalam waktu terdekat, berdasarkan hadis.”

Hadis yang dimaksudkan ialah sabda Nabi ﷺ riwayat Muslim:

مَا مِنْ مَيِّتٍ يُصَلِّي عَلَيْهِ أُمَّةٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ يَبْلُغُونَ مِائَةً، كُلُّهُمْ يَشْفَعُونَ لَهُ، إِلَّا شُفِّعُوا فِيهِ

“Tidaklah seorang mayat disembahyangkan oleh sekumpulan kaum Muslimin yang mencapai seratus orang, semuanya memohon syafaat untuknya, melainkan syafaat mereka diterima.”

Dalam Sahih Muslim, Kitab al-Jana’iz, no. 948:

عَنْ كُرَيْبٍ مَوْلَى ابْنِ عَبَّاسٍ، عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَبَّاسٍ، أَنَّهُ مَاتَ ابْنٌ لَهُ بِقُدَيْدٍ أَوْ بِعُسْفَانَ، فَقَالَ: يَا كُرَيْبُ، انْظُرْ مَا اجْتَمَعَ لَهُ مِنَ النَّاسِ. قَالَ: فَخَرَجْتُ فَإِذَا نَاسٌ قَدِ اجْتَمَعُوا لَهُ، فَأَخْبَرْتُهُ، فَقَالَ: تَقُولُ هُمْ أَرْبَعُونَ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: أَخْرِجُوهُ، فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ يَقُولُ: «مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ، فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلًا لَا يُشْرِكُونَ بِاللهِ شَيْئًا، إِلَّا شَفَّعَهُمُ اللهُ فِيهِ»

Daripada Kuraib, maula Ibn ‘Abbas, daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas: Seorang anak lelakinya meninggal dunia di Qudaid atau ‘Usfan. Beliau berkata: “Wahai Kuraib, lihatlah berapa ramai orang yang telah berkumpul untuknya.” Kuraib berkata: Aku pun keluar, dan ternyata orang ramai telah berkumpul untuknya, lalu aku memberitahu beliau. Beliau bertanya: “Adakah kamu katakan mereka empat puluh orang?” Aku menjawab: “Ya.” Beliau berkata: “Keluarkanlah jenazah itu, kerana aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Tidaklah seorang lelaki Muslim meninggal dunia, lalu jenazahnya disembahyangkan oleh empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun, melainkan Allah menerima syafaat mereka untuknya.’”

‘Ali asy-Syabramallisi, sebagaimana dinukil dalam I’anah ath-Thalibin (2/150) serta al-Jamal dalam Hasyiah al-Jamal menyebut:

وَفِي ع ش: جَرَتِ الْعَادَةُ الْآنَ بِأَنَّهُمْ لَا يُصَلُّونَ عَلَى الْمَيِّتِ بَعْدَ دَفْنِهِ، فَلَا يَبْعُدُ أَنْ يُقَالَ يُسَنُّ انْتِظَارُهُمْ لِمَا فِيهِ مِنَ الْمَصْلَحَةِ لِلْمَيِّتِ، حَيْثُ غَلَبَ عَلَى الظَّنِّ أَنَّهُمْ لَا يُصَلُّونَ عَلَى الْقَبْرِ، وَيُمْكِنُ حَمْلُ كَلَامِ الزَّرْكَشِيِّ عَلَيْهِ

“Dalam (Hasyiah) ‘Ali asy-Syabramallisi: Kebiasaan sekarang ialah orang ramai tidak menyembahyangkan jenazah selepas dikebumikan. Maka tidak jauh untuk dikatakan disunatkan menunggu mereka (jemaah), kerana ada maslahat bagi si mati, jika kuat sangkaan bahawa mereka tidak akan solat di kubur. Kata-kata az-Zarkasyi boleh difahami atas keadaan ini.”

Kenyataan asy-Syabramallisi ini merupakan ulasan terhadap kata-kata ar-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj (3/28). Ar-Ramli menyatakan solat jenazah tidak perlu dilewatkan, walaupun untuk menunggu genap empat puluh atau seratus orang yang dijangka hadir dalam masa terdekat:

لِتَمَكُّنِهِمْ مِنَ الصَّلَاةِ عَلَى الْقَبْرِ بَعْدَ حُضُورِهِمْ، خِلَافًا لِلزَّرْكَشِيِّ وَمَنْ تَبِعَهُ

“Kerana mereka masih boleh menyembahyangkannya di kubur selepas mereka hadir, berbeza dengan pendapat az-Zarkasyi dan yang mengikutinya.”

Jadi alasan ar-Ramli ialah orang yang lewat masih boleh solat di kubur. Asy-Syabramallisi pula melihat realiti, jika orang ramai tidak lagi biasa solat di kubur, alasan itu tidak terpakai. Maka beliau berpendapat tidak jauh untuk dikatakan sunat menunggu jemaah untuk hadir menunaikan solat.

Kesimpulan:

  1. Dibolehkan menunggu ahli keluarga dekat, dengan syarat jenazah tidak dikhuatiri berubah kerana ahli keluarga tersebut akan sampai dalam waktu terdekat. Jika penantian terlalu lama atau jenazah mula berubah, solat jenazah wajib disegerakan.
  2. Menangguhkan  solat jenazah untuk jemaah lebih ramai tidak perlu menurut pendapat muktamad mazhab Syafie kerana perintah asal ialah menyegerakan pengurusan jenazah. Namun menurut pandangan as-Subki dan ulama yang sependapat dengan beliau, jika jenazah tidak dikhuatiri berubah dan jemaah yang ramai dijangka akan hadir dalam waktu terdekat, maka tidak jauh untuk dikatakan sunat menunggu mereka demi kebaikan si mati seperti yang dinyatakan oleh asy-Syabramallisi.

Cetak  
Wallahu a'lam