SDI 2095: Apa Yang Perlu Dilakukan Ketika Menziarahi Kubur?

Soalan:

Setiap kali pulang ke kampung, saya akan menziarahi kubur arwah ayah. Apakah adab dan amalan yang disunatkan ketika menziarahi kubur? Adakah bacaan Yasin di kubur sampai pahalanya kepada arwah, dan ketika berdoa, perlukah saya menghadap kiblat atau menghadap kubur?

Jawapan:

Apabila seorang Muslim menziarahi kubur, disunatkan baginya melakukan perkara-perkara berikut:

1. Memberi salam kepada semua ahli kubur

Sebaik sahaja memasuki kawasan perkuburan, ucapkan salam secara umum kepada semua penghuninya, sebagaimana yang diajar oleh Nabi ﷺ. Daripada Buraidah RA, beliau berkata (riwayat Muslim, no. 975):

كَانَ رَسُولُ اللهِ ﷺ يُعَلِّمُهُمْ إِذَا خَرَجُوا إِلَى الْمَقَابِرِ، فَكَانَ قَائِلُهُمْ يَقُولُ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللهُ لَلَاحِقُونَ، أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ

“Rasulullah ﷺ mengajar mereka apabila mereka keluar ke kubur. Maka salah seorang mereka akan berkata: Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni kampung ini daripada kalangan orang mukmin dan muslim. Sesungguhnya kami, insya-Allah, akan menyusul kamu. Aku memohon kepada Allah keafiatan untuk kami dan kamu.”

2. Mendekati kubur arwah dan memberi salam khusus

Kemudian dekatilah kubur arwah ayah, sebagaimana saudara mendekatinya ketika beliau masih hidup. Berdirilah menghadap wajahnya dan berikan salam khusus, contohnya: السلام عليك يا أبتي ورحمة الله وبركاته “Assalamu’alaika ya abati wa rahmatullahi wa barakatuh” (Salam sejahtera ke atasmu wahai ayahku, serta rahmat Allah dan keberkatan-Nya). Dalilnya hadis Ibn ‘Abbas RA, riwayat Ibn ‘Abd al-Barr dalam al- Istidzkar (1/234), Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ أَحَدٍ يَمُرُّ بِقَبْرِ أَخِيهِ الْمُؤْمِنِ كَانَ يَعْرِفُهُ فِي الدُّنْيَا، فَيُسَلِّمُ عَلَيْهِ، إِلَّا عَرَفَهُ وَرَدَّ عَلَيْهِ السَّلَامَ

“Tidaklah seseorang melalui kubur saudaranya yang mukmin yang dikenalinya di dunia, lalu dia memberi salam kepadanya, melainkan si mati itu mengenalinya dan menjawab salamnya.”

Hadis ini dinilai sahih sanadnya oleh ‘Abd al-Haqq al-Isybili dalam al-Ahkam al-Sughra 1/344-345 dan al-Hafiz al-‘Iraqi berdasarkan nukilan al-Munawi dalam Faid al-Qadir (5/487):

وَأَفَادَ الْحَافِظُ الْعِرَاقِيُّ أَنَّ ابْنَ عَبْدِ الْبَرِّ خَرَّجَهُ فِي التَّمْهِيدِ وَالِاسْتِذْكَارِ بِإِسْنَادٍ صَحِيحٍ مِنْ حَدِيثِ ابْنِ عَبَّاسٍ، وَمِمَّنْ صَحَّحَهُ عَبْدُ الْحَقِّ

“Al-Hafiz al-‘Iraqi menjelaskan bahawa Ibn ‘Abd al-Barr meriwayatkannya dalam at-Tamhid dan al-Istidzkar dengan sanad yang sahih daripada hadis Ibn ‘Abbas, dan antara yang mensahihkannya ialah ‘Abd al-Haqq.”

Al-‘Allamah Ba‘isyin berkata dalam Busyra al-Karim (1/474):

وَيَقِفُ إِذَا وَصَلَ الْقَبْرَ وَهُوَ أَفْضَلُ، أَوْ يَجْلِسُ قُبَالَةَ وَجْهِهِ مُتَطَهِّرًا مُتَأَدِّبًا

“Dia berdiri apabila sampai di kubur, dan inilah yang lebih afdal, atau dia duduk menghadap wajahnya dalam keadaan suci dan beradab.”

3. Membaca al-Quran di Kubur

Wujud perbezaan pendapat ulama tentang membaca al-Quran di kubur. Ia suatu yang dianjurkan di sisi ulama mazhab Syafi‘e dan ia merupakan pandangan majoriti. Al-Mawardi menukil kata-kata al-Imam asy-Syafi’i dalam al-Hawi al-Kabir (3/55):

فَأَمَّا الْقِرَاءَةُ عِنْدَ الْقَبْرِ فَقَدْ قَالَ الشَّافِعِيُّ: وَرَأَيْتُ مَنْ أَوْصَى بِالْقِرَاءَةِ عِنْدَ قَبْرِهِ، وَهُوَ عِنْدَنَا حَسَنٌ

“Adapun membaca al-Quran di kubur, asy-Syafi’i berkata: Aku melihat orang yang berwasiat supaya dibacakan al-Quran di kuburnya, dan ia di sisi kami adalah baik.”

An-Nawawi dalam al-Majmu’ (5/294) berkata:

قَالُوا: وَيُسْتَحَبُّ أَنْ يُقْرَأَ عِنْدَهُ شَيْءٌ مِنَ الْقُرْآنِ، وَإِنْ خَتَمُوا الْقُرْآنَ كَانَ أَفْضَلَ

“Mereka (ulama mazhab) berkata: Disunatkan dibacakan sesuatu daripada al-Quran di sisinya, dan jika mereka mengkhatamkan al-Quran, itu lebih afdal.”

Al-Nawawi juga berkata:

وَرَوَى الْبَيْهَقِيُّ بِإِسْنَادِهِ أَنَّ ابْنَ عُمَرَ اسْتَحَبَّ قِرَاءَةَ أَوَّلِ الْبَقَرَةِ وَآخِرِهَا عِنْدَ الْقَبْرِ

“Al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanadnya bahawa Ibn ‘Umar menyukai bacaan awal dan akhir surah al-Baqarah di sisi kubur.”

Tentang membaca surah Yasin disebut oleh Ba’isyin dalam Busyra al-Karim (1/474):

وَيَقْرَأُ مَا تَيَسَّرَ، خُصُوصًا يس، وَأَحَدَ عَشَرَ مِنَ الْإِخْلَاصِ

“Dia membaca apa yang mudah, khususnya Yasin, dan surah al-Ikhlas sebelas kali.”

Ba‘isyin dalam Busyra al-Karim (1/474) berkata:

وَيَقِفُ إِذَا وَصَلَ الْقَبْرَ وَهُوَ أَفْضَلُ، أَوْ يَجْلِسُ قُبَالَةَ وَجْهِهِ مُتَطَهِّرًا مُتَأَدِّبًا

“Dia berdiri apabila sampai di kubur, dan itu lebih afdal, atau dia duduk menghadap wajahnya (mayat) dalam keadaan suci dan beradab.”

Ibn Qasim al-‘Abbadi pula dalam Hasyiah ‘ala at-Tuhfah (3/201) menyatakan bahawa membaca al-Quran sambil duduk lebih afdal, sebagaimana an-Nawawi sebut dalam at-Tibyan:

وَقَضِيَّتُهُ أَنَّ مَنْ أَرَادَ الْقِرَاءَةَ عِنْدَ الْقَبْرِ سُنَّ لَهُ الْجُلُوسُ

“Kesimpulannya, sesiapa yang hendak membaca al-Quran di kubur, disunatkan baginya duduk.”

Adakah bacaan itu sampai kepada arwah?

Ulama Syafi’iyyah menjelaskan, pendapat yang mengatakan pahala bacaan tidak sampai hanyalah apabila dibaca jauh dari kubur dan tidak diikuti dengan doa. Adapun jika:

  • dibaca di sisi kubur, atau
  • dibaca jauh tetapi diikuti dengan doa untuknya, atau
  • pahalanya dihadiahkan kepadanya dengan lafaz doa,

maka pahalanya sampai. Ibn Hajar al-Haitami berkata dalam Tuhfah al-Muhtaj (3/202):

بَلْ تَصِلُ لَهُ الْقِرَاءَةُ هُنَا وَفِيمَا إذَا دَعَا لَهُ عَقِبَهَا وَلَوْ بَعِيدًا

“Bahkan bacaan itu sampai kepadanya di sini (di kubur), dan apabila dia berdoa untuknya selepas bacaan, walaupun dari jauh.”

Selain itu, bacaan al-Quran di kubur juga bermanfaat dari dua sudut lain:

  • Doa selepas membaca al-Quran lebih hampir dimakbulkan.
  • Keberkatan dan rahmat turun di tempat al-Quran dibaca, dan si mati turut mendapat manfaat daripadanya.

Namun Al-‘Izz bin ‘Abd as-Salam berbeza dengan pendapat ini dengan alasan tidak boleh menjadikan pahala bacaan untuk si mati kerana ia tindakan terhadap pahala tanpa izin syarak. Beliau ditanya tentang pahala bacaan al-Quran yang dihadiahkan kepada si mati, sama ada sampai atau tidak. Ringkasan jawapannya, sebagaimana dinukil oleh Muhammad Isma’il al-Muqaddam dalam Usul bila Usul (hlm. 73) daripada Fatawa Sultan al-‘Ulama’ (hlm. 43–44):

ثَوَابُ الْقِرَاءَةِ مَقْصُورٌ عَلَى الْقَارِئِ، لَا يَصِلُ إِلَى غَيْرِهِ ... وَالْعَجَبُ أَنَّ مِنَ النَّاسِ مَنْ يُثْبِتُ ذَلِكَ بِالْمَنَامَاتِ، وَلَيْسَتِ الْمَنَامَاتُ مِنَ الْحُجَجِ الشَّرْعِيَّةِ الَّتِي تَثْبُتُ بِهَا الْأَحْكَامُ

“Pahala bacaan terhad kepada pembaca, tidak sampai kepada orang lain... Yang menghairankan, ada orang yang mensabitkannya dengan mimpi, sedangkan mimpi bukan hujah syarak yang boleh mensabitkan hukum.”

Asy-Syarwani dalam Hasyiah ‘ala Tuhfah al-Muhtaj (7/73) menyebut:

قَالَ ابْنُ عَبْدِ السَّلَامِ فِي بَعْضِ فَتَاوِيهِ: لَا يَجُوزُ أَنْ يُجْعَلَ ثَوَابُ الْقِرَاءَةِ لِلْمَيِّتِ، لِأَنَّهُ تَصَرُّفٌ فِي الثَّوَابِ مِنْ غَيْرِ إِذْنِ الشَّارِعِ

“Ibn ‘Abd as-Salam berkata dalam sebahagian fatwanya: Tidak harus menjadikan pahala bacaan untuk si mati, kerana ia tindakan terhadap pahala tanpa izin Pembuat syariat.”

Inilah juga pandangan Ibn Kathir dalam Tafsirnya dengan hujah bahawa Nabi ﷺ tidak menganjurkannya dan tiada sahabat yang melakukannya.

Perlu dijelaskan juga bahawa, majoriti ulama mutaakhirin mazhab Syafie tidak menolak pendapat imam mereka asy-Syafi’i, tetapi menghadkan skopnya. Ibn Hajar dalam Tuhfah al-Muhtaj (7/74) berkata:

نَعَمْ، حَمَلَ جَمْعٌ عَدَمَ الْوُصُولِ الَّذِي قَالَ عَنْهُ الْمُصَنِّفُ فِي شَرْحِ مُسْلِمٍ إِنَّهُ مَشْهُورُ الْمَذْهَبِ عَلَى مَا إِذَا قَرَأَ لَا بِحَضْرَةِ الْمَيِّتِ، وَلَمْ يَنْوِ الْقَارِئُ ثَوَابَ قِرَاءَتِهِ لَهُ، أَوْ نَوَاهُ وَلَمْ يَدْعُ لَهُ

“Sekumpulan ulama memahami pendapat ‘tidak sampai’ yang disebut an-Nawawi dalam Syarh Muslim sebagai pendapat masyhur mazhab, hanya apabila dibaca bukan di hadapan si mati, dan pembaca tidak meniatkan pahalanya untuk si mati, atau meniatkannya tetapi tidak berdoa untuknya.”

Hasilnya, pahala bacaan sampai dalam tiga keadaan, sebagaimana dirumuskan oleh Ibn Qasim al-‘Abbadi (dinukil dalam I’anah ath-Thalibin, 3/259):

وَالْحَاصِلُ أَنَّهُ إِذَا نَوَى ثَوَابَ قِرَاءَتِهِ لَهُ، أَوْ دَعَا عَقِبَهَا بِحُصُولِ ثَوَابِهَا لَهُ، أَوْ قَرَأَ عِنْدَ قَبْرِهِ، حَصَلَ لَهُ مِثْلُ ثَوَابِ قِرَاءَتِهِ، وَحَصَلَ لِلْقَارِئِ أَيْضًا الثَّوَابُ

“Kesimpulannya, jika dia meniatkan pahala bacaannya untuk si mati, atau berdoa selepasnya agar pahala itu sampai kepadanya, atau membaca di kuburnya, maka si mati mendapat seumpama pahala bacaannya, dan pembaca juga tetap mendapat pahala.”

Kenyataan: «مِثْلُ ثَوَابِ» (seumpama pahala), pahala pembaca tidak dipindahkan, tetapi Allah mengurniakan pahala seumpamanya kepada si mati melalui doa. Ibn ash-Shalah berhujah:

لِأَنَّهُ إِذَا نَفَعَهُ الدُّعَاءُ بِمَا لَيْسَ لِلدَّاعِي، فَمَا لَهُ أَوْلَى

“Kerana jika doa dengan sesuatu yang bukan milik orang yang berdoa pun memberi manfaat kepada si mati, maka sesuatu yang memang miliknya lebih utama.”

An-Nawawi sendiri dalam al-Adzkar memilih jalan ini:

 فَالِاخْتِيَارُ أَنْ يَقُولَ الْقَارِئُ بَعْدَ فَرَاغِهِ: اللَّهُمَّ أَوْصِلْ ثَوَابَ مَا قَرَأْتُهُ إِلَى فُلَانٍ

Maka yang menjadi pilihan ialah dengan pembaca berkata selepas membaca ayat al-Quran: Ya Allah sampaikanlah pahala apa yang aku telah bacakannya (dari ayat al-Quran) kepada fulan.”

Di samping itu ada juga pandangan ulama mazhab Syafie yang menyatakan pahala sampai secara mutlak dengan niat

Ar-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj (6/93):

وَفِي الْقِرَاءَةِ وَجْهٌ، وَهُوَ مَذْهَبُ الْأَئِمَّةِ الثَّلَاثَةِ، بِوُصُولِ ثَوَابِهَا لِلْمَيِّتِ بِمُجَرَّدِ قَصْدِهِ بِهَا، وَاخْتَارَهُ كَثِيرٌ مِنْ أَئِمَّتِنَا

“Dalam isu bacaan, ada satu wajah (pendapat dalam mazhab), iaitu mazhab tiga imam yang lain, bahawa pahalanya sampai kepada si mati dengan semata-mata meniatkannya. Pendapat ini dipilih oleh ramai imam kami.”

Antara ulama Syafi’iyyah yang berpendapat pahala sampai, sebagaimana disenaraikan dalam I’anah ath-Thalibin (3/258): Ibn ash-Shalah, al-Muhibb ath-Thabari, Ibn Abi ad-Dam, pengarang adz-Dzakha’ir, Ibn Abi ‘Ashrun dan as-Subki. Ar-Ramli sendiri berpegang bahawa niat sahaja sudah memadai.

Bagaimana mereka memahami an-Najm: 39

Ar-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj (6/92) menyebut beberapa jawapan ulama:

  • Ayat itu umum yang telah dikhususkan, atau dimansukhkan, oleh dalil-dalil yang mensabitkan manfaat doa dan sedekah untuk si mati.
  • Ayat itu khusus bagi orang kafir.
  • Maknanya: manusia tidak berhak melainkan apa yang diusahakannya; apa yang dilakukan orang lain untuknya ialah kurniaan semata-mata daripada Allah.

4. Berdoa untuk arwah

Akhir sekali, angkatlah tangan dan berdoalah untuk arwah ayah. Tentang arah ketika berdoa, terdapat dua pandangan dalam mazhab Syafi’i:

  • Menghadap kiblat: Ini pendapat yang dipegang dalam Mughni al-Muhtaj:

وَعِنْدَ الدُّعَاءِ يَسْتَقْبِلُ الْقِبْلَةَ، وَإِنْ قَالَ الْخُرَاسَانِيُّونَ بِاسْتِحْبَابِ اسْتِقْبَالِ وَجْهِ الْمَيِّتِ

“Ketika berdoa, dia menghadap kiblat, walaupun ulama Khurasan berpendapat disunatkan menghadap wajah si mati.”

  • Menghadap wajah si mati: Ini pendapat ulama Khurasan, dan disokong oleh al-Qalyubi dalam Hasyiahnya (1/412):

وَيُنْدَبُ اسْتِقْبَالُ وَجْهِ الْمَيِّتِ حَالَ الْقِرَاءَةِ وَالدُّعَاءِ، وَأَنْ يَكُونَ قَائِمًا، وَأَنْ يَرْفَعَ يَدَيْهِ فِي الدُّعَاءِ

“Disunatkan menghadap wajah si mati ketika membaca al-Quran dan berdoa, dalam keadaan berdiri, dan mengangkat kedua-dua tangan ketika berdoa.”

        


Cetak  
Wallahu a'lam