Soalan:
Adakah wajib beristinjak setiap kali selepas kencing atau buang air besar?
Jawapan:
Ya, wajib, jika yang keluar itu najis dan mengotori tempat keluarnya. Hukum yang sama terpakai bagi mazi dan wadi. Jika yang keluar benda suci seperti cacing, istinjak hanya sunat. Jika yang keluar benda keras yang tidak mengotori, istinjak tidak wajib. Dalam kitab Fath al-Qarib karya Ibn Qasim al-Ghazzi dinyatakan:
(وَالِاسْتِنْجَاءُ) … (وَاجِبٌ مِنْ) خُرُوجِ (الْبَوْلِ وَالْغَائِطِ) بِالْمَاءِ أَوِ الْحَجَرِ.
Maksudnya: “Istinjak … wajib kerana keluarnya air kencing dan najis besar, dengan menggunakan air atau batu.”
Soalan:
Bolehkah saya beristinjak menggunakan tisu tandas sahaja?
Jawapan:
Boleh. Istinjak dengan “batu” bukan bermaksud batu sahaja, tetapi termasuk apa-apa benda yang bukan cecair (جامد), suci (طاهر), boleh menanggalkan najis (قالع) dan tidak dimuliakan (غير محترم). Tisu tandas memenuhi kesemua syarat ini.
Yang tidak boleh digunakan ialah benda cair seperti air mawar, benda najis, benda licin seperti kaca, makanan, dan kertas yang mengandungi tulisan ilmu. Dalam kitab Fath al-Qarib dinyatakan:
وَمَا فِي مَعْنَاهُ مِنْ كُلِّ جَامِدٍ طَاهِرٍ قَالِعٍ غَيْرِ مُحْتَرَمٍ.
Maksudnya: “Dan (boleh beristinja’) dengan apa-apa yang semakna dengan batu, iaitu setiap benda yang jamid, suci, boleh menanggalkan najis dan tidak dimuliakan.”
Soalan:
Jika sekali lap dengan tisu sudah bersih, adakah memadai?
Jawapan:
Tidak memadai. Wajib sekurang-kurangnya tiga kali sapuan walaupun sudah bersih dengan sekali sapu. Jika tiga kali belum bersih, wajib ditambah sehingga bersih, dan sunat diakhiri dengan bilangan ganjil. Tiga sapuan itu boleh dilakukan dengan tiga helai tisu, atau dengan tiga bahagian berlainan pada sehelai atau segumpal tisu.
Hal ini berdasarkan hadis Salman al-Farisi radhiyallahu ‘anhu yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
نَهَانَا أَنْ نَسْتَنْجِيَ بِأَقَلَّ مِنْ ثَلَاثَةِ أَحْجَارٍ.
Maksudnya: “Baginda melarang kami beristinjak dengan kurang daripada tiga biji batu.”
Dalam kitab Fath al-Qarib pula dinyatakan:
وَالْوَاجِبُ ثَلَاثُ مَسَحَاتٍ وَلَوْ بِثَلَاثَةِ أَطْرَافِ حَجَرٍ وَاحِدٍ.
Maksudnya: “Yang wajib ialah tiga kali sapuan, walaupun dengan tiga hujung sebiji batu.”
Soalan:
Mana lebih baik: tisu sahaja, air sahaja, atau kedua-duanya?
Jawapan:
Ada tiga peringkat:
- Paling baik: tisu dahulu, kemudian air. Tisu membuang najis tanpa tangan menyentuhnya secara langsung, kemudian air menghilangkan kesan yang tinggal.
- Kedua: air sahaja, kerana air menghilangkan najis dan kesannya sekali gus.
- Ketiga: tisu sahaja. Ia sah, dan kesan yang tinggal dimaafkan.
Dalam kitab Fath al-Qarib dinyatakan:
(وَ) لَكِنِ (الْأَفْضَلُ أَنْ يَسْتَنْجِيَ) أَوَّلًا (بِالْأَحْجَارِ ثُمَّ يُتْبِعَهَا) ثَانِيًا (بِالْمَاءِ)… (فَإِذَا أَرَادَ الِاقْتِصَارَ عَلَى أَحَدِهِمَا فَالْمَاءُ أَفْضَلُ) لِأَنَّهُ يُزِيلُ عَيْنَ النَّجَاسَةِ وَأَثَرَهَا.
Maksudnya: “Tetapi yang lebih afdal ialah beristinjak terlebih dahulu dengan batu, kemudian diikuti dengan air… Jika dia mahu menggunakan salah satu sahaja, maka air lebih afdal, kerana air menghilangkan najis dan kesannya.”
Soalan:
Bilakah tisu tidak lagi memadai dan saya wajib menggunakan air?
Jawapan:
Dalam tiga keadaan:
- Najis telah kering.
- Najis merebak dari tempat keluarnya, iaitu melepasi bahagian punggung yang terkatup ketika berdiri (bagi najis besar), atau melepasi kepala zakar atau hasyafah (bagi air kencing).
- Najis terkena najis lain dari luar, seperti darah dari luka.
Dalam kitab Fath al-Qarib dinyatakan:
وَشَرْطُ إِجْزَاءِ الِاسْتِنْجَاءِ بِالْحَجَرِ أَنْ لَا يَجِفَّ الْخَارِجُ النَّجِسُ، وَلَا يَنْتَقِلَ عَنْ مَحَلِّ خُرُوجِهِ، وَلَا يَطْرَأَ عَلَيْهِ نَجِسٌ آخَرُ أَجْنَبِيٌّ عَنْهُ؛ فَإِنِ انْتَفَى شَرْطٌ مِنْ ذَلِكَ تَعَيَّنَ الْمَاءُ.
Maksudnya: “Syarat sah istinjak dengan batu ialah najis yang keluar itu tidak kering, tidak berpindah dari tempat keluarnya, dan tidak terkena najis lain dari luar. Jika salah satu syarat ini tidak dipenuhi, wajiblah menggunakan air.”
Soalan:
Tandas di rumah saya menghadap kiblat. Adakah saya berdosa menggunakannya?
Jawapan:
Tidak berdosa. Tandas memang dibina khusus untuk qadha hajat, maka tiada larangan padanya. Menurut al-Imam al-Nawawi, ia juga tidak makruh. Namun jika ada peluang untuk mengubah arahnya, seperti ketika membina atau mengubah suai rumah, lebih baik ia tidak menghadap atau membelakangi kiblat. Dalam kitab Fath al-Qarib dinyatakan:
إِلَّا الْبِنَاءَ الْمُعَدَّ لِقَضَاءِ الْحَاجَةِ فَلَا حُرْمَةَ فِيهِ مُطْلَقًا.
Maksudnya: “Kecuali binaan yang disediakan untuk membuang hajat; padanya tiada haram sama sekali.”
Al-Khatib al-Syarbini dalam kitab al-Iqna’ menukilkan pandangan Imam al-Nawawi:
وَأَمَّا فِي الْمُعَدِّ لِذَلِكَ فَلَا حُرْمَةَ فِيهِ وَلَا كَرَاهَةَ وَلَا خِلَافَ الْأَوْلَى، قَالَهُ فِي «الْمَجْمُوعِ».
Maksudnya: “Adapun di tempat yang disediakan untuk itu, tiada haram, tiada makruh, dan tidak juga menyalahi yang lebih utama. Demikian kata Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’.”
Soalan:
Ketika berada di kebun atau hutan dan terpaksa membuang air, apa yang perlu saya jaga?
Jawapan:
Haram menghadap atau membelakangi kiblat jika tiada penghadang. Jika ada penghadang yang memenuhi syarat, hukumnya tidak haram, tetapi lebih baik dielakkan. Syarat penghadang ialah:
- tingginya kira-kira dua pertiga hasta, iaitu dua pertiga jarak dari hujung jari hingga siku;
- jaraknya dari kita tidak lebih tiga hasta.
Penghadang itu boleh berupa batu, busut, pokok, atau kain yang dilabuhkan. Dalam kitab Fath al-Qarib dinyatakan:
(وَيَجْتَنِبُ) وُجُوبًا قَاضِي الْحَاجَةِ (اسْتِقْبَالَ الْقِبْلَةِ) الْآنَ وَهِيَ الْكَعْبَةُ، (وَاسْتِدْبَارَهَا فِي الصَّحْرَاءِ)؛ إِنْ لَمْ يَكُنْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ سَاتِرٌ، أَوْ كَانَ وَلَمْ يَبْلُغْ ثُلُثَيْ ذِرَاعٍ، أَوْ بَلَغَهُمَا وَبَعُدَ عَنْهُ أَكْثَرَ مِنْ ثَلَاثَةِ أَذْرُعٍ.
Maksudnya: “Wajib dijauhi oleh orang yang membuang hajat: menghadap kiblat, iaitu Kaabah, dan membelakanginya di kawasan terbuka, jika tiada penghadang antaranya dengan kiblat; atau ada penghadang tetapi tingginya tidak sampai dua pertiga hasta; atau cukup tinggi tetapi dia berada lebih tiga hasta daripadanya.”
Al-Khatib al-Syarbini dalam kitab al-Iqna’ pula menjelaskan:
مَعَ سَاتِرٍ مُرْتَفِعٍ ثُلُثَيْ ذِرَاعٍ تَقْرِيبًا فَأَكْثَرَ… وَإِرْخَاءُ ذَيْلِهِ كَافٍ فِي ذَلِكَ، فَهُمَا حِينَئِذٍ خِلَافُ الْأَوْلَى.
Maksudnya: “Jika ada penghadang setinggi lebih kurang dua pertiga hasta atau lebih… dan melabuhkan hujung pakaian pun sudah memadai sebagai penghadang, maka menghadap dan membelakangi kiblat ketika itu hanya menyalahi yang lebih utama.”
Soalan:
Adakah bilik yang bukan tandas, seperti stor atau bilik kosong, sama hukumnya dengan tandas?
Jawapan:
Tidak sama. Bangunan yang tidak dikhaskan untuk membuang hajat mengambil hukum kawasan terbuka. Jika tiada penghadang yang memenuhi syarat, haram menghadap atau membelakangi kiblat di situ. Dalam kitab Fath al-Qarib dinyatakan:
وَالْبُنْيَانُ فِي هَذَا كَالصَّحْرَاءِ بِالشَّرْطِ الْمَذْكُورِ.
Maksudnya: “Bangunan dalam hal ini sama seperti kawasan terbuka, dengan syarat yang telah disebutkan.”
