SDI 2097: Hukum Ayam Yang Baru Disembelih Dan Masih Bergerak Terus Dimasukkan Ke Dalam Air Panas

Soalan:

Assalamualaikum. Baru-baru ini tular video yang menunjukkan ayam yang baru disembelih terus dimasukkan ke dalam air panas walaupun masih bergerak. Ramai yang risau dan keliru. Adakah ayam seperti ini halal dimakan? Apakah hukum perbuatan tersebut?

Jawapan:

Waalaikumussalam. Hukumnya bergantung pada sama ada sembelihan itu sempurna atau tidak.

Pertama: Jika sembelihan sempurna, iaitu halkum (saluran pernafasan) dan mari’ (saluran makanan) telah putus, maka ayam itu sudah sah disembelih. Gerakan yang masih kelihatan selepas itu hanyalah gerakan haiwan yang sedang mati (harakah al-mazbuh), bukan tanda ia masih hidup sepenuhnya. Oleh itu, ayam tersebut halal dimakan. Dalam Asna al-Matalib 1/554, al-Syeikh Zakaria al-Ansari RH berkata:

وَإِنَّمَا حَلَّ شَيُّهُ وَقَلْيُهُ؛ لِأَنَّ عَيْشَهُ بَعْدَ خُرُوجِهِ مِنْ الْمَاءِ عَيْشُ الْمَذْبُوحِ فَحَلَّ ذَلِكَ كَمَا يَحِلُّ طَرْحُ الشَّاةِ فِي النَّارِ وَسَلْخُهَا بَعْدَ ذَبْحِهَا وَقَبْلَ مَوْتِهَا مَعَ الْكَرَاهَةِ

Dihalalkan memanggang dan menggoreng ikan (ketika masih hidup) kerana hidupnya selepas keluar dari air hanyalah seperti hidup haiwan yang telah disembelih. Maka perbuatan itu halal, sebagaimana halalnya mencampak kambing ke dalam api dan melapah kulitnya selepas disembelih dan sebelum ia mati, namun hukumnya makruh

Dalam Hasyiah Asna al-Matalib 3/376 oleh Abu al-‘Abbas Ahmad bin Ahmad bin Hamzah al-Ramli al-Kabir (w. 957H) dinyatakan:

قَوْلُهُ: كَمَا يَحِلُّ طَرْحُ الشَّاةِ فِي النَّارِ إلَخْ، وَطَرْحُهَا فِي الْقِدْرِ لِإِزَالَةِ صُوفِهَا عِنْدَ إرَادَةِ السَّمْطِ، وَإِنَّمَا لَمْ يَحْرُمْ ذَلِكَ؛ لِأَنَّ الرُّوحَ يَسْرُعُ خُرُوجُهَا فَلَمْ يُوجَدْ تَمَامُ التَّعْذِيبِ

Kata pengarang: ‘sebagaimana halalnya mencampak kambing ke dalam api…’ hingga akhir. Termasuk dalam hukum ini ialah mencampaknya ke dalam periuk untuk menanggalkan bulunya ketika hendak mencelurnya (sumt). Perbuatan itu tidak diharamkan hanyalah kerana nyawanya cepat keluar, maka penyeksaan yang sempurna tidak berlaku

Namun perbuatan memasukkannya ke dalam air panas sebelum ia benar-benar mati adalah makruh dan tidak patut dilakukan, kerana ia menambah kesakitan tanpa sebarang keperluan. Syeikhul Islam Zakaria al-Ansari menyamakannya dengan mencampak kambing ke dalam api atau melapah kulitnya selepas disembelih tetapi sebelum mati, yang hukumnya makruh. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ شَدَّادِ بْنِ أَوْسٍ قَالَ: ثِنْتَانِ حَفِظْتُهُمَا عَنْ رَسُولِ اللهِ ﷺ، قَالَ: «إِنَّ اللهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ»

Daripada Syaddad bin Aus, katanya: “Dua perkara yang aku hafal daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda: ‘Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ihsan (berbuat baik) dalam segala perkara. Maka apabila kamu membunuh, perelokkanlah cara membunuh. Apabila kamu menyembelih, perelokkanlah cara menyembelih. Hendaklah seseorang daripada kamu menajamkan pisaunya dan menyenangkan haiwan sembelihannya.” (Sahih Muslim, Kitab al-Said wa al-Zabaih, Bab al-Amr bi Ihsan al-Zabh wa al-Qatl wa Tahdid al-Syafrah, no. 1955. Cetakan Muhammad Fuad ‘Abd al-Baqi 3/1548, cetakan Turki 6/72)

Kedua: Jika sembelihan tidak sempurna, contohnya halkum atau mari’ tidak putus kerana pisau tersasar atau tumpul, ayam itu masih hidup sebenar (hayah mustaqirrah). Jika ia kemudian mati kerana air panas, kematiannya disebabkan oleh air panas, bukan sembelihan. Ayam itu menjadi bangkai dan haram dimakan.

Kesimpulan dan nasihat:

  • Orang awam tidak perlu panik. Ayam yang disembelih dengan betul tetap halal walaupun dimasukkan ke air panas ketika masih bergerak.
  • Penyembelih dan pengusaha pula wajib memastikan halkum dan mari’ benar-benar putus.
  • Mereka juga perlu menunggu sehingga ayam benar-benar diam dan darahnya berhenti mengalir sebelum mencelurnya, kerana ini menepati tuntutan ihsan dalam Islam.
  • Pengguna dinasihatkan agar membeli daripada premis yang mempunyai pensijilan halal yang diiktiraf.

 


Cetak  
Wallahu a'lam