SDI 2098: Hukum Belajar Bahasa Orang Kafir

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Bolehkah kita sebagai orang Islam belajar bahasa asing seperti bahasa Inggeris, Mandarin atau lainnya? Adakah ia termasuk meniru orang bukan Islam?

Jawapan:

Thabit dalam hadis sahih, Nabi ﷺ pernah menyuruh seorang sahabat yang berupa salah seorang penulis wahyu dan antara sahabat yang paling alim dalam ilmu al-Quran dan faraid, untuk belajar Bahasa Suryani, beliau bernama Zaid bin Thabit RA. Hal ini berdasarkan cerita daripada beliau sendiri yang berkata:

أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ ﷺ أَنْ أَتَعَلَّمَ لَهُ كَلِمَاتٍ مِنْ كِتَابِ يَهُودَ، قَالَ: «إِنِّي وَاللَّهِ مَا آمَنُ يَهُودَ عَلَى كِتَابٍ»، قَالَ: فَمَا مَرَّ بِي نِصْفُ شَهْرٍ حَتَّى تَعَلَّمْتُهُ لَهُ، فَلَمَّا تَعَلَّمْتُهُ كَانَ إِذَا كَتَبَ إِلَى يَهُودَ كَتَبْتُ إِلَيْهِمْ، وَإِذَا كَتَبُوا إِلَيْهِ قَرَأْتُ لَهُ كِتَابَهُمْ.

“Rasulullah ﷺ menyuruhku mempelajari tulisan kaum Yahudi. Baginda bersabda: “Demi Allah, aku tidak percaya kepada Yahudi dalam urusan surat-menyurat.” Kata Zaid: “Belum sampai setengah bulan, aku sudah menguasai tulisan mereka.” Selepas itu, akulah yang menulis surat Baginda kepada Yahudi dan membacakan surat mereka kepada Baginda.” (Riwayat at-Tirmizi no. 2715, beliau berkata: hasan sahih. Juga diriwayatkan oleh Abu Dawud, Ahmad, dan al-Bukhari secara mu’allaq)

Dalam riwayat Imam Ahmad, Nabi ﷺ bertanya kepada Zaid:

تُحْسِنُ السُّرْيَانِيَّةَ، إِنَّهَا تَأْتِينِي كُتُبٌ؟ قَالَ: قُلْتُ: لَا، قَالَ: فَتَعَلَّمْهَا، فَتَعَلَّمْتُهَا فِي سَبْعَةَ عَشَرَ يَوْمًا

“Adakah engkau pandai bahasa Suryani? Banyak surat sampai kepadaku dalam bahasa itu.” Zaid menjawab: “Aku tidak pandai.” Baginda bersabda: “Pelajarilah Bahasa Suryani.” Kata Zaid: “Maka akupun mempelajarinya dan menguasainya dalam masa 17 hari.”

Daripada hadis ini, beberapa perkara dapat difahami:

  1. Belajar bahasa asing hukumnya harus. Ia bukan perbuatan meniru orang kafir, kerana bahasa ialah alat komunikasi, bukan syiar agama. Nabi ﷺ sendiri yang menyuruh sahabatnya mempelajarinya.
  2. Hukumnya boleh menjadi fardu kifayah. Para fuqaha menyebut bahawa apabila umat Islam memerlukannya untuk maslahah umum, seperti menjaga keselamatan, berurusan dengan negara lain atau menyampaikan dakwah, mesti ada sebahagian umat Islam yang menguasai bahasa tersebut. Jika tiada seorang pun, semuanya berdosa. Islam ialah risalah untuk seluruh manusia, dan ia mesti disampaikan dalam bahasa yang mereka fahami.
  3. Sebab Nabi ﷺ menyuruh Zaid belajar bahasa itu adalah supaya urusan penting umat Islam tidak bergantung kepada pihak yang tidak amanah. Ini mengajar kita untuk berdikari dan tidak mudah ditipu.
  4. Niat yang baik menjadikannya ibadah. Jika seseorang belajar bahasa Inggeris, Mandarin atau bahasa lain dengan niat mencari rezeki yang halal, berdakwah atau memberi manfaat kepada masyarakat, insya-Allah ia mendapat pahala.

Cetak  
Wallahu a'lam