SDI 2100: Hukum Rider Foodpanda Menghantar Barang Lalamove Guna Kotak Foodpanda?

Soalan:

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, adakah dibenarkan untuk Karim bekerja dengan dua platform penghantaran, iaitu Foodpanda dan Lalamove, menggunakan satu kotak penghantaran yang sama?

Untuk makluman, karim merupakan rider Foodpanda dan menggunakan kotak penghantaran rasmi Foodpanda. Karim juga ingin membuat kerja sampingan sebagai rider Lalamove. Jadi, adakah karim dibenarkan menggunakan kotak Foodpanda yang sama ketika menjalankan penghantaran melalui Lalamove, atau karim perlu menggunakan kotak yang berbeza?

Terima kasih atas penjelasan pihak ustaz

Jawapan:

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Hukumnya bergantung pada dua perkara, iaitu (1) siapa pemilik kotak foodpanda dan (2) apa syarat dalam perjanjian Karim dengan Foodpanda.

  1. Jika kotak itu milik Karim (dibeli sendiri). Maka pemilik berhak menggunakan hartanya.
  2. Jika kotak itu milik Foodpanda, ia hanya dipinjamkan atau diberi untuk kegunaan kerja, maka Karim tidak boleh menggunakannya untuk platform lain tanpa izin pemilik kotak Foodpanda, kerana akad pinjaman hanya membenarkan penggunaan manfaat berdasarkan keizinan. Peminjam hanya boleh memanfaatkannya setakat yang diizinkan pemilik. Al-Imam al-Nawawi menyebut dalam Minhaj al-Talibin, Kitab al-‘Ariyah -العارية- (pinjaman):

وله الانتفاع بحسب الإذن

Dan baginya (peminjam) hak memanfaatkan menurut kadar keizinan yang diberikan.

Al-Khatib al-Syarbini menghuraikan dalam Mughni al-Muhtaj (3/322) bahawa sebabnya ialah pemilik barang hanya reda dengan penggunaan itu, bukan penggunaan lain:

(وَلَهُ) أَيْ الْمُسْتَعِيرِ (الِانْتِفَاعُ) بِالْمُعَارِ (بِحَسَبِ الْإِذْنِ) لِرِضَا الْمَالِكِ بِهِ دُونَ غَيْرِهِ

(Dan baginya), iaitu bagi peminjam, (hak memanfaatkan) barang yang dipinjamkan itu (menurut kadar keizinan yang diberikan), kerana pemilik hanya reda dengan penggunaan yang diizinkan itu dan tidak dengan penggunaan yang lain.

  1. Jika dalam perjanjian, penghantar Foodpanda dilarang menggunakan kotak rasmi untuk platform lain, maka wajib dipatuhi perjanjian tersebut, berdasarkan hadis:

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ إِلَّا شَرْطًا حَرَّمَ حَلَالًا أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا

Orang muslim terikat dengan syarat yang termeterai melainkan syarat yang mengharamkan perkara yang halal atau menghalalkan perkara yang haram.” (Riwayat al-Tirmizi, beliau menilainya hasan sahih)

Pernah diajukan soalan kepada Lajnah Fatwa Kuwait:

عمل الموظف في الشركة لحساب شركة أخرى

١٨٣٧ - عرض على اللجنة الاستفتاء المقدَّم من السيد / أبي محمد، ونصُّه:

١ - موظف يعمل في مؤسستنا لا يأخذ معاشًا، ولا يأخذ عمولة بيع، بل اتفقنا معه على أن نستورد بضائع برأس مال من عندنا، وعليه مسؤولية البيع والتحصيل، ومقابل ذلك يأخذ نصف الأرباح له؛ فهل يجوز شرعًا أن يتفق مع مؤسسة أخرى ببيع وتحصيل بضائعها؟
٢ - موظف آخر يأخذ راتبًا وعمولة، ويعمل في مؤسستنا، فهل يجوز له أن يبيع بضائع مؤسسة أخرى، علمًا بأننا اشترطنا عليه ألا يبيع بضائع مؤسسة أخرى ووافق على ذلك.
٣ - هل يجوز للمؤسسة الأخرى أن تتفاهم مع موظفين في مؤسستنا لبيع بضائعها؟ مع علمها المؤكد بأننا لن نرضى أن ينشغل موظفونا ببيع بضائع شركات أخرى، وطبقًا لقانون وزارة الشؤون والعمل في دولة الكويت لا يجوز.

أجابت اللجنة بما يلي:

١ - ٢) إذا التزم العامل بألا يعمل في عمل معين آخر غير العمل الذي يقوم به، بموجب عقد أو تعهد، فيجب عليه أن يوفي بالتزامه هذا، ويحرم عليه مخالفته؛ لقوله تعالى: ﴿يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ﴾ [المائدة: ١]، وقوله: ﴿وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا﴾ [الإسراء: ٣٤]، ولقول الرسول -ﷺ-: «المسلمون على شروطهم، إلا شرطًا حرَّم حلالًا أو أحلَّ حرامًا» رواه الترمذي وأبو داود، وسواء في ذلك أن يكون للعامل راتب أو نسبة من الأرباح أو كلاهما. ٣ - لا يجوز لأي شركة أخرى أن تتفق مع هذا العامل على العمل لديها بما يخالف تعهده للشركة الأولى التي يعمل عندها، إذا كانت تعلم بذلك. والله أعلم. [٢٠/ ١٩٣ / ٦٣٨٦]

Pekerja Syarikat Bekerja untuk Syarikat Lain

1837 – Satu permohonan fatwa daripada Saudara Abu Muhammad telah dikemukakan kepada Lajnah. Teksnya seperti berikut:

  1. Seorang pekerja di institusi kami tidak menerima gaji dan tidak menerima komisen jualan. Sebaliknya, kami bersetuju dengannya bahawa kami mengimport barangan menggunakan modal kami, dan dia bertanggungjawab menjual serta memungut bayaran. Sebagai balasan, dia mendapat separuh daripada keuntungan. Adakah dia dibenarkan dari sudut syarak untuk membuat persetujuan dengan institusi lain bagi menjual dan memungut bayaran barangan mereka?
  2. Seorang pekerja lain menerima gaji dan komisen, dan bekerja di institusi kami. Adakah dia dibenarkan menjual barangan institusi lain, sedangkan kami telah mensyaratkan ke atasnya agar tidak menjual barangan institusi lain dan dia telah bersetuju dengan syarat itu?
  3. Adakah institusi lain dibenarkan berpakat dengan pekerja-pekerja di institusi kami untuk menjual barangan mereka, sedangkan mereka mengetahui dengan pasti bahawa kami tidak benarkan pekerja kami sibuk menjual barangan syarikat lain? Perbuatan ini juga tidak dibenarkan menurut undang-undang Kementerian Hal Ehwal Sosial dan Buruh di Negara Kuwait.

Jawapan Lajnah fatwa seperti berikut:

(1 – 2) Apabila seseorang pekerja telah komited, melalui kontrak atau akujanji, untuk tidak melakukan sesuatu pekerjaan tertentu yang lain selain pekerjaan yang sedang dilakukannya, maka dia wajib menunaikan komitmennya itu dan haram baginya melanggarnya. Dalilnya ialah firman Allah Ta’ala: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad itu” [al-Ma’idah: 1], dan firman-Nya: “Dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu akan dipertanggungjawabkan” [al-Isra’: 34]. Rasulullah ﷺ juga bersabda: “Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat mereka, kecuali syarat yang mengharamkan perkara yang halal atau menghalalkan perkara yang haram” (riwayat al-Tirmizi, 6352 dan Abu Daud, 3594). Hukum ini sama sahaja sama ada pekerja itu menerima gaji, atau peratusan daripada keuntungan, atau kedua-duanya.

(3) Tidak boleh bagi mana-mana syarikat lain untuk membuat persetujuan dengan pekerja tersebut supaya bekerja dengannya dalam bentuk yang bercanggah dengan akujanji pekerja kepada syarikat pertama tempat dia bekerja, sekiranya syarikat lain itu mengetahui perkara tersebut. Wallahu a’lam. [20/193/6386] (al-Durar al-Bahiyyah min al-Fatawa al-Kuwaitiyyah, 7/81).

Perkara lain yang perlu dijaga:

  • Tidak mengelirukan orang. Jangan sampai pelanggan atau premis menyangka itu penghantaran Foodpanda, terutama jika ada kesan seperti tuntutan atau aduan yang tersalah alamat.
  • Jika Lalamove melarang penggunaan jenama pesaing, syarat itu juga perlu dipatuhi.

Nasihat: Karim perlu menyemak semula perjanjian rider Foodpanda atau bertanya kepada pihak hub. Jika masih tidak jelas, cara paling selamat ialah menggunakan kotak atau beg yang tidak berjenama untuk Lalamove. Ini lebih menenangkan hati dan menjauhkan diri daripada perkara syubhah.


Cetak  
Wallahu a'lam