SDI 2101: Hukum Mengiringi Jenazah Ahli Keluarga Sendiri Yang Bukan Muslim

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Jika seorang mualaf kematian ayahnya yang bukan Islam, Bolehkah dia mengiringi jenazah ayahnya itu ke tanah perkuburan dan menziarahi kuburnya selepas itu? Bagaimana pula jika yang meninggal dunia itu ialah jiran atau rakan sekerja yang bukan Islam. Adakah seorang muslim dibenarkan mengiringi jenazah mereka semua dan menziarahi kubur mereka?

Jawapan:

Waalaikumussalam warahmatullah.

Hukum seorang Muslim mengiringi jenazah orang bukan Islam berbeza mengikut hubungannya dengan si mati:

1. Kerabat, isteri atau jiran, maka harus seorang muslim mengiringi jenazahnya tanpa ada hukum makruh. Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata dalam Tuhfat al-Muhtaj (3/187):

(وَلَا بَأْسَ بِاتِّبَاعِ الْمُسْلِمِ جِنَازَةَ قَرِيبِهِ الْكَافِرِ) فَلَا كَرَاهَةَ فِيهِ ... وَكَالْقَرِيبِ زَوْجٌ وَمَالِكٌ، قَالَ شَارِحٌ: وَجَارٌ

Terjemahan: “(Tidak mengapa seorang Muslim mengiringi jenazah kerabatnya yang kafir), maka tiada makruh padanya ... Sama hukumnya dengan kerabat ialah isteri dan tuan (hamba). Syarih kitab berkata: dan (demikian juga) jiran.”

Dalilnya ialah:

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ، حَدَّثَنَا يَحْيَى، عَنْ سُفْيَانَ، حَدَّثَنِي أَبُو إِسْحَاقَ، عَنْ نَاجِيَةَ بْنِ كَعْبٍ، عَنْ عَلِيٍّ عَلَيْهِ السَّلَامُ قَالَ: قُلْتُ لِلنَّبِيِّ ﷺ: إِنَّ عَمَّكَ الشَّيْخَ الضَّالَّ قَدْ مَاتَ، قَالَ: «اذْهَبْ فَوَارِ أَبَاكَ، ثُمَّ لَا تُحْدِثَنَّ شَيْئًا حَتَّى تَأْتِيَنِي». فَذَهَبْتُ فَوَارَيْتُهُ وَجِئْتُهُ، فَأَمَرَنِي فَاغْتَسَلْتُ وَدَعَا لِي.

Daripada Ali RA, beliau berkata: Aku berkata kepada Nabi ﷺ: “Sesungguhnya bapa saudaramu, orang tua yang sesat itu, telah meninggal dunia.” Baginda bersabda: “Pergilah dan kebumikanlah ayahmu, kemudian jangan engkau lakukan apa-apa sehingga engkau datang menemuiku.” Maka aku pun pergi dan mengebumikannya, lalu aku datang kepada Baginda. Baginda menyuruhku mandi, maka aku pun mandi, dan Baginda mendoakan untukku. (Riwayatkan al-Nasa’i (no. 190 dan 2006), Ahmad (1/97), Ibn Abi Syaibah dan al-Baihaqi. Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfat al-Muhtaj (3/187) menilai sanadnya hasan. Al-Nawawi dalam al-Majmu’ menilainya dha’if, sebagaimana dinukilkan dalam al-Tuhfah. Al-Rafi’i dalam al-Amali menyifatkannya sebagai hadis yang thabit lagi masyhur. Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Talkhis berkata bahawa al-Baihaqi menganggapnya dha’if, tetapi tidak jelas apa sebab kelemahannya. Al-Albani menilainya sahih (Sahih Abi Daud no. 2753, Irwa’ al-Ghalil no. 717)

Tentang jiran, Ibn Hajar menyebut dalam kitab yang sama:

وَاعْتَرَضَ بِأَنَّ الْأَوْجَهَ تَقْيِيدُهُ بِرَجَاءِ إسْلَامٍ ... أَوْ خَشْيَةِ فِتْنَةٍ

“Pendapat (jiran) itu dibantah, kerana yang lebih tepat ialah mengikatnya dengan (keadaan) diharapkan keislaman ... atau dibimbangi berlaku fitnah.”

Maknanya, jika dengan mengiringi jenazah jiran itu diharapkan keluarganya tertarik kepada Islam, atau dibimbangi berlaku fitnah dan salah faham sekiranya tidak hadir, maka tidak makruh mengiringinya. Jika tiada sebab-sebab tersebut, hukumnya makruh.

2. Selain kerabat, isteri dan jiran: makruh menurut pendapat muktamad

Al-Bujairimi berkata dalam Hasyiah ‘ala Syarh al-Manhaj (1/470):

وَأَمَّا غَيْرُ قَرِيبِهِ فَالرَّاجِحُ فِيهِ الْكَرَاهَةُ كَمَا يَقْتَضِيهِ شَرْحُ م ر

“Adapun selain kerabatnya, maka pendapat yang rajih padanya ialah makruh, sebagaimana yang ditunjukkan oleh syarah -Imam al-Ramli.”

Ada juga ulama yang berpendapat haram. Ibn Hajar menyebut dalam al-Tuhfah (3/187):

وَأَفْهَمَ الْمَتْنُ حُرْمَةَ اتِّبَاعِ الْمُسْلِمِ جِنَازَةَ كَافِرٍ غَيْرِ نَحْوِ قَرِيبٍ، وَبِهِ صَرَّحَ الشَّاشِيُّ

“Matan (al-Minhaj) memberi faham haramnya seorang Muslim mengiringi jenazah orang kafir yang bukan kerabat dan seumpamanya. Al-Syasyi telah menyatakannya secara jelas.”

Sebahagian ulama mengqiaskan pendapat haram ini kepada haramnya memulakan salam kepada mereka.

3. Menziarahi kubur orang bukan Islam: tidak disunatkan

Ibn Hajar berkata dalam al-Tuhfah (3/200):

أَمَّا قُبُورُ الْكُفَّارِ فَلَا تُسَنُّ زِيَارَتُهَا، بَلْ قِيلَ: تَحْرُمُ، وَيَتَعَيَّنُ تَرْجِيحُهُ فِي غَيْرِ نَحْوِ قَرِيبٍ قِيَاسًا عَلَى مَا مَرَّ فِي اتِّبَاعِ جِنَازَتِهِ

“Adapun kubur orang-orang kafir, maka tidak disunatkan menziarahinya. Bahkan ada pendapat yang mengatakan haram, dan pendapat ini wajib ditarjih bagi selain kerabat dan seumpamanya, dengan diqiaskan kepada hukum mengiringi jenazahnya yang telah disebut.”

Bagi kubur kerabat, Ibn Hajar menyatakan sebelum itu (3/187):

وَيَجُوزُ لَهُ زِيَارَةُ قَبْرِهِ أَيْضًا

Terjemahan: “Dan harus juga baginya menziarahi kubur (kerabatnya yang kafir) itu.”

4. Syarat penting: tiada unsur memuliakan dan mengagungkan

Dalam Hasyiah al-Tuhfah (3/200), al-‘Abbadi berkata:

وَظَاهِرٌ أَنَّ الْكَلَامَ حَيْثُ لَا إكْرَامَ وَلَا تَعْظِيمَ فِي الزِّيَارَةِ وَالِاتِّبَاعِ، وَإِلَّا حَرُمَا

“Jelas bahawa perbincangan ini adalah dalam keadaan ziarah dan iringan itu tidak disertai unsur memuliakan dan mengagungkan. Jika disertai unsur tersebut, maka kedua-duanya haram.”

Kesimpulan untuk saudara:

  • Ayah: Saudara harus mengiringi jenazahnya tanpa makruh, dan harus juga menziarahi kuburnya, kerana dia kerabat.
  • Jiran: Tidak makruh jika ada harapan keluarganya tertarik kepada Islam atau bimbang berlaku fitnah. Jika tidak, makruh.
  • Rakan sekerja: Makruh menurut pendapat yang rajih. Ada juga pendapat yang mengharamkannya.
  • Ziarah kubur selain kerabat: Tidak disunatkan, dan Ibn Hajar mentarjihkan hukum haram.
  • Dalam semua keadaan: Elakkan sebarang perbuatan yang bersifat memuliakan atau menyertai ritual agama si mati.

Cetak  
Wallahu a'lam