Soalan:
Berapakah bilangan umrah yang telah dilakukan oleh Rasulullah ﷺ?
Jawapan:
Pendapat yang sahih di sisi ulama ialah Nabi ﷺ telah melakukan empat kali umrah:
- Umrah Hudaibiyah, pada tahun keenam Hijrah.
- Umrah al-Qada’, pada tahun ketujuh.
- Umrah al-Ji’ranah, pada tahun kelapan.
- Umrah yang dilakukan bersama Haji Wida’.
Tiga umrah yang pertama berlaku dalam bulan Zulkaedah.
Daripada Anas رضي الله عنه:
اعْتَمَرَ أَرْبَعَ عُمَرٍ فِي ذِي الْقَعْدَةِ، إِلَّا الَّتِي اعْتَمَرَ مَعَ حَجَّتِهِ، عُمْرَتَهُ مِنَ الْحُدَيْبِيَةِ، وَمِنَ الْعَامِ الْمُقْبِلِ، وَمِنَ الْجِعْرَانَةِ حَيْثُ قَسَمَ غَنَائِمَ حُنَيْنٍ، وَعُمْرَةً مَعَ حَجَّتِهِ
Nabi ﷺ melakukan empat kali umrah, semuanya dalam bulan Zulkaedah kecuali umrah yang dilakukan bersama haji baginda. Umrah tersebut ialah umrah dari Hudaibiyah, umrah pada tahun berikutnya, umrah dari al-Ji’ranah ketika baginda membahagikan harta rampasan Hunain, dan umrah bersama haji baginda. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tidak dinafikan terdapat riwayat daripada Ibn Umar yang menyebut umarah Nabi ﷺ sebanyak dua kali. Ibn al-Qayyim menukilkan riwayat ini dalam Zad al-Ma’ad (2/102) daripada Sunan Abi Daud (no. 1992):
وَرَابِعُهَا: مَا رَوَى أبو داود، عَنِ النفيلي، حَدَّثَنَا زُهَيْرٌ هُوَ ابْنُ مُعَاوِيَةَ، حَدَّثَنَا إسحاق، عَنْ مجاهد: «سُئِلَ ابْنُ عُمَرَ: كَمِ اعْتَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ؟ فَقَالَ: مَرَّتَيْنِ. فَقَالَتْ عائشة: لَقَدْ عَلِمَ ابْنُ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ اعْتَمَرَ ثَلَاثًا سِوَى الَّتِي قَرَنَ بِحَجَّتِهِ»
Ibn Umar ditanya berapa kali Rasulullah ﷺ berumrah, lalu beliau menjawab: “Dua kali.” Aisyah berkata: “Ibn Umar sebenarnya tahu bahawa Rasulullah ﷺ berumrah tiga kali, selain umrah yang baginda gabungkan dengan haji.”
Ibn al-Qayyim dalam Zad al-Ma’ad (2/103) menyebut:
وَلَمْ يُنَاقِضْ هَذَا قَوْلَ ابْنِ عُمَرَ: إِنَّهُ ﷺ قَرَنَ بَيْنَ الْحَجِّ وَالْعُمْرَةِ؛ لِأَنَّهُ أَرَادَ الْعُمْرَةَ الْكَامِلَةَ الْمُفْرَدَةَ، وَلَا رَيْبَ أَنَّهُمَا عُمْرَتَانِ: عُمْرَةُ الْقَضَاءِ، وَعُمْرَةُ الْجِعْرَانَةِ. وعائشة ﵂ أَرَادَتِ الْعُمْرَتَيْنِ الْمُسْتَقِلَّتَيْنِ، وَعُمْرَةَ الْقِرَانِ، وَالَّتِي صُدَّ عَنْهَا، وَلَا رَيْبَ أَنَّهَا أَرْبَعٌ.
Kata-kata Ibn Umar (“dua kali”) tidak bercanggah dengan kenyataannya sendiri bahawa Nabi ﷺ melakukan haji qiran. Ini kerana yang beliau maksudkan ialah umrah yang sempurna dan berasingan, dan tidak syak bahawa ia dua: Umrah al-Qada’ dan Umrah al-Ji’ranah. Aisyah pula memaksudkan dua umrah yang berasingan itu, ditambah umrah qiran dan umrah yang baginda dihalang daripadanya (Hudaibiyah). Tidak syak bahawa jumlahnya empat.”
al-Kashmiri dalam Faid al-Bari ‘ala Sahih al-Bukhari (3/278), Bab Kam I’tamara al-Nabi ﷺ menyebut:
واعلم أن النبي ﷺ اعتمر أربع عُمْرات، واختلف الرواة في تعديدها: فبعضُهم لم يعدُّوا عمرةَ الحُدَيْبِيَة لعدم تماميتها والحِلُّ قبل أوانها، وبعضٌ لم يَعُدُّوا عمرة الجِعْرَانة لكونها في سواد الليل، ومنهم من لم يَعُدَّ العمرة مع حجته لعدم تميُّزها من حجته، فهذه اعتباراتُ أن ذلك اختلاف.
Maksudnya: Ketahuilah bahawa Nabi ﷺ berumrah empat kali, tetapi para perawi berbeza dalam mengiranya: Sebahagian mereka tidak mengira Umrah Hudaibiyah kerana ia tidak sempurna dan baginda bertahallul sebelum waktunya. Sebahagian lagi tidak mengira Umrah al-Ji’ranah kerana ia dilakukan dalam kegelapan malam. Ada pula yang tidak mengira umrah bersama haji kerana ia tidak terpisah daripada haji baginda. Inilah sudut-sudut pertimbangan yang menyebabkan perbezaan tersebut.
Selian itu terdapat juga riwayat Ibn Umar dalam Sahih al-Bukhari (no. 1775–1776), Ibn Umar menyebut empat umrah, tetapi menyatakan salah satunya dalam bulan Rejab. Aisyah membetulkannya dengan berkata:
«يَرْحَمُ اللَّهُ أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ، مَا اعْتَمَرَ عُمْرَةً إِلَّا وَهُوَ شَاهِدُهُ، وَمَا اعْتَمَرَ فِي رَجَبٍ قَطُّ»
Maksudnya: “Semoga Allah merahmati Abu Abdul Rahman (Ibn Umar). Tidaklah baginda berumrah melainkan dia turut menyertainya, dan baginda tidak pernah sekali-kali berumrah dalam bulan Rejab.”
Al-Kashmiri menyatakan para pensyarah sepakat bahawa sebutan “Rejab” itu satu kekeliruan Ibn Umar. Beliau mengemukakan andaian tentang punca kekeliruan itu: dalam syariat Nabi Ibrahim, umrah dilakukan dalam bulan Rejab, maka Ibn Umar menyangka umrah Nabi ﷺ juga begitu. Beliau berkata 3/278:
قوله: «إحداهن في رجب» وهو ههنا نَكِرَةٌ قطعًا لزوال العَلَمية، نحو: جاء عمر وعمر آخر. ثم إن الشارحين اتفقوا على كونِهِ غلطًا من ابن عمر، وتبيَّنَ لي مَنْشأ غلطه، وهو أن العمرة في الملة الإِبراهيمية كانت في رجب، وكان الحج في ذي الحجة، فجعل ابن عمر عمرتَه أيضًا في رجب بناءً على المِلة الإِبراهيمية.
Kata Ibn ‘Umar: «إحداهن في رجب» (salah satunya dalam bulan Rejab): perkataan “Rejab” di sini pasti dalam bentuk nakirah kerana hilang sifat namanya, seperti kata “datang Umar dan seorang Umar yang lain”. Para pensyarah sepakat bahawa sebutan ini satu kesilapan daripada Ibn Umar. Telah jelas bagiku punca kesilapannya: dalam ajaran Nabi Ibrahim, umrah dilakukan dalam bulan Rejab dan haji dalam bulan Zulhijjah. Maka Ibn Umar menyangka umrah baginda ﷺ juga dalam bulan Rejab, berdasarkan ajaran Nabi Ibrahim itu.”
