SDI 2103: Apakah Maksud Nabi Sebagai Seorang Rasul Yang Ummi dan Mengapa?

Soalan:

Apakah maksud sifat ummi bagi Nabi ﷺ, dan bagaimana ia menjadi mukjizat bagi kedudukan baginda yang mulia?

Jawapan:

Maksud ummi dalam bahasa Arab

Ummi ialah:

هو الذي لا يَكتب ولا يَقرأ المكتوبَ، وأكثر العرب كانوا أُمِّيِّين، وقيل للذي لا يَكتب ولا يَقرأ: أُمِّيٌّ؛ لأنه على جِبِلَّتِهِ التي ولدته أُمُّهُ عليها، والكتابة مُكْتَسَبَهٌ مُتَعَلَّمةٌ، وكذلك القراءة مِن الكتاب

Orang yang tidak menulis dan tidak membaca tulisan. Kebanyakan orang Arab ketika itu ummi. Mereka dinamakan demikian kerana kekal pada fitrah asal ketika dilahirkan oleh ibunya (umm). Kemahiran menulis dan membaca pula diperoleh melalui usaha dan pembelajaran. (Lisan al-‘Arab, Ibn Manzur, 12/34)

Maksud Nabi ﷺ disifatkan sebagai ummi

Sifat ummi dikhususkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad ﷺ, tidak kepada para nabi dan rasul yang lain. Allah berfirman:

﴿الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الْأُمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِنْدَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ﴾

 “(Iaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi, yang mereka dapati (nama dan sifatnya) tertulis di sisi mereka di dalam Taurat dan Injil.” (al-A’raf: 157),

﴿ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ﴾

 “Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi, yang beriman kepada Allah dan kalimah-kalimah-Nya. Dan ikutilah dia, supaya kamu mendapat petunjuk.” (al-A’raf: 158)

﴿هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ﴾

“Dialah yang telah mengutus dalam kalangan orang-orang yang ummi seorang Rasul daripada kalangan mereka sendiri. Rasul itu membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menyucikan mereka, dan mengajarkan mereka al-Kitab dan al-Hikmah. Sesungguhnya mereka sebelum itu benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata.” (al-Jumu’ah: 2).

Dalam hadis Ibn ‘Umar, Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّا أُمَّةٌ أُمِّيَّةٌ، لَا نَكْتُبُ وَلَا نَحْسُبُ

Sesungguhnya kita adalah umat yang ummi, tidak dapat menulis dan mengira.” (al-Bukhari dan Muslim)

Kata-kata salaf dan hadis tentangnya:

  • Ibn Abbas:

هُوَ مِنْكُمْ، كَانَ أُمِّيًّا لَا يَكْتُبُ وَلَا يَقْرَأُ وَلَا يُحَاسِبُ

 “Baginda daripada kalangan kamu; baginda ummi, tidak menulis, tidak membaca dan tidak mengira.” (al-Tha’labi - الثَّعْلَبِي- dalam al-Kasyf wa al-Bayan ‘an Tafsir al-Quran, 4/291)

  • Qatadah:

هو نبيكم صلى الله عليه وآله وسلم، كان أمِّيًّا لا يَكتبُ

“Dialah Nabi kamu ﷺ; baginda ummi, tidak menulis.” (al-Tabari, 13/163)

Sifat ummi ini satu pujian dan kesempurnaan bagi Nabi ﷺ, tetapi kekurangan bagi orang lain. Ilmu baginda ialah ilmu ladunni rabbani (ilmu langsung dari Allah) yang tidak tertanding. Jika manusia memperolehi ilmi melalui perantaraan membaca, Baginda ﷺ pula memperolehi ilmu daripada Tuhan semesta alam.

Oleh itu, ummi bagi baginda tidak bermaksud jahil. Membaca dan menulis tiada nilai pada diri baginda; ia hanya alat untuk memperoleh ilmu. Alat itu sudah terhasil bagi baginda melalui wahyu, seperti firman Allah:

  1. Surah al-Nisa’, ayat 113

«وَعَلَّمَكَ مَا لَمْ تَكُنْ تَعْلَمُ»

“Dan Dia telah mengajarkan kepadamu apa yang belum kamu ketahui.”

  1. Surah Taha, ayat 99

«وَقَدْ آتَيْنَاكَ مِنْ لَدُنَّا ذِكْرًا»

“Dan sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu dari sisi Kami suatu peringatan (al-Quran).”

  1. Surah al-Najm, ayat 3–4

«وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى ۝ إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى»

“Dan dia tidak berkata-kata menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).”

Antara hadis yang menunjukkan keluasan ilmu baginda:

  1. Hadis «سَلُونِي» (Tanyalah aku): riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Anas bin Malik رضي الله عنه.

«أَخْبَرَنِي أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ رضي الله عنه: «أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ حِينَ زَاغَتِ الشَّمْسُ فَصَلَّى الظُّهْرَ، فَلَمَّا سَلَّمَ قَامَ عَلَى الْمِنْبَرِ، فَذَكَرَ السَّاعَةَ، وَذَكَرَ أَنَّ بَيْنَ يَدَيْهَا أُمُورًا عِظَامًا، ثُمَّ قَالَ: مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَسْأَلَ عَنْ شَيْءٍ فَلْيَسْأَلْ عَنْهُ، فَوَاللهِ لَا تَسْأَلُونِي عَنْ شَيْءٍ إِلَّا أَخْبَرْتُكُمْ بِهِ مَا دُمْتُ فِي مَقَامِي هَذَا. قَالَ أَنَسٌ: فَأَكْثَرَ النَّاسُ الْبُكَاءَ، وَأَكْثَرَ رَسُولُ اللهِ ﷺ أَنْ يَقُولَ: سَلُونِي. فَقَالَ أَنَسٌ: فَقَامَ إِلَيْهِ رَجُلٌ فَقَالَ: أَيْنَ مَدْخَلِي يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: النَّارُ. فَقَامَ عَبْدُ اللهِ بْنُ حُذَافَةَ فَقَالَ: مَنْ أَبِي يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: أَبُوكَ حُذَافَةُ قَالَ: ثُمَّ أَكْثَرَ أَنْ يَقُولَ: سَلُونِي، سَلُونِي. فَبَرَكَ عُمَرُ عَلَى رُكْبَتَيْهِ فَقَالَ: رَضِينَا بِاللهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ ﷺ رَسُولًا. قَالَ: فَسَكَتَ رَسُولُ اللهِ ﷺ حِينَ قَالَ عُمَرُ ذَلِكَ، ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ عُرِضَتْ عَلَيَّ الْجَنَّةُ وَالنَّارُ آنِفًا فِي عُرْضِ هَذَا الْحَائِطِ، وَأَنَا أُصَلِّي، فَلَمْ أَرَ كَالْيَوْمِ فِي الْخَيْرِ وَالشَّرِّ»

“Suatu hari Nabi ﷺ keluar ketika matahari telah tergelincir, lalu baginda menunaikan solat Zohor. Setelah memberi salam, baginda berdiri di atas mimbar, lalu menyebut tentang hari Kiamat dan bahawa sebelumnya akan berlaku perkara-perkara yang besar. Kemudian baginda bersabda: “Sesiapa yang ingin bertanya tentang sesuatu, maka tanyalah. Demi Allah, tidaklah kamu bertanya kepadaku tentang sesuatu melainkan aku akan memberitahu kamu, selagi aku berada di tempatku ini.” Anas berkata: Maka orang ramai pun banyak menangis, dan Rasulullah ﷺ berulang kali bersabda: “Tanyalah aku.” Anas berkata: Lalu seorang lelaki bangun dan bertanya, “Di manakah tempat kembaliku, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Neraka.” Kemudian Abdullah bin Huzafah bangun dan bertanya, “Siapakah bapaku, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Bapamu ialah Huzafah.” Kemudian baginda berulang kali bersabda: “Tanyalah aku, tanyalah aku.” Maka Umar pun berlutut lalu berkata: “Kami reda Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, dan Muhammad ﷺ sebagai Rasul.” Anas berkata: Rasulullah ﷺ pun diam ketika Umar berkata demikian. Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: “Demi (Allah) yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya baru sebentar tadi telah diperlihatkan kepadaku syurga dan neraka di permukaan dinding ini ketika aku sedang solat. Aku tidak pernah melihat (sesuatu) seperti hari ini, dalam kebaikan dan keburukan.”[1]

  1. Hadis «أَلَا إِنِّي أُوتِيتُ الْكِتَابَ وَمِثْلَهُ مَعَهُ»: riwayat Abu Daud.

«أَلَا إِنِّي أُوتِيتُ الْكِتَابَ وَمِثْلَهُ مَعَهُ»

“Ketahuilah, sesungguhnya aku telah dikurniakan al-Kitab (al-Quran) dan yang seumpamanya bersamanya (al-Sunnah).”

Ibn ‘Asyur (al-Tahrir wa al-Tanwir, 9/133) berkata:

والأمية وصفٌ خَصَّ اللهُ به مِن رُسُله محمدًا صلى الله عليه وآله وسلم؛ إتمامًا للإعجاز العلمي العقلي الذي أيده الله به، فجعل الأمية وصفًا ذاتيًّا له؛ ليتم بها وصفُه الذاتيُّ وهو الرسالة، ليَظهر أنَّ كمالَهُ النَّفْسَانِيَّ كمالٌ لَدُنِّيٌّ إلهيٌّ، لا واسطة فيه للأسباب المتعارفة للكمالات، وبذلك كانت الأميةُ وَصْفَ كمالٍ فيه، مع أنها في غيره وَصْفُ نُقصان؛ لأنه لَمَّا حصل له مِن المعرفة وسداد العقل ما لا يَحتمل الخطأَ في كل نواحي معرفة الكمالات الحق، وكان على يقينٍ مِن عِلمِه، وبَيِّنَةٍ مِن أَمْرِهِ، ما هو أعظم مما حصل للمتعلِّمين، صارت أُمِّيَّتُهُ آيةً على كون ما حصل له إنما هو مِن فُيُوضات إلهية

 Sifat ummi dikhususkan Allah kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk menyempurnakan mukjizat ilmiah dan akliah yang dikurniakan kepada baginda. Tujuannya supaya jelas bahawa kesempurnaan jiwa baginda ialah kesempurnaan ladunni ilahi, tanpa perantaraan sebab-sebab biasa. Kerana itu ia menjadi sifat kesempurnaan bagi baginda, walaupun sifat kekurangan bagi orang lain. ummiah baginda menjadi tanda bahawa apa yang baginda peroleh ialah limpahan kurnia ilahi.”

Mengapa sifat ummi menjadi mukjizat

Ulama menyatakan beberapa sebab:

  • Menolak tuduhan. Jika baginda boleh membaca dan menulis, baginda boleh dituduh menelaah kitab-kitab terdahulu. Sebaliknya, baginda membawa al-Quran yang mengandungi ilmu orang terdahulu dan terkemudian tanpa membaca atau menelaah.
  • Membenarkan khabar gembira para nabi terdahulu tentang nabi yang ummi, dan menjadikan keadaan baginda serupa dengan kaumnya supaya lebih dekat dengan mereka.
  • Bacaan al-Quran yang tidak berubah. Baginda membaca al-Quran berulang kali tanpa mengubah satu lafaz pun. Sedangkan seorang pemidato Arab yang mengulang ucapan spontannya pasti menambah atau mengurangkannya.
  • Gabungan dua keadaan yang berlawanan. Menulis itu mudah dipelajari, malah oleh orang yang paling kurang cerdas. Namun baginda yang dikurniakan ilmu yang paling tinggi tidak mempelajarinya. Gabungan ini menyalahi adat dan termasuk dalam erti mukjizat.

Inilah maksud firman Allah dalam Ini Surah al-‘Ankabut, ayat 48:

«وَمَا كُنْتَ تَتْلُو مِنْ قَبْلِهِ مِنْ كِتَابٍ وَلَا تَخُطُّهُ بِيَمِينِكَ إِذًا لَارْتَابَ الْمُبْطِلُونَ»

“Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah membaca sebelumnya (sebelum al-Quran) sebuah kitab pun, dan tidak pernah menulisnya dengan tangan kananmu. (Jika engkau pernah membaca atau menulis), nescaya ragulah orang-orang yang membatalkan kebenaran itu.”

Al-Tabari mentafsirkannya: jika baginda membaca atau menulis sebelum wahyu, pasti orang-orang yang batil meragui dan menuduhnya sebagai penyair, tukang tilik atau dongeng orang dahulu. Al-Wahidi (al-Wajiz, hlm. 416) pula berkata: ummi ialah yang tidak menulis dan tidak membaca, dan sifat ini menguatkan mukjizat baginda pada al-Quran.

Kesimpulan

Ummi bermaksud tidak membaca dan tidak menulis. Membaca dan menulis hanyalah alat untuk memperoleh ilmu, dan alat itu sudah terhasil bagi Nabi ﷺ melalui wahyu dan ilmu ladunni. Hikmah sifat ini ialah menzahirkan kesempurnaan diri baginda tanpa perantaraan sebab-sebab biasa, dan menjadikannya tanda bahawa ilmu baginda ialah kurnia ilahi.



[1] Sebab khutbah ini disampaikan oleh Nabi SAW:

  • Al-Muhallab, dinukil oleh al-‘Aini dan al-Qastallani: Nabi ﷺ berkhutbah selepas solat dan bersabda “Tanyalah aku” kerana sampai kepada baginda berita bahawa sekumpulan munafik bertanya kepada baginda dengan tujuan melemahkan baginda. Lalu baginda marah dan bersabda: «لَا تَسْأَلُونِي عَنْ شَيْءٍ إِلَّا أَخْبَرْتُكُمْ بِهِ».
  • Al-Qadi ‘Iyad: Zahir hadis menunjukkan sabda “Tanyalah aku” diucapkan dalam keadaan marah. Riwayat Abu Musa dalam al-Bukhari menguatkannya: baginda ditanya tentang perkara yang tidak disukainya, dan apabila mereka terus bertanya, baginda marah lalu bersabda “Tanyalah aku”.
  • Para ulama (al-Kirmani, al-‘Aini, al-Qastallani): Sabda ini difahami sebagai berlaku dengan wahyu, kerana Nabi ﷺ tidak mengetahui perkara ghaib yang ditanya kecuali dengan pemberitahuan Allah.

Siapakah lelaki yang dijawab “Neraka”?

  • Ibn Hajar (Fath al-Bari, 13/269):

«وَلَمْ أَقِفْ عَلَى اسْمِ هَذَا الرَّجُلِ فِي شَيْءٍ مِنَ الطُّرُقِ، كَأَنَّهُمْ أَبْهَمُوهُ عَمْدًا لِلسَّتْرِ عَلَيْهِ»

Maksudnya: namanya tidak diketahui dalam mana-mana jalan riwayat. Para perawi seolah-olah sengaja tidak menyebut namanya untuk menutup aibnya.

  • Riwayat lain: Ibn ‘Abd al-Barr menukilkan bahawa seorang lelaki daripada Bani Asad bertanya, “Di manakah aku?” Baginda menjawab: “Dalam neraka.” Dalam riwayat al-Tabarani daripada Abu Firas al-Aslami pula, seorang lagi bertanya, “Adakah aku dalam syurga?” Baginda menjawab: “Dalam syurga.” Nama lelaki itu juga tidak diketahui.
  • Al-Saharanfuri, dalam hasyiah al-Bukhari: Kemungkinan lelaki itu munafik, atau Nabi ﷺ mengetahui buruknya kesudahan hidupnya, sebagaimana baginda mengetahui baiknya kesudahan sepuluh sahabat yang dijamin syurga.
  • Ibn Hajar menambah: Kisah inilah yang paling jelas menunjukkan sebab turunnya ayat «لَا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِنْ تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ» (al-Ma’idah: 101). Jawapan kepada lelaki ini benar-benar “menyusahkan” penanya. Bagi Abdullah bin Huzafah pula, kesusahan itu hanya kemungkinan: andainya bapanya bukan Huzafah, ibunya akan terdedah aib. Kerana itu ibunya menegurnya, dan dia menjawab: «وَاللهِ لَوْ أَلْحَقَنِي بِعَبْدٍ لَلَحِقْتُ بِهِ».

Mengapa para sahabat menangis?

  • Al-Muhallab dan al-‘Aini:

«إِنَّمَا كَانَ بُكَاؤُهُمْ خَوْفًا مِنْ نُزُولِ عَذَابٍ لِغَضَبِهِ ﷺ، كَمَا كَانَ يَنْزِلُ عَلَى الْأُمَمِ عِنْدَ رَدِّهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ»

Maksudnya: mereka takut azab turun kerana kemarahan baginda, seperti yang menimpa umat-umat terdahulu apabila mereka membantah nabi mereka.

  • Al-Qastallani menambah sebab kedua: takut terhadap huru-hara hari Kiamat yang baru sahaja baginda sebutkan.
  • Al-Qurtubi, dinukil oleh al-Harari: Kemungkinan sebabnya kemarahan baginda, atau apa yang baginda khabarkan tentang fitnah dan dahsyatnya azab neraka.
  • Ibn Hajar menghimpunkan riwayat yang menggambarkan suasana itu:
    • Riwayat Hisyam: setiap lelaki menutup kepalanya dengan kain sambil menangis.
    • Riwayat Sa’id bin Basyir: mereka menyangka sesuatu perkara besar telah hampir berlaku.
    • Riwayat Muslim: «فَمَا أَتَى عَلَى أَصْحَابِ رَسُولِ اللهِ ﷺ يَوْمٌ كَانَ أَشَدَّ مِنْهُ», iaitu tiada hari yang lebih berat bagi para sahabat daripada hari itu.

4. Mengapa Umar berlutut dan berkata "رضينا بالله ربا..."?

  • Ibn Battal, dinukil oleh Abu al-‘Abbas al-Qurtubi:

«فَهِمَ عُمَرُ مِنْهُ أَنَّ تِلْكَ الْأَسْئِلَةَ قَدْ تَكُونُ عَلَى سَبِيلِ التَّعَنُّتِ أَوِ الشَّكِّ، فَخَشِيَ أَنْ تَنْزِلَ الْعُقُوبَةُ بِسَبَبِ ذَلِكَ، فَقَالَ: رَضِينَا بِاللَّهِ رَبًّا... فَرَضِيَ النَّبِيُّ ﷺ بِذَلِكَ فَسَكَتَ»

Maksudnya: Umar faham soalan-soalan itu mungkin bertujuan menyusahkan atau timbul daripada keraguan. Beliau bimbang hukuman akan turun, lalu menyatakan keredaannya. Nabi ﷺ reda dengan ucapan itu, lalu baginda diam.

  • Al-Harari: Umar berlutut sebagai tanda penyerahan diri dan untuk meredakan kemarahan baginda.
  • Al-Qastallani: Perbuatan itu lahir daripada adab, memuliakan Rasulullah ﷺ, dan belas kasihan terhadap kaum Muslimin.
  • Lafaz-lafaz tambahan dalam riwayat lain:
    • Riwayat Abu Musa: «يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّا نَتُوبُ إِلَى اللَّهِ», iaitu kami bertaubat daripada soalan-soalan yang tidak baginda redai.
    • Riwayat Qatadah: «وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ شَرِّ الْفِتَنِ».
    • Riwayat Ahmad (Humaid daripada Anas): «نَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ غَضَبِ اللَّهِ وَغَضَبِ رَسُولِهِ».
    • Riwayat mursal al-Suddi (al-Tabari): Umar mencium kaki baginda dan menambah «وَبِالْقُرْآنِ إِمَامًا، فَاعْفُ عَنَّا عَفَا اللَّهُ عَنْكَ». Beliau terus memujuk sehingga baginda reda.
  • Al-Bukhari meletakkan hadis ini di bawah bab «مَنْ بَرَكَ عَلَى رُكْبَتَيْهِ عِنْدَ الْإِمَامِ أَوِ الْمُحَدِّثِ» (bab orang yang berlutut di hadapan imam atau guru hadis). Ini mengisyaratkan adab penuntut terhadap guru, terutama ketika guru sedang marah.

Pengajaran ringkas

  • Larangan bertanya untuk menyusahkan atau tentang perkara yang tidak diperlukan.
  • Kefahaman dan kebijaksanaan Umar.
  • Pentingnya adab bersama ulama.
  • Hadis ini juga menjadi bukti kenabian, kerana baginda memberitahu perkara ghaib dengan wahyu.

Cetak  
Wallahu a'lam