Hadis Nabi SAW Mencurahkan Air Ketika Berpuasa Kerana Cuaca Panas

Kata Abu Bakr bin ‘Abd al-Rahman RH:

حدثني من رأى النبي صلى الله عليه وسلم في يومٍ صائفٍ يَصُبّ على رأسهِ الماءَ من شدّةِ الحرِّ والعطَشِ وهو صائمٌ

“Telah menceritakan kepadaku seseorang yang melihat Nabiﷺ  pada suatu hari yang panas, Baginda mencurahkan air ke atas kepalanya kerana terlalu panas dan dahaga, sedangkan Baginda sedang berpuasa.” (Hukum hadis: Sanadnya sahih. Al-Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sanadnya menepati syarat al-Bukhari dan Muslim dalam المجموع, 6/347. Takhrij: Ahmad (23699) dan Ibn al-Hajib dalam عوالي مالك  (73), dengan sedikit perbezaan lafaz)

Daripada sebahagian sahabat Nabi ﷺ, bahawa beliau berkata:

رأيتُ رسولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ أمرَ النَّاسَ في سفرِهِ عامَ الفتحِ بالفِطرِ، وقالَ : تقوَّوا لعدوِّكم، وصامَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ، قالَ أبو بكرٍ: قالَ: الَّذي حدَّثَني لقد رأيتُ رسولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ بالعرجِ يصبُّ علَى رأسِهِ الماءَ، وَهوَ صائمٌ منَ العطشِ، أو منَ الحرِّ

“Aku melihat Rasulullah ﷺ memerintahkan orang ramai supaya berbuka dalam perjalanan Baginda pada tahun Pembukaan Makkah. Baginda bersabda: “Hendaklah kamu mempersiapkan kekuatan untuk menghadapi musuh kamu.” Namun, Rasulullah ﷺ sendiri berpuasa.” Abu Bakr berkata: Sahabat yang menceritakan kepadaku itu berkata: “Aku melihat Rasulullah ﷺ di al-‘Arj mencurahkan air ke atas kepalanya, sedangkan Baginda berpuasa, kerana dahaga atau kerana kepanasan.” (Hukum hadis: Sahih. صحيح أبي داود, hadis no. 2365. Takhrij: Abu Dawud (2365), Malik (1032), al-Bayhaqi (8230) dan al-Syafi‘i dalam السنن المأثورة (316))

Huraian

Peperangan dan jihad merupakan keadaan yang memerlukan kekuatan fizikal serta kesihatan yang baik, khususnya ketika berhadapan dengan musuh.

Syariat telah memberikan rukhsah kepada orang yang bermusafir untuk berbuka puasa supaya mereka memperoleh kekuatan bagi menghadapi perjalanan. Keperluan memperolehi kekuatan lebih besar ketika berjihad kerana ia memerlukan kekuatan tambahan dan menjadi sebab kemenangan menghadapi musuh.

Dalam hadis ini, Abu Bakr bin ‘Abd al-Rahman, seorang tabi‘i, meriwayatkan daripada salah seorang sahabat Nabi ﷺ bahawa Rasulullah ﷺ memerintahkan orang ramai berbuka puasa ketika perjalanan ke Mekah pada tahun Pembukaan Makkah.

Baginda bersabda:

تقوَّوا لعدوِّكم

“Hendaklah kamu mempersiapkan kekuatan untuk menghadapi musuh kamu.”

Maksudnya: hendaklah tujuan dan kehendak kamu semua adalah membuat persiapan untuk menghadapi kaum Quraisy, kerana dikhuatiri mereka akan mengkhianati kaum Muslimin.

Walaupun Baginda memerintahkan orang ramai berbuka, Rasulullah ﷺ sendiri tetap berpuasa dalam perjalanan tersebut.

Terdapat beberapa penjelasan ulama tentang perkara ini:

  1. Rasulullah ﷺ tidak seperti para sahabat lain, sepertimana baginda mampu berpuasa wisal beberapa hari tanpa berbuka.
  2. Rasulullah ﷺ memiliki kekuatan yang tidak dimiliki oleh orang lain. Ada juga beberapa pandangan lain lagi.

Seterusnya sahabat yang menceritakan hal tersebut menyatakan bahawa beliau melihat Rasulullah ﷺ  di al-‘Arj, iaitu sebuah perkampungan di laluan menuju Makkah, mencurahkan air ke atas kepala Baginda sedangkan Baginda berpuasa kerana dahaga atau kepanasan.

Dalam riwayat yang lain, disebutkan:

أنَّ النبيَّ صلَّى الله عليه وسلَّم قيلَ له: إنَّ طائفةً من الناسِ قدْ صاموا حينَ صُمتَ، فلمَّا كانَ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم بالكديدِ دعا بقَدحٍ فشرِبَ فأفطرَ الناسُ

Bahawa Nabi ﷺ diberitahu bahawa sebahagian orang masih berpuasa, apabila baginda berpuasa. Apabila Baginda sampai di al-Kadid, Baginda meminta sebuah bekas air lalu minum dan berbuka. Orang ramai turut berbuka selepas melihat Baginda berbuat demikian.

Peristiwa tersebut berlaku selepas waktu Asar.

Fiqh hadis: Hukum mencurahkan air ke atas kepala ketika berpuasa

Hadis ini menjadi dalil bahawa seseorang yang sedang berpuasa dibenarkan mencurahkan air ke atas kepala atau membasahi tubuhnya untuk mengurangkan kepanasan.

Hal ini kerana perbuatan tersebut tidak membatalkan puasa selagi air tidak masuk ke dalam rongga melalui saluran yang membatalkan puasa.

Dalam mazhab Syafi‘i, perbuatan membasahi tubuh bagi mengurangkan kepanasan adalah diharuskan.

Antara bentuk perbuatan yang termasuk dalam keharusan ini ialah:

  • Mandi ketika berpuasa.
  • Mencurahkan air ke atas kepala.
  • Membasahi tubuh dengan air sejuk.
  • Berada di tempat yang sejuk untuk mengurangkan kepanasan.

Namun, jika seseorang sengaja memasukkan air ke dalam rongga melalui cara yang membatalkan puasa, maka hukumnya berbeza.

Kesimpulan

Hadis ini menunjukkan bahawa:

  1. Rasulullah ﷺ pernah mencurahkan air ke atas kepala ketika berpuasa.
  2. Perbuatan tersebut tidak membatalkan puasa.
  3. Puasa tidak menghalang seseorang daripada mengambil langkah yang diharuskan untuk mengurangkan kepanasan.
  4. Rukhsah berbuka ketika musafir diberikan bagi menghilangkan kesukaran dan mendapatkan kekuatan.

Dalam keadaan tertentu seperti jihad, keperluan mendapatkan kekuatan boleh menjadi sebab yang lebih kuat untuk mengambil rukhsah berbuka.


Cetak  
Wallahu a'lam