Tazkirah
Ada seorang lelaki yang rajin membaca Al-Qur’an, akan tetapi amat sedikit yang dihafalnya. Salah seorang anaknya bertanya: "Apakah faedah ayah selalu membaca al-Quran tetapi tidak menghafalnya?!
Jawab siayah: "Ayah akan beritahu kepadamu faedahnya, jika kamu selesai mengisi bakul jerami buat mengisi arang ini dengan air dari laut dan bawa pulang ke rumah."
Sianak berkata: "Tidak mungkin saya dapat mengisinya," Jawab siayah: "Cubalah dahulu."
Sianak itupun mengambil bakul jerami buat mengisi arang, dan segera menuju ke laut berhampiran. Dengan segera dia menceduk air laut dengan bakul jerami yang dibawanya dan cepat-cepat pulang menuju kepada bapanya yang berada di rumah. Malangnya sebuah bakul jerami sudah tentu tidak dapat menampung air laut di dalamnya. Air laut terus meleleh keluar dengan laju dari celah-celah anyaman jerami.
Apabila sampai di rumah sianak berkata kepada ayahnya: "Tidak ada gunanya untuk saya melakukan kerja ini!"
Jawab Ayahnya yang bijaksana: "Jangan cepat berputus asa. Cuba lagi!" Lalu sianak terus melakukan apa yang disuruh ayahnya. Namun hasilnya tetap sama. Tiada sedikitpun air laut di dalam bakul jerami tersebut. Semuanya habis meleleh keluar sebelum sianak sampai di rumah. Sianak terus mencuba kali ketiga, keempat dan kelima, tetapi tetap tidak berhasil membawa pulang bakul jerami penuh berisi air laut.
Sianak keletihan dan berkata kepada ayahnya: "Saya tidak mampu lagi untuk mengisi air laut dalam bakul jerami ini."
Siayah terus berkata kepada anaknya: "Tidakkah kamu perasan sesuatu pada bakul itu wahai anakku?!"
Sianak tiba-tiba teruja dan berkata: "Benar wahai ayah, kotoran dari sisa arang telah tiada. Bakul jerami ini sekarang benar-benar telah bersih!"
Siayah segera berkata kepada anaknya: "Demikianlah yang dilakukan oleh al-Qur’an terhadap hatimu, dunia dan segala kotorannya yang telah memenuhi hatimu umpama kotoran arang di dalam bakul jerami ini. Al-Qur’an itu pula umpama air laut yang menghilangkan. Al-Quran itu membersihkan hatimu sekalipun kamu tidak menghafalnya."
Selamat menjalani hidup...mengingati Tuhan Yang Maha Esa.
- Wallahu a'lam
Monday, July 29, 2013
Ramai dari kalangan umat Islam bersungguh-sungguh beribadah pada malam al-Qadar dengan memperbanyakkan solat-solat sunat, membaca al-Quran dan seumpamanya. Namun terdapat satu amalan yang hampir dilupakan, iaitulah menghidupkan malam al-Qadar dengan BERSEDEKAH. Tahukah kita bahawa Nabi SAW bukan sahaja menghidupkan malam al-Qadar dengan hanya menunaikan solat, berzikir, membaca al-Quran dan berdoa sahaja? Sebaliknya baginda menghidupkan malam al-Qadar dengan melakukan amalan soleh yang berbagai. Kefahaman ini diambil hasil dari menghimpunkan hadis-hadis yang menceritakan baginda SAW menghidupkan sepuluh malam yang akhir, yang membawa maksud mempelbagaikan amalan soleh termasuklah bersedekah (Lihat Majalis Syahr Ramadhan oleh Ibn al-‘Uthaimin).
Jika menunaikan solat pada malam al-Qadar lebih baik dari seribu bulan (lebih dari 30 ribu solat), maka samalah halnya dengan memperbanyakkan sedekah pada malam al-Qadar. Allah SWT berfirman:
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ
Maksudnya: “Malam al-Qadar iaitulah malam yang lebih baik dari seribu bulan.” Maka sesiapa yang bersedekah pada malam al-Qadar dengan seringgit, bermakna dia telah bersedekah lebih dari 30 ribu ringgit yang dilakukan kerana Allah SWT. Justeru sepatutnya bagi sesiapa yang berusaha mendapatkan malam al-Qadar hendaklah dia juga berusaha melakukan amalan sedekah pada setiap 10 malam yang akhir sekalipun hanya dengan seringgit, agar dikurniakan kebaikan yang banyak kepadanya.
- Wallahu a'lam
Thursday, July 10, 2008
Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf meriwayatkan perbuatan ‘Omar R.A.:
أنَّهُ كَانَ يَضْرِبُ أَكُفَّ الْمُتَرَجِّبِيْنَ حَتَّى يَضَعُوْهَا فِيْ الطَّعَامِ وَيَقُوْلُ : كُلُوا فَإنَّمَا هُوَ شَهْرٌ كَانَتْ تُعَظِّمُهُ الْجَاهِلِيَّة
Maksudnya: “Sesungguhnya Omar memukul tangan-tangan orang-orang yang berpuasa dalam bulan Rejab, sehinggalah mereka mengambil makanan. Lalu beliau berkata: “Makanlah, sesungguhnya bulan Rejab ini adalah bulan yang dimuliakan oleh orang-orang Jahiliyyah.” (Dinilah sahih oleh al-Albani di dalam al-Irwa')
- Wallahu a'lam
