SDI 1295: Apakah Pahala Dan Dosa Dilipat Gandakan Dalam Bulan Ramadhan?

Monday, July 7, 2014

Soalan:

Benarkah kejahatan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan dilipan-gandakan dosanya sepertimana pahala dilipat gandakan ganjarannya?

 

Jawapan:

Sememangnya kebaikan dan kejahatan yang dilakukan pada masa dan tempat yang ada kelebihan akan dilipat-gandakan. Namun terdapat perbezaan yang mesti difahami diantara kebaikan yang digandakan dengan kejahatan yang digandakan.

Adapun kebaikan, gandaannya dalam bentuk bilangan dan pahalanya. Maka sesuatu kebaikan yang dilakukan akan dilipat-gandakan bilangannya sehingga menyamai 10 atau lebih banyak lagi. Dalam masa yang sama pahalanya juga dilipatganda dan dilebihkan.

Adapun kejahatan, gandaan hanya berlaku pada dosa sahaja iaitulah dosanya lebih besar dan balasan yang bakal dikenakan juga lebih bersangatan. Namun gandaan tidak berlaku pada bilangan dosa. Satu-satu dosa yang dilakukan tetap dikira sebagai satu dosa dan ia tidak mungkin akan dilipat gandakan bilangannya sepertimana amalan kebaikan.

Di dalam kitab Matolib Uli al-Nuha 2/385 dinyatakan:

Maksudnya: “Dilipat-gandakan kebaikan dan kejahatan yang dilakukan di tempat yang ada kelebihan seperi di Mekah, Madinah, Baitul Maqdis dan di dalam masjid-masjid. Demikian juga ketika masa yang ada kelebihan seperti hari Jumaat, dalam bulan-bulan yang dimuliakan dan dalam bulan Ramadhan. Adapun gandaan kebaikan, maka tidak akan perbezaan pendapat ulama tentangnya. Adapun tentang gandaan kejahatan ia dinyatakan oleh sekumpulan ulama kerana mengikuti pandangan Ibn ‘Abbas dan Ibn Mas’ud…kata sebahagian para peneliti (dari kalangan ulama): “Pandangan Ibn ‘Abbas tentang gandaan kejahatan, mereka memaksudkan kepada gandaan dosa tanda gandaan bilangan (kejahatan yang dilakukan).”

Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin RH berkata:

Maksudnya: “Gandaan kebaikan dan kejahatan pada tempat dan masa yang ada kelebihan. Maka satu kebaikan digandakan bilangan dan pahala. Adapun kejahatan gandaan pada dosa sahaja tidak pada bilangan. Hal ini kerana Allah Ta’ala berfirman di dalam surah al-An’am termasuk ayat Makkiyyah: (Maksudnya) “Sesiapa yang melakukan satu kebaikan, maka baginya 10 kebiakan yang seumpamanya, dan sesiapa yang melakukan kejahatan, maka dia tidak akan dibalas melainkan dengan balasan yang seumpamanya sahaja sedang mereka sama sekali tidak dizalimi.”  Surah al-An’am: 160. firmanNya lagi: “Dan sesiapa yang hendak melakukan perbuatan yang dilarang (di Mekah) dengan cara yang zalim, kami akan rasakannya azab yang pedih.” Al-Hajj: 25, Allah tidak menyatakan: dilipat-gandakan kesalahan tersebut, sebaliknya Allah hanya berfirman: “Kami akan rasakan kepadanya azab yang pedih.” Maka gandaan kejahatan yang dilakukan di Mekah dan Madinah adalah gandaan dosa iaitulah kesangatan dalam kesakitan dan penderitaan, berdasarkan firman Allah Ta’ala: “Dan sesiapa yang hendak melakukan perbuatan yang dilarang (di Mekah) dengan cara yang zalim, kami akan rasakannya azab yang pedih.”  (al-Syarh al-Mumti’ 7/262)


Cetak  
Wallahu a'lam