Manusia Itu Lemah Dan Hina

Allah SWT mengeluarkan manusia dari perut ibunya dalam keadaan tidak mengetahui apa-apa, tidak mampu berbuat apa-apa, tidak memiliki apa-apa, tidak mampu memberi atau menahan.

Kemudian, Allah SWT melimpahkan kurnia-Nya kepada manusia yang serba kekurangan tersebut, melimpahkan rahmat kepadanya, mengurniakan kepadanya sebab-sebab kesempurnaan dalam kewujudannya, zahir dan batin. Allah menganugerahkan kepadanya limpahan rahmat-Nya, memberikan pendengaran, penglihatan, dan hati kepadanya, sehingga dia mampu mendapatkan ilmu. Memberi kekuatan kepadanya, sehigga dia dapat bergerak, dapat menguruskan diri, mampu menguasai haiwan untuk dimanfaatkan, ikan di lautan dan burung di udara mampu dimilikinya, haiwan buas mampu dikuasainya, bumi mampu digali dan dibelahkannya, pokok-pokok mampu ditumbangkannya, bangunan² mampu ditinggikan, pandai pula dia membuat helah untuk kepentingan dirinya, apa² keburukan mampu dielakkan dari dirinya... Sehingga dia yang satu ketika pernah berada dalam serba kekurangan dan kefakiran itu menyangka dirinya kini memiliki pemilikan dan segala-galanya. Dia seperti mendakwa dirinya juga memiliki sesuatu selain Allah.

Ketika ini, dia melihat dirinya bukan seperti penglihatannya yang sama ketika kecilnya. Dia lupa, satu ketika dahulu dia adalah bayi yang tidak memiliki apa². Dia hari ini, seperti seorang yang tidak pernah melalui fasa seorang bayi yang serba miskin dan diselubungi kekurangan.

Dia hari ini, sama seperti yang disebut dalam hadis riwayat Ahmad dalam al-Musnad, Daripada Busr bin Jihhash al-Qurasyi (بُسْرِ بْنِ جِحَّاشٍ الْقُرَشِيِّ) yang berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ بَصَقَ يَوْمًا فِي كَفِّهِ فَوَضَعَ عَلَيْهَا أُصْبُعَهُ ثُمَّ قَالَ: «قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: بُنَيَّ آدَمَ أَنَّى تُعْجِزُنِي وَقَدْ خَلَقْتُكَ مِنْ مِثْلِ هَذِهِ، حَتَّى إِذَا سَوَّيْتُكَ وَعَدَلْتُكَ وَمَشَيْتَ بَيْنَ بُرْدَيْنِ وَلِلْأَرْضِ مِنْكَ وَئِيدٌ فَجَمَعْتَ وَمَنَعْتَ، حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ التَّرَاقِيَ قُلْتَ: أَتَصَدَّقُ وَأَنَّى أَوَانُ الصَّدَقَةِ

Maksudnya: "Satu hari Rasulullah SAW meludah di telapak tangan baginda seterusnya mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan berkata: "Allah SWT berfirman: "Wahai anak Adam! Bagaimana mungkin kamu dapat melemahkan Daku? Sesungguhnya Aku telah menciptakan kamu bermula dari seperti air liur ini, sehingga Aku sempurnakan ciptaanmu, kamu berjalan dalam keadaan kagum dengan diri sendiri, kamu berjalan mengeluarkan bunyi hentakan kaki ke bumi, kamu himpun dan tinggalkan mengikut selera mu. Apabila ruh sampai di kerongkong, kamu berkata: "Aku mahu bersedekah?! Telah berlalu waktu untuk bersedekah." (HR Ahmad, Ibn Majah dan al-Hakim, beliau, al-Bushiri dan Ibn Hajar, menilai sanad hadis ini sebagai sahih. Lihat Misbah al-Zujajah dan al-Isabah)

Wallahu a'lam

Sesiapa Yang Sentiasa Dengan al-Quran Dia Sentiasa Dalam Kebaikan

Ada seorang lelaki yang rajin membaca Al-Qur’an, akan tetapi amat sedikit yang dihafalnya

Salah seorang anaknya bertanya: "Apakah faedah ayah selalu membaca al-Quran tetapi tidak menghafalnya?!”

Jawab siayah: "Ayah akan beritahu kepadamu faedahnya, jika kamu selesai mengisi bakul jerami buat mengisi arang ini dengan air dari laut dan bawa pulang ke rumah."

Sianak berkata: "Tidak mungkin saya dapat mengisinya," Jawab siayah: "Cubalah dahulu."

Sianak itupun mengambil bakul jerami buat mengisi arang, dan segera menuju ke laut yang berhampiran. Dengan segera dia menceduk air laut dengan bakul jerami yang dibawanya dan cepat-cepat pulang menuju kepada bapanya yang berada di rumah.

Malangnya sebuah bakul jerami sudah tentu tidak dapat menampung air laut di dalamnya. air laut terus meleleh keluar dengan laju dari celah-celah anyaman jerami. Apabila sampai di rumah sianak berkata kepada ayahnya: "Tidak ada gunanya untuk saya melakukan kerja ini!"

Jawab Ayahnya yang bijaksana: "Jangan kamu cepat berputus asa. Cuba lagi!"

Lalu sianak terus melakukan apa yang disuruh ayahnya. Namun hasilnya tetap sama. Tiada sedikitpun air laut di dalam bakul jerami tersebut. Semuanya habis meleleh keluar sebelum sianak sampai di rumah. Sianak terus mencuba kali ketiga, keempat dan kelima, tetapi tetap tidak berhasil membawa pulang bakul jerami penuh berisi air laut.

Sianak keletihan dan berkata kepada ayahnya: "Saya tidak mampu lagi untuk mengisi air laut dalam bakul jerami ini."

Siayah terus berkata kepada anaknya: "Tidakkah kamu perasan sesuatu pada bakul itu wahai anakku?!"

Sianak tiba-tiba teruja dan berkata: "Benar wahai ayah, kotoran dari sisa arang telah tiada. Bakul jerami ini sekarang benar-benar telah bersih!"

Siayah segera berkata kepada anaknya: "Demikianlah yang dilakukan oleh al-Qur’an terhadap hatimu, dunia dan segala kotorannya yang telah memenuhi hatimu umpama kotoran arang di dalam bakul jerami ini. Al-Qur’an itu pula umpama air laut yang menghilangkan. Al-Quran itu membersihkan hatimu sekalipun kamu tidak menghafalnya."

Selamat menjalani hidup...mengingati Tuhan Yang Maha Esa.

Wallahu a'lam

Hati-Hati Dengan Perbelanjaan Membina Rumah

Daripada Khabbab bin al-Arath RA, sabda Nabi SAW:

إن الرجل ليؤجر في كل شيء، إلا البناء

Maksudnya: "Sesungguhnya seseorang pasti akan diberi pahala dalam setiap sesuatu yang dilakukannya, melainkan binaan rumah." (Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Adab al-Mufrad)

Maksud hadis ini, dia tidak memperoleh pahala jika membinanya bukan kerana mengharapkan keredhaan Allah dan apa yang dibinanya lebih dari keperluan diri dan keluarganya yang sepatutnya. Dia tidak akan memperolehi pahala bahkan mungkin dia akan mendapat dosa. (Lihat Faidh al-Qadir oleh al-Munawi)

Wallahu a'lam