Benarkah 'Umar bin alKhattab Makan Dengan Tangan Kiri?

Ada orang bertanya kepada saya benarkah ‘Umar bin al-Khattab RA makan dengan tangan kiri ataupun ada sebahagian mereka berkata Syeikh Dr. Ali Jumuah berkata ‘Umar bin al-Khattab RA makan dengan menggunakan tangan kiri. Maka saya jawab, kalau betul Dr. Ali Jumuah mengatakan begitu, maka kenyataannya tidak tepatKenapa saya kata tidak tepat?

Kita tidak nafikan sememangnya para ulama, ketika mereka memperkenalkan ‘Umar bin al-Khattab RA, antara sifat beliau yang disebut ialah beliau seorang أَعْسَرَ يَسْرٍ atau أَعْسَرَ أَيْسَر yang merujuk kepada seseorang yang banyak menggunakan tangan kiri berbanding tangan kanan. Sebahagian ulama lain mengatakan ia merujuk kepada seseorang yang penggunaan tangan kirinya sama dengan penggunaan tangan kanannya. Dalam kalangan ulama juga ada yang mengatakan أَعْسَرَ merujuk kepada seseorang yang banyak menggunakan tangan kirinya berbanding tangan kanan, manakala orang yang sama penggunaan tangan kirinya dengan penggunaan tangan kanannya dinamakan sebagai أَضْبَط.

Maka tidak mustahil, kalau betul Dr. Ali Jumuah mengatakan ‘Umar makan dengan menggunakan tangan kiri, tidak mustahil kefahaman dan sangkaan itu berlaku dari sebab perkataan أَعْسَرَ yang dinyatakan oleh para ulama ketika memperkenalkan ‘Umar bin al-Khattab RA, sedangkan sebenarnya bukan maksudnya sebegitu.

Sebaliknya  maksud أَعْسَرَ secara umum adalah merujuk kepada orang yang banyak menggunakan tangan kiri berbanding tangan kanan atau orang yang seimbang penggunaan tangan kiri dengan tangan kanannya.

Dengan hanya adanya perkataan أَعْسَرَ, yang dinisbahkan kepada 'Umar, kita tak boleh kata ia menunjukkan ‘Umar bin al-Khattab RA makan dengan menggunakan tangan kiri, kenapa? Kerana sabit dalam hadis yang banyak adanya tegahan Nabi SAW makan menggunakan tangan kiri, ada pula anjuran supaya makan dengan tangan kanan.

Amat mustahil seorang seperti ‘Umar bin al-Khattab RA menggunakan tangan kiri setelah ada anjuran daripada Nabi SAW untuk makan dengan tangan kanan dan ada pula tegahan daripada baginda makan menggunakan tangan kiri, sehingga baginda menyamakan perbuatan tersebut dengan syaitan. Kerana itu mustahil orang seperti ‘Umar sengaja makan dengan tangan kiri.

Dalam masyarakat kita hari ini sahaja, kita dapati ramai yang biasa menggunakan tangan kiri, tetapi apabila makan mereka akan menggunakan tangan kanan tidak dengan tangan kiri. Kerana itu mustahil orang seperti ‘Umar makan dengan tangan kiri, apatah lagi dalam kalangan ulama ada yang mengatakan أَعْسَرَ adalah merujuk kepada orang yang menulis menggunakan tangan kiri, bukan makan dengan tangan kiri.

Berdasarkan beberapa sumber yang sempat saya lakukan rujukan, tiada dalam kalangan ulama yang mengatakan أَعْسَرَ  kepada ‘Umar memaksudkan beliau makan dengan tangan kiri seperti yang didakwa oleh sebahagian ustaz pada hari ini dan mereka sandarkan kepada Dr. Ali Jumuah.


Cetak  
Wallahu a'lam