Adab-Adab Berkaitan Masjid

  1. Adab-Adab Berkaitan Masjid

 

  1. Membaca doa ketika keluar ke masjid seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas RA yang berkata:

Nabi SAW keluar menuju ke masjid untuk menunaikan solat membaca:

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ فِيْ قَلْبِيْ نُوْرًا، وَفِيْ لِسَانِيْ نُوْرًا، وَ اجْعَلْ فِيْ سَمْعِيْ نُوْرًا، وَ اجْعَلْ فِيْ بَصَرِيْ نُوْرًا، وَ اجْعَلْ مِنْ خَلْفِيْ نُوْرًا، وَمِنْ أَمَامِيْ نُوْرًا، وَ اجْعَلْ مِنْ فَوْقِيْ نُوْرًا، وَمِنْ تَحْتِيْ نُوْرًا، اَللَّهُمَّ أَعْطِنِيْ نُوْرًا.

 

Mafhumnya:  “Ya Allah jadikanlah cahaya pada hatiku, cahaya pada lidahku, dan jadikan juga cahaya pada pendengaranku, dan jadikan cahaya pada penglihatan-ku, dan jadikan cahaya dari belakangku, dan cahaya dari hadapanku, dan jadikan cahaya dari atas dan dari bawahku. Ya Allah berikan kepadaku cahaya.” (HR Muslim)

  1. Tidak tergesa-gesa ketika bergerak menuju ke masjid. Hal ini berdasarkan hadis Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا ثُوِّبَ لِلصَّلَاةِ ( يعني : أقيمت ) ، فَلَا تَأْتُوهَا وَأَنْتُمْ تَسْعَوْنَ ، وَأْتُوهَا وَعَلَيْكُمْ السَّكِينَةُ ، فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا ، وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا ؛ فَإِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا كَانَ يَعْمِدُ إِلَى الصَّلَاةِ ، فَهُوَ فِي صَلَاةٍ

Maksudnya:  “Apabila telah dilaungkan iqamat untuk menunaikan solat, jangan kamu semua tergesa-gesa mendatanginya, sebaliknya datang dengan tenang. Maka apa yang kamu dapati imam melakukannya, ikutilah ia, apa yang kamu ketinggalan, sempurnakanlah. Sesungguhnya setiap seorang daripada kamu apabila bergerak untuk menunaikan solat, dia diberi pahala seperti berada dalam solat.” (Muslim)

  1. Bacaan Ketika Masuk Ke Dalam Masjid

Dengan mendahulukan kaki kanan ketika  melangkah masuk ke dalam masjid, seseorang itu dianjurkan mengamalkan bacaan menurut sunnah Nabi SAW ketika memasuki masjid, antaranya:

  1. Hadis Anas bin Malik RA yang berkata: “Dahulunya Rasulullah SAW, apabila masuk ke dalam masjid, baginda membaca:

بِسْمِ اللهِ، اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

Maksudnya: “Dengan nama Allah (daku masuk ke dalam masjid ini), Ya Allah berselawatlah ke atas (Nabi) Muhammad.” Apabila baginda keluar, baginda akan membaca: بِسْمِ اللهِ، اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ  (seperti bacaan di atas).” (Ibn Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah dengan sanad yang lemah. Namun ia memiliki sokongan dari hadis Fatimah yang diriwayatkan oleh Ibn al-Sunni dan al-Tirmizi, kata al-Tirmizi: “Hadis hasan.”)

 

  1. Hadis Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: ”Apabila seseorang daripada kamu memasuki masjid, hendaklah dia mengucapkan salam ke atas Nabi SAW, dan membaca:

 

اَللَّهُمَّ افْتَحْ لِيْ أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, bukakanlah untukku, pintu-pintu Rahmat-Mu.” Dan apabila keluar dari masjid, mengucapkan salam ke atas Nabi SAW dan membaca:

اَللَّهُمَّ اعْصِمْنِيْ مِنَ الشَّيْطَانِ

Maksudnya: ”Ya Allah, peliharalah daku dari syaitan.” (al-Nasa’ie, Ibn Majah dan al-Hakim. Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami’). Dalam sebahagian lafaz lain, dibaca:

اَللَّهُمَّ بَاعِدْنِيْ مِنَ الشَّيْطَانِ

Mafhumnya: “Ya Allah, jauhkan daku dari syaitan.”[1]

  1. Dari Abu Humaid atau dari Abu Usaid RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu memasuki masjid, maka hendaklah ia membaca:

 

اَللَّهُمَّ افْتَحْ لِيْ أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ

Mafhumnya: “Ya Allah, bukakanlah untukku pintu-pintu rahmatMu.”

Apabila keluar dari masjid, bacalah:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ

Mafhumnya: “Ya Allah, sesungguhnya daku memohon dariMu, limpah kurniaMu.” (HR Muslim)

  1. Dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash RA, dari Nabi SAW, dimana baginda apabila masuk ke dalam masjid akan membaca:

 

أَعُوْذُ بِاللهِ الْعَظِيْمِ وَبِوَجْهِهِ اْلكَرِيْمِ، وَسُلْطَانِهِ اْلقَدِيْمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

Mafhumnya: Daku berlindung dengan Allah yang Maha Agung dan dengan wajahNya yang Maha Mulia, dan penguasaanNya yang al-Qadim (yang tidak ada pendahuluan) dari syaitan yang direjam. Apabila dibaca ungkapan ini, syaitan berkata: Dia dipelihara dariku sepanjang hari ini.” (HR Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib)

 

  1. Menunaikan solat sunat Tahiyyatul Masjid apabila memasuki masjid. Nabi SAW bersabda:

إذَا دَخَلَ أحدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ ركْعَتَيْنِ قَبْلَ أنْ يَجْلِسَ

Maksudnya:  “Apabila seseorang daripada kamu memasuki masjid, maka hendaklah dia menunaikan solat dua rakaat sebelum duduk.” (al-Bukhari dan Muslim)

  1. Dilarang berjual-beli ddan mencari barang hilang di dalam masjid. Nabi SAW berabda:

إذَا رَأَيْتُمْ مَنْ يَبِيعُ، أَوْ يَبْتَاعُ فِي الْمَسْجِدِ فَقُولُوا: لاَ أَرْبَحَ اللَّهُ تِجَارَتَكَ، وَإِذَا رَأَيْتُمْ مَنْ يَنْشُدُ فِيهِ ضَالَّةً فَقُولُوا: لاَ رَدَّهَا اللَّهُ عَلَيْك

Maksudnya:  “Jika kamu mendapati ada orang yang berjual-beli di dalam masjid, maka katakan kepadanya: “Semoga Allah tidak memberi keuntungan kepada perniagaanmu.” Jika kamu mendapati ada orang yang mencari barang yangh hilang, maka katakana kepadanya” Semoga Allah tidak mengembalikan barangku yang telah hilang.” (al-Tirmizi. Dinilai sahih oleh al-Albani)

  1. Larangan hadir ke masjid dalam keadaan berbau busuk. Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَكَلَ الثُّومَ وَالْبَصَلَ وَالْكُرَّاثَ فَلا يَقْرَبَنَّ مَسْجِدَنَا، فَإِنَّ الْمَلائِكَةَ تَتَأَذَّى مِمَّا يَتَأَذَّى مِنْهُ الإِنْسَانُ

Maksudnya:  “Sesiapa yang memakan bawang putih, bawang besar dan daun bawang, maka jangan dia menghampiri masjid kami ini. Sesungguhnya para malaikat terganggu denga napa-apa yang menggangu ana kadam.” (Muslim)

  1. Larangan keluar dari masjid apabila azan dikumandangkan. Nabi SAW bersabda”

إِذا أذَّنَ المُؤَذِّنُ فَلَا يَخْرُجْ أحَدٌ حَتّى يصلي

Maksudnya:  “Apabila tukang azan mula melaungkan azan, maka jangan seseorang daripada kamu keluar dari masjid.” (al-Baihaqi dan dinilai sahih oleh al-Albani)     

  1. Tidak melintas di hadapan orang yang sedang menunaikan solat. Nabi SAW bersabda:

لَوْ يَعْلَمُ الْمَارُّ بَيْنَ يَدَيْ الْمُصَلِّي مَاذَا عَلَيْهِ لَكَانَ أَن يقف أَرْبَعِينَ خير لَهُ من أَن يمر بَين يَدَيْهِ

Maksudnya: “Kalaulah seorang yang melintasi di hadapan orang yang sedang menunaikan solat mengetahui kesalahannya, sudah pasti berdirinya dia selama 40 itu lebih baik dari dia melalui di hadapan orang yang sedang menunaikan solat.” (al-Bukhari dan Muslim)

  1. Anjuran Solat Menghadap Sutrah. Nabi SAW bersabda:

إذا صَلَّى أحَدُكم فلْيُصَلِّ إلى سُترةٍ، ولْيَدْنُ منها، ولا يَدَعْ أحدًا يمُرُّ بين يَدَيه، فإنْ جاء أحَدٌ يَمُرُّ فلْيُقاتِلْه

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu menunaikan solat hendaklah dia menghadap kepada sutrah dan menghampirinya. Jangan dia biarkan seseorangpun melintasi hadapannya (dalam kasawan sutrah). Jika terdapat seseorang yang hendak melintasi Kawasan solatnya, maka cegahlah orang tersebut.” (Abu Daud dan Ibn Majah. Hadis hasan)

  1. Tidak membuat bising dan mengganggu Jemaah di dalam masjid. Nabi SAW bersabda:

لِيَلِنِي مِنْكُمْ أُولُو الْأَحْلَامِ، وَالنُّهَى، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ـ ثَلَاثًا ـ وَإِيَّاكُمْ وَهَيْشَاتِ الْأَسْوَاقِ

Maksudnya:  “Hendaklah menghampiriku (ketika mengimamkan solat) mereka yang dewasa dan bijak, selepas itu mereka yang seumpamanya – baginda mengulanginya sebanyak tiga kali -  Jauhi kamu semua (di dalam masjid) dari hiruk-pikuk pasar.” (Muslim)

          Baginda SAW juga bersabda:

إنَّ كلَّكمْ مُناجٍ رَبَّهُ فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكمْ بَعْضًا وَلَا يَرْفَع بَعْضُكمْ على بَعْضٍ في القراءة

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap kamu sedang bermunajat kepada tuhannya (di dalam solat). Oleh kerana itu jangan sebahagian daripada kamu menyakiti atau mengganggu sebahagian lain dan jangan sebahagian kamu mengangkat suara bacaaanya.” (Abu Daud. Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abi Daud)



[1] Lihat Fiqh al-Ad‘iyyah wa al-Azkar 587


Cetak  
Wallahu a'lam