Akidah Pada Istilah Umum Dan Makna Akidah Islamiyyah

Akidah pada istilah umum adalah merujuk perkara-perkara yang wajib diyakini oleh hati dan menetap di dalam jiwa sehingga membentuk keyakinan yang kukuh tidak bercampur dengan sebarang keraguan dan kesangsian. Ia merujuk kepada keyakinan yang jazam yang tiada ruang gangguan keraguan kepada pemiliknya. Keyakinan ini semestinya bertepatan dengan hakikat yang dikehendaki oleh agama. Jika tidak sampai ke martabat yakin yang jazam, ia tidak dinamakan sebagai akidah.   

Akidah Islamiyyah

Ialah keyakinan yang jazam terhadab rububiyyah Allah, uluhiyyah-Nya dan nama-nama dan sifat-sifat-Nya. Demikian juga terhadap para malaikat-Nya, kitab-kitab yang diturunkan-Nya, para rasul yang diutuskan-Nya, hari kiamat, ketentuan baik dan buruk (takdir) dan semua perkara yang wajib diyakini terdiri dari perkara-perkara ghaib, prinsip-prinsip agama dan perkara-perkara yang telah disepakati oleh al-Salaf al-Saleh. Juga penyerahan yang sempurna atau penerimaan tanpa belah bahagi kepada Allah dalam memerintah dab menetapkan hukuman. Ketaatan yang murni kepada Allah dan menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan terbaik.

Akidah Islamiyyah jika diucapkan tanpa sebarang keterikatan,  maka ia merujuk kepada akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, kerana itulah akidah yang sebenarnya, akidah generasi awal umat Islam terdiri dari kalangan Sahabat, Tabi'ien dan Atba' al-Tabi'ien. (Lihat al-Wajiz fi Akidah al-Salaf al-Soleh oleh Abdullah bin Abdul Hamid al-Athari, melalui laman dorar.net secara mafhum)


Cetak  
Wallahu a'lam