SDI 0544: Pergi Jumpa Doktor Syirik?

Jawapan:

Tawassul yang ada khilaf dalam kalangan ulama ialah memohon KEPADA Allah dengan menyebut kemuliaan atau kedudukan seorang yang dianggap soleh. Orang yang bertawassul dalam kategori ini, akan berkata:

"Ya Allah dengan kemuliaan atau kedudukan fulan bin fulan. Engkau perkenankanlah permohonanku ini."

Orang yang melakukan tawassul seperti ini pada hakikatnya dia memohon kepada Allah, bukan kepada penghuni kubur. Tawassul seperti ini juga tidak perlu pergi ke kubur dan para ulama berbeza pandangan tentang hukumnya.

Manakala pergi ke kubur dan meminta kepada penghuni kubur, ia dinamakan sebagai Istighathah الاستغاثة. Orang yang beristighathah akan menyebut:

"Wahai fulan bin fulan (dimaksudkan kepada penghuni kubur), sembuhkanlah penyakitku ini."

atau:

"Wahai fulan bin fulan, tambahkanlah kepadaku rezeki."

atau, seorang yang pergi ke kubur nabi lalu berkata:

"Wahai rasulullah, berilah pertolongan kepada kami."

Sedangkan rasulullah telahpun wafat dan baginda tiada kemampuan lagi menolong manusia yang hidup.

Istighathah seperti ini adalah satu kesyirikan. Kenapa ia jadi syirik? Jawabnya ialah kerana orang yang melakukan istighathah tersebut telah meletakkan sifat Allah kepada penghuni kubur yang dianggapnya dapat memberi pertolongan sekalipun penghuni kubur itu tidak ada di hadapannya bahkan berada di alam lain yang dinamakan Barzakh.

Manusia hanya boleh memberi pertolongan ketika mereka hidup bersama di dunia. Adapun setelah mati mereka tidak mampu lagi memberi pertolongan kepada orang lain. Perbuatan meminta pertolongan kepada makhluk dalam perkara yang di luar dari keupayaannya sebagai manusia adalah perbuatan syirik. Sama seperti seorang yang pergi berjumpa bomoh dan meyakini bomoh dapat mengetahui perkara ghaib dengan sendirinya.

Berbeza dengan seorang yang pergi berjumpa doktor perubatan untuk mendapatkan ubat. Pengetahuan doktor akan ubat yang sesuai bagi penyakit yang dialaminya adalah berdasarkan pengetahuan kepada sebab datangnya penyakit. Oleh itu seorang yang pergi berjumpa doktor untuk mendapatkan ubat adalah seorang yang tahu penyakit yang dialaminya itu ditakdirkan kepadanya oleh Allah dengan sebab musabbab. Sebab musabab itu pula diketahui oleh doktor melalui pembelajarannya. Apabila berjaya dihilangkan sebab musabbab maka sembuhlah ia dari penyakit tersebut. Hal ini BUKAN satu kesyirikan. Kerana itu Nabi SAW menyuruh umat Islam agar berubat. Ketika ditanya tentang berubat, baginda menjawab:

يَا عِبَادَ اللَّهِ تَدَاوَوْا، فَإِنَّ اللَّهَ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلا وَضَعَ لَهُ شِفَاءً، إِلا دَاءً وَاحِدًا، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا هُوَ ؟ قَالَ : الْهرم

Maksudnya: "Berubatlah wahai sekelian hamba Allah. Ssungguhnya Allah tidak meletakkan satu penyakit melainkan Dia adakan juga ubatnya. Melainkan penyakit yang satu iaitulah tua." ( HR alTirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani)


Cetak  
Wallahu a'lam