Kelebihan dan Keistimewaan Surah al-Baqarah

Surah al-Baqarah memiliki beberapa kelebihan dan keistimewaan, antaranya: 

1. Ia menghalau syaitan dari rumah berdasarkan hadis Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

لا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقابِرَ، إنَّ الشَّيْطانَ يَنْفِرُ مِنَ البَيْتِ الذي تُقْرَأُ فيه سُورَةُ البَقَرَةِ

 

maksudnya:  "Jangan jadikan rumah kamu semua seperti kubur. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah." (Muslim) 

2. Surah al-Baqarah dan Ali Imran bertindak menyelamatkan pembacanya pada hari kiamat. Abi Umamah al-Bahili (أبي أُمامةَ الباهليِّ) RA berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: 

اقْرَؤوا القرآنَ؛ فإنَّه يأتي يومَ القيامةِ شَفيعًا لأصحابه، اقرَؤوا الزَّهرَاوَين: البقرةَ، وسورةَ آلِ عمرانَ؛ فإنَّهما تأتِيان يومَ القِيامةِ كأنَّهما غَمامتانِ، أو كأنَّهما غَيايتانِ، أو كأنهما فِرْقانِمن طَيرٍ صوافَّ، تُحاجَّان عن أصحابِهما، اقرَؤوا سورةَ البقرةِ؛ فإنَّ أَخْذَها بَركةٌ، وتركَها حَسرةٌ، ولا يستطيعُها البَطَلَةُ

maksudnya: "Bacalah al-Quran, sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah al-Zahrawain iaitulah al-Baqarah dan Ali Imran. Kerana dua surah ini akan datang pada hari kiamat seperti ghamamatan (dua kumpulan awan - al-Nihayah oleh Ibn al-Athir 3/389), atau seperti Ghayabatan (setiap sesuatu yang menaungi manusia yang berada di atas kepalanya seperti awan atau selainnya - al-Nihayah oleh Ibn al-Athir 3/403), atau seperti Firqan (dua kumpulan burung. Firqan berasal dari firq yang bermaksud potongan sesuatu - Kasyf al-Musykil oleh Ibn al-Jauzi 4/150 dan al-Nihayah oleh Ibn al-Athir 3/440) burung Sawaff (sesuatu yang bergabung dan bercantum untuk memayungi pembacanya  - Kasyf al-Musykil oleh Ibn al-Jauzi 4/150), yang melindungi pembacanya. Bacalah surah al-Baqarah, kerana membacanya satu keberkatan dan meninggalkannya satu kerugian, dan batalah tidak akan mampu terhadapnya." Kata Muawiyah bin Salam (معاويةُ ابن سلام) salah seorang rawi hadis ini: "Telah sampai kepadaku bahawa al-Batalah ialah ahli sihir." 

3. Para sahabat memuliakan sesiapa yang menghafal al-Baqarah dan ALi Imran. Anas bin Malik RA berkata: 

 الرجلُ إذا قرَأَ البَقرة وآل عمران، جَدَّ فينا- يعني: عظُم- وفي رواية: يُعَدُّ فينا عَظيمًا، وفي أخرى: عُدَّ فينا ذا شأنٍ

maksudnya: "Seseorang yang menghafaz surah al-Baqarah dan Ali Imran, seorang yang agung di sisi kami - dalam sebahagian riwayat lain: "Kami mengira dia seorang yang agung - dalam riwayat lain: "kami mengiranya seorang yang memiliki kedudukan." (Ahmad dan Ibn Hibban. Ibn Taimiyyah menilai sanad riwayat ini sebagai Sahih di dalam al-Sarim al-Maslul. Ibn Kathir pula di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah menyatakan: "Riwayat ini berdasarkan syarat dua orang syeikh (al-Bukhari dan Musilm)." al-Albani juga menilai riwayat ini sebagai Sahih di dalam Sahih al-Mawarid.)


Cetak  
Wallahu a'lam