Maksud Ayat: "Mereka yang beriman, tidak mencapur-adukkan keimanan dengan kezaliman."

Daripada Abdullah bin Mas‘ud RA katanya:

لما نزلت هذه الآية: الذين آمنوا ولم يلبسوا إيمانهم بظلم، شَقَّ ذلك على أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم، وقالواأيُّنا لم يظلم نفسه؟ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "ليس كما تظنون، إنما هو كما قال لقمان لابنه: يا بني لا تشرك بالله إن الشرك لظلم عظيم

Maksudnya: “Ketika turun ayat ini: “Mereka yang beriman, tidak mencampur-adukkan keimanan dengan kezaliman.” - al-An‘am: 82 - Perkara ini menjadi berat ke atas para sahabat Nabi SAW. Lalu mereka berkata: “Siapakah dalam kalangan kita yang tidak pernah berlaku zalim terhadap dirinya sendiri (melakukan kesalahan dan dosa)? Sabda Nabi SAW: “Maksud alim dalam ayat ini bukan seperti yang kamu semua sangkakan. Tidak lain maksudnya adalah seperti yang dikatakan oleh Lukman kepada anaknya: “Wahai anakku, janganlah kamu mensyirikkan Allah, kerana sesungguhnya kesyirikan itu adalah kezaliman yang besar.” - Lukman: 13 - (al-Bukhari dan Muslim)

 

Huraian Hadis

Dari hadis ini, Ibn Mas‘ud RA menceritakan bagaimana ketika turun ayat al-Quran dari surah al-An‘am: 82 yang bermaksud: “Mereka yang beriman, tidak mencampur-adukkan keimanan dengan kezaliman.”

Para sahabat memahami ungkapan ظلم membawa maksud mutlak kezaliman (الظلم مطلقا) yang merangkumi maksud segala perbuatan yang zalim termasuk melakukan dosa kecil dan besar. Maka sudah tentu tiada dalam kalangan orang beriman yang dapat menjamin dirinya bebas dari kesalahan dan dosa. Perkara ini menyebabkan timbul kebimbangan dan rasa resah pada diri para sahabat.

Lalu Nabi SAW menerangkan maksud ungkapan ظلم dalam ayat ini bukanlah seperti yang mereka sangkakan. Sebaliknya yang dimaksudkan dengan kalimah ظلم dalam ayat ini ialah seperti firman Allah SWT dalam surah Lukman: 13, “Wahai anakku, janganlah kamu mensyirikkan Allah, kerana sesungguhnya kesyirikan itu adalah kezaliman yang besar.” Zalim yang dimaksudkan di sini ialah kesyirikan yang merupakan kezaliman yang paling besar kesalahan dan dosanya.


Cetak  
Wallahu a'lam