KESEMUA PARA ULAMA YANG TOKOH TIADA YANG SENGAJA MENYALAHI RASUL SAW

Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH:

“Wajib ke atas umat Islam setelah muwalah kepada Allah dan Rasul-Nya, muwalah pula kepada orang-orang yang beriman seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran, terutamanya para ulama yang merupakan pewaris para nabi yang dijadikan berada pada kedudukan bintang oleh Allah, diperolehi petunjuk dengan panduan mereka ketika berada dalam kegelapan di daratan mahupun dilautan. Sesungguhnya telah ijmak kesemua umat Islam akan hidayah dan dirayah mereka (para ulama). Ketikamana setiap umat sebelum kebangkitan Nabi kita SAW, ulama mereka adalah golongan yang terjahat, sebaliknya umat Islam, ulama mereka adalah golongan yang golongan yang terbaik dalam kalangan mereka. Merekalah para pengganti Rasul SAW dalam kalangan umat Islam, menghidupkan sunnah baginda yang telah ditinggalkan, dengan mereka tertegaknya al-Quran dan mereka berdiri dengan pandangan al-Quran. Dengan mereka al-Quran itu berkata-kata dan mereka berkata-kata dengan al-Quran. Maka hendaklah diketahui bahawa tiada seorang dari kalangan para imam (ulama) yang diterima di sisi umat dalam bentuk penerimaan yang meluas, dengan sengaja menyalahi Rasulullah SAW dalam satupun dari sunnah baginda, sama ada yang kecil mahupun yang besar. Kesemua mereka bersepakat dalam bentuk kesepakatan yang pasti dan yakin akan wajibnya mengikuti Rasul SAW (إتباع الرسول صلى الله عليه وسلم), dan ke atas setiap seorang manusia, cakapnya boleh diambil dan ditinggalkan melainkan Rasulullah SAW. Akan tetapi apabila didapati dari salah seorang mereka (para tokoh ulama) apa-apa perkataan mereka yang ada hadis sahih menyalahinya, maka semestinya bagi mereka itu ada keuzuran dalam meninggalkannya atau tidak beramal dengan hadis tersebut. Antara keuzuran tersebut:

(1) mereka tidak beriktiqad ianya sabdaan Nabi SAW. Sebabnya:

- hadis tidak sampai kepada mereka. Menyebabkan mereka mungkin akan mengambil kesimpulan dari zahir ayat al-Quran atau hadis lain yang sampai kepada mereka, atau menggunakan qiyas, istishab, yang hasilnya kadang-kala bertepatan dengan hadis yang sahih, kadang-kala tidak bertepatan.

- inilah sebab Ghalib yang berlaku dalam kebanyakan pandangan salaf yang didapati bertentangan dengan sebahagian hadis sahih.

Bab ini amat luas, nukilan dari para sahabat sahaja mencecah bilangan yang amat banyak. Adapun umat selepas para sahabat (yang tidak sampai hadis kepada mereka) tidak mungkin dihimpunkan kerana mencecah ribuan. Sedangkan para sahabat adalah generasi yang lebih mengetahui, lebih faqih, lebih taqwa dan lebih utama. Manakala generasi selepas mereka kurang semuanya berbanding para sahabat, maka tersembunyinya sebahagian sunnah kepada mereka lebih utama berlaku yang tidak memerlukan kepada penjelasan lanjut. Sesiapa yang berkeyakinan bahawa setiap hadis sahih telah sampai kepada setiap seorang dari kalangan para imam atau seseorang imam tertentu, maka dia seorang yang tersilap dengan kesilapan yang nyata lagi jelek.

(2) Hadis sampai kepadanya akan tetapi hadis tersebut belum thabit di sisinya. Sebabnya sama ada kerana masalah yang ada para salah seorang rawi atau sanad. Dlam masa yang sama terdapat sanad lain bagi hadis tersebut yang sahih dan bersambung. Kerana itu kita dapati di kalangan para ulama yang berkata: قولي في هذه المسألة كذا، وقد روي فيها حديث بكذا، فإن كان صحيحا، فهو قولي.[1]      

(3) keyakinan hadis tersebut lemah berdasarkan ijtihadnya yang berbeza dengan ijtihad mujtahid lain.

(4) Perbezaan dalam melatakkan syarat penerimaan hadis.

(5) Terlupakan hadis

(6) tidak mengetahui dilalah hadis. Dan lainnya. (sila rujuk kitab Raf’u Malam ‘an al-Aimmah al-A’lam.)

----------------------------- 

[1] Di kalangan yang banyak menyebut perkara yang sama ialam al-Imam al-Syafi’ie RH, sehingga terdapat tulisan yang bertajuk النظر فيما علق الشافعي القول به على صحة الخبر oleh Sa’ied bin ‘Abd al-Qadir bin Salim Basyinfir  


Cetak  
Wallahu a'lam