Huraian Matla' al-Badrain Berkaitan al-Awani (Bekas Atau Bejana)

Kata penulis:

“Ini suatu fasal pada menyatakan barang yang haram isti’mal daripada bejana, dan barang yang tiada haram, (dan haram) atas laki-laki dan lainnya isti’mal sesuatu daripada bejana emas ataupun perak pada makan dan minum[1] dan lainnya dan jika kecil atau sedikit sekalipun. (Maka haram) pencelak[2][3] mata dan bekas celak[4] dan penyolek gigi[5] dan jarum dan sudu dan sisir dan bekas اوكوف dan umpamanya daripada emas dan perak.[6] (dan haram)  براوكوف dengan dia melainkan kerana dharurat seperti pencelak mata daripada  emas atau perak, bercelak dengan dia kerana mencerahkan matanya dengan dikhabar tabib yang adil tiada dicerah matanya melainkan dengan dia maka harus isti’malnya, (dan haram) mengupah perbuat sesuatu bejana daripada emas atau perak dan haram pula mengambil upahnya, (dan tiada) wajib ganti atas orang yang memecah akan dia[7], seperti segala alat permainan, (dan seperti) haram isti’mal yang tersebut, haram pula menaruhkan dia[8] dengan ketiadaan isti’mal pada qaul yang asah[9] kerana menaruh itu menghelakan kepada isti’mal. (Dan haram) pula bejana yang disadur[10] dengan emas atau perak jika daripadanya sesuatu dengan dilintangkan atas api[11]. (Maka jika tiada), maka tiada haram[12]. Maka tafsil ini pada pihak isti’mal atau menaruhkan dia. (Adapun) perbuatan, yakni menyadurkan dia haram mutlaqan. Demikian lagi memberi upahnya dan mengambil upahnya. (Dan tiada) haram bejana emas dan perak yang disadur dengan tembaga dan umpamanya jikalau dapat daripadanya sesuatu dengan dilintangkan atas api. Demikian lagi jika dikaratkan bejana emas dan perak, sekira-kira menutup oleh karat zahirnya dan batinnya, maka padanya tafsil yang tersebut dan harus isti’mal bejana yang lainnya daripada keduanya[13] seperti bejana yaqut dan marjan dan ‘aqiq dan barang sebagainya. (Dan haram) memakai bejana yang ditampal dengan perak yang besar tampalnya pada uruf, kerana perhiasan. Maka jika besar kerana hajat, harus serta makruh atau kecil pada uruf, kerana perhiasan makruh ia, atau kerana hajat tiada makruh. Adapun tampal emas maka haram semata-mata tiada tafsil.”  

 

 

HURAIAN

Penulis mula membicarakan dengan perkara yang berkaitan dengan penggunaan al-Awani (استعمال الأواني) atau bekas-bekas. Di mana dalam kehidupan seharian, umat Islam tidak boleh terlepas dari menggunakan bekas sama ada bekas untuk mengisi makanan, minuman dan seumpamanya.

Boleh dibahagikan penggunaan bekas yang diperbuat dari emas dan perak kepada beberapa bahagian antaranya:

Pertama: Menjadikan emas dan perak sebagai bekas makanan dan minuman. Terdapat dua qaul (قولان). Qaul pertama iaitulah qaul qadim mengatakan makruh[14], manakala qaul kedua iaitulah qaul jadid mengatakan haram dan Inilah pandangan masyhur. kata al-Imam al-Nawawi RH:

أجمعت الأمَّةُ على تحريم الأكلِ والشُّرب وغيرهما من الاستعمالِ في إناءِ ذهبٍ أو فضَّةٍ إلَّا ما حُكِيَ عن داودَ، وإلَّا قولَ الشَّافعيِّ في القديم

Maksudnya: “Telah sepakat umat Islam atas mengharamkan makan, minum dan penggunaan lainnya dari bekas yang diperbuat dari emas dan perak. Melainkan ada hikayat daripada Daud (al-Zahiri) dan qaul qadim al-Imam Syafie.” (al-Majmu” 1/250)

 

 

DALIL PENGHARAMAN

1. Hadis Huzaifah[15] RA, Nabi SAW bersabda:

لا تَلْبَسُوا الحَرِيرَ ولَا الدِّيبَاجَ، ولَا تَشْرَبُوا في آنِيَةِ الذَّهَبِ والفِضَّةِ، ولَا تَأْكُلُوا في صِحَافِهَا؛ فإنَّهَا لهمْ في الدُّنْيَا، ولَنَا في الآخِرَةِ

Maksudnya: “Jangan kamu (orang lelaki) memakai sutera dan dibaj (sejenis sutera mahal). Jangan juga meminum menggunakan bekas dari emas dan perak. Jangan juga makan di dalam bekas (talam) dari emas dan perak, kerana sesungguhnya emas dan perak itu untuk orang bukan Islam di dunia dan untuk kita (umat Islam) di akhirat.” (al-Bukhari)  

2. Hadis Ummu Salamah RA, Rasulullah SAW bersabda:

من شَرِبَ من إناءِ ذَهَبٍ أو فِضَّةٍ إنَّما يُجَرْجِرُ في بَطْنِهِ نارَ جَهَنَّمَ

Maksudnya: “Orang yang meminum dari bekas yang diperbuat dari perak, sesungguhnya ia hanya membunyikan tegukan api neraka jahanam[16] di dalam perutnya.” (al-Bukhari dan Muslim)[17]

Kedua: Menggunakan emas dan perak secara mutlaq selain dari dijadikan sebagai bekas makanan dan minuman seperti menjadikan ia kunci, rantai, perhiasan rumah dan seumpamanya.

Semua perkara yang disebut di atas termasuk dalam makna isti’mal. Menurut pandangan mazhab Syafie, hukumnya tetap haram berdasarkan tegahan makan dan minum dari bekas yang diperbuat dari emas dan perak atau menggunakan isti’mal bekas emas dan perak untuk makan dan minum.   

 

 

DALIL PENGHARAMAN

1. Dalil yang sama dengan bahagian yang pertama. Cuma ia menjadi haram berdasarkan dalil tersebut dari sudut pemerhatian dan penelitian (نظرية), iaitulah dari sudut wujudnya tegahan makan dan minum dengan menggunakan bekas dari emas dan perak. Setelah itu Nabi SAW bersabda: فإنَّهَا لهمْ في الدُّنْيَا , “sesungguhnya emas dan perak itu untuk orang bukan Islam di dunia...” Di mana orang bukan Islam menggunakan emas dan perak bukan sekadar sebagai bekas makan dan minum bahkan lebih luas dari itu. Justeru tegahan menggunakan bekas emas dan perak tidak khusus untuk bekas makan dan minum sahaja bahkan untuk kegunaan lain juga.

Ini menunjukkan pengharaman menggunakan (استعمال) emas dan perak dalam apa jua bentuk penggunaan. Tidak khusus untuk penggunaan makan dan minum sahaja.

Dikuatkan lagi dengan sambungan sabda Nabi SAW dalam hadis Huzaifah: ولَنَا في الآخِرَةِ “dan untuk kita (umat Islam) di akhirat.” Ia merujuk kepada penggunaan umum. Tidak terhad kepada penggunaan sebagai bekas makan dan minum sahaja. Hadis ini seperti memberitahu: “Sepertimana emas dan perak itu untuk non muslim di dunia ini dalam bentuk umum, maka demikianlah emas dan perak itu untuk kamu umat Islam di akhirat kelak dalam bentuk yang umum juga.”

2. Nabi SAW melarang makan dan minum dari bekas emas dan perak, dalam keadaan para sahabat memiliki hajat dan keperluan untuk menggunakannya sebagai bekas makan dan minum. Apabila wujud larangan dalam perkara yang ada keperluan dan hajat, maka melarang menggunakan emas dan perak dalam perkara yang tidak ada hajat termasuk dalam من باب الأولى.

---------------------------------------------------------- 

[1] Haram pada perbuatannya, namun tidak menjadikan makanan dan minuman yang diambil haram. (Lihat al-Majmu’ oleh al-Nawawi)

[2] iaitulah مِرْوَد alat yang digunakan untuk meletakkan celak di mata atau kayu celak.

[3] Namun berbeza dengan al-Imam al-Ghazali yang mengitlaqkan penggunaan bekas yang kecil seperti bekas muhhulah (bekas celak). Namun perkataan beliau difahami sama dengan gurunya dimaksudkan boleh jika bekas yang kecil seperti mukhulah untuk perak sahaja.

[4] Di dalam Busyra Karim disebut seperti مُكْحُلَة iaitulah الوعاء الذي يوضع فيه الكُحْل iaitu bekas yang diletakkan di dalamnya celak.

[5] Disebut sebagai الخِلال atau الخِلالة iaitulah عود يزال به الطعام الذي بين الأسنان.

[6] Sekalipun ia tidak dinamakan sebagai آنية atau bejana pada uruf, ia tetap dihukum haram kerana keumuman tegahan. (Lihat Busyra Karim, hal: 50)

[7] Di dalam Raudhah al-Talibin digunakan ibarat: ولا أَرْشَ على كاسره yang bermaksud: “Dan tiada gantian (tidak perlu bayar) ke atas orang yang memecahkannya.”

[8] Di dalam Busyra Karim dinyatakan: “Diharamkan juga ittikhaz (الاتخاذ adalah الاقتناء yang bermaksud menyimpan untuk diri sendiri, bukan dengan tujuan menjual atau berniaga). Iaitulah menyimpan bekas emas dan perak tanpa menggunakannya kerana perbuatan itu akan membawa kepada penggunaannya pada kebiasaannya.”

[9] Pandangan kedua (مقابل الأصح): tidak diharamkan menyimpan dan wajib membayar upah kepada pembuat dan ganti jika memecahkannya. (Lihat Raudhah al-Talibin)

[10] Ungkapan “bejana yang disadur”, disadur bermaksud disalut dan disepuh. Ia memaksudkan bejana tembaga yang مُمَوَّه (disadur, disepuh atau disalut) dengan emas atau perak. Kata al-Nawawi: ولَوْ اتَّخَذَ إناءً مِن نُحاسٍ ومَوَّهَهُ بِذَهَبٍ أوْ فِضَّةٍ قالَ إمامُ الحَرَمَيْنِ والغَزالِيُّ فِي البَسِيطِ والرّافِعِيُّ وغَيْرُهُمْ إنْ كان يتجمع منه شئ بِالنّارِ حَرُمَ اسْتِعْمالُهُ وإلّا فَوَجْهانِ بِناءً عَلى المَعْنَيَيْنِ والأصَحُّ لا يَحْرُمُ  maksudnya: “dan jika diambil bekas atau bejana dari tembaga dan disepuhnya dengan emas atau perak, kata Imam al-Haramian, al-Ghazali di dalam al-Basith, al-Rafi‘ie dan selain mereka: Jika terhimpun darinya sesuatu dengan menggunakan api, haram penggunaannya. Jika tidak ada sesuatu yang terhimpun, terdapat dua wajah berdasarkan dua makna (pengharaman emas dan perak kerana ain emas dan perak atau kerana sombong), dan yang Asah tidak haram."

            Selain مُمَوَّه, terdapat ungkapan lain dalam permasalahan ini yang disebut oleh para fuqaha, seperti:

1. al-Mudhabbab المُضَبَّب iaitulah apa-apa bekas atau bejana yang berlaku belahan atau seumapamnya, lalu diletakkan di atas belahan tersebut kepingan emas atau perak atau selainnya untuk menggabung dan menjaganya agar boleh digunakan. Para fuqaha telah meluaskan penggunaan ungkapan dhabbah الضبة merangkumi tujuan sama ada untuk menghiasi bejana tanpa ada sebarang rekahan atau seumpamanya. al-Mudhabbab dengan emas terdapat dua tariq, yang sahih adalah diharamkan sama ada dabthah (الضبطة) itu banyak ataupun sedikit, memiliki keperluan atau tidak.

Manakala dhabbah dengan perak diharuskan berdasarkan beberapa hadis sahih, seperti hadis Qabi‘ah al-Saif قبيعة السيف, (hujung pemegang pedang Nabi SAW) dan hadis Dhabbah al-Qadh (dhabbah perak pada bekas atau mangkuk Nabi SAW yang terbelah) dan lainnya. Ini kerana bab berkaitan dengan perak lebih luas berbanding emas, seperti perak dihalalkan sebagai cincin orang lelaki, tetapi tidak bagi emas. Namun berdasarkan pandangan Asah, tidak makruh jika sedikit dan ada keperluan atau hajat. Jika untuk perhiasan, ia dimakruhkan. Jika ia banyak dan untuk perhiasan ia haram. Jika banyak kerana ada keperluan maka ia makruh. (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab)

Menggunakan bekas yang al-Mudhabbab المُضَبَّب dengan perak diharuskan sekalipun terdapat bekas lain. Hal ini tiada perbezaan pendapat seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Haramain dan lainnya.

2. al-Nawawi menyebut: لَوْ اتَّخَذَ إناءً مِن ذَهَبٍ أوْ فِضَّةٍ وطَلاهُ بِنُحاسٍ داخِلَهُ وخارِجَهُ فَوَجْهانِ مَشْهُورانِ فِي تَعْلِيقِ القاضِي حُسَيْنٍ والتَّتِمَّةِ والتَّهْذِيبِ والعدة والبيان وغيرها أصحهما لا يحرم قالو: هما مَبْنِيّانِ عَلى أنَّ الذَّهَبَ والفِضَّةَ حَرامُ لَعَيْنِهِما أم للخيلاء ان قلنا لعينهما حرم maksudnya: “Jika diambil bejana yang dibuat dari emas atau perak dan ditempelkan dengan tembaga bahagian dalam dan luarnya, terdapat dua wajah yang masyhur… yang Asah adalah tidak haram. mereka berkata: kedua-dua wajah dibina atas sama ada emas dan perak haram kerana ainnya atau kerana kesombongan menggunakannya. Jika kita mengatakan haram kerana ain, maka haram juga menggunakan bekas yang ditempel sebegini.”

[11] Maksudnya jika dibentangkan atau dilayarkan di atas api akan menghasilkan emas atau perak yang digunakan untuk disadur itu, yang menunjukkan emas dan perak itu banyak digunakan. 

[12] iaitulah jika dengan dibentang atau dilayar di atas api, tidak menghasilkan sesuatu, maka tidak haram, kerana ia menunjukkan sedikit emas atau perak yang digunakan, dalam bentuk sedikitnya itu seperti tiada. (Lihat Busyra Karim)

[13] Iaitulah harus menggunakan bejana dan bekas yang suci dan berharga yang diperbuat selain dari emas dan perak, namun makruh jika ia bernilai kerana zatnya seperti yaqut dan lainnya. (Lihat Busyra Karim, hal: 51)

[14] Hukum makruh kerana larangannya kerana disebabkan pembaziran, sombong dan menyerupai golongan kuffar. Sebab ini tidak semestinya membawa kepada haram penggunaannya.

[15] Iaitulah Huzaifah bin al-Yaman حذيفة بن اليمان. al-Yaman adalah geleran laqab, namanya Husail حُسَيْل, ada juga yang mengatakan namanya Hisl حِسْل, seorang sahabi, menyertai peperangan Uhud bersama anaknya periwayat hadis ini, Huzaifah. Namun Husail atau Hisl ini terbunuh secara tersilap oleh pihak tentera muslim sendiri disebabkan suasana berkecamuk yang berlaku. Anaknya Huzaifah termasuk dalam kalangan sahabat yang utama. Huzaifah meninggal dunia di Mada-in pada tahun 36H, 40 malam setelah wafatnya ‘Uthman bin ‘Affan RA.   

[16] Kalimah jahanam, di sisi kebanyakan ulama Nahu menyatakan ia adalah kalimah ‘Ajam atau bukan Arab. Justeru ia لا تنصرف disebabkan al-Ta’rif (sedia dikenali dan diketahui) dan al-‘Ujmah (bukan ‘Arab). Sebahagian ahli Nahu lain berpandangan ia dari kalimah ‘Arab, لا تنصرف disebabkan al-Ta’nith (tergolong kalimah perempuan) dan al-Ta’rif. Dinamakan sebagai jahanam adalah kerana kedalaman dasarnya. Orang ‘Arab berkata: بئر جِهَنَّام telaga jihannam apabila dasarkan jauh dan dalam. Sebahagian ulama bahasa ‘Arab yang lain mengatakan ia berasal dari al-Juhumah الجُهُومَة yang boleh membawa maksud teramat berat, perit dan sukar. Dinamakan sedemikian kerana terlalu berat, perit dan sukar azabnya. (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab)  

[17] Dalam Sahih al-Bukhari, hadis daripada seorang tabi‘ie yang bernama ‘Uthman bin ‘Abdillah bin Mauhib (عُثمانُ بنُ عَبدِ اللهِ بنِ مَوْهِبٍ) berkata:

أرْسَلَنِي أهْلِي إلى أُمِّ سَلَمَةَ زَوْجِ النَّبيِّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ بقَدَحٍ مِن مَاءٍ -وقَبَضَ إسْرَائِيلُ ثَلَاثَ أصَابِعَ- مِن قُصَّةٍ، فيه شَعَرٌ مِن شَعَرِ النَّبيِّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ، وكانَ إذَا أصَابَ الإنْسَانَ عَيْنٌ أوْ شَيءٌ، بَعَثَ إلَيْهَا مِخْضَبَهُ، فَاطَّلَعْتُ في الجُلْجُلِ، فَرَأَيْتُ شَعَرَاتٍ حُمْرًا

Maksudnya: “Keluargaku mengutuskan daku berjumpa dengan Ummu Salamah, isteri Rasulullah SAW dengan membawa sebuah bekas kecil atau mangkuk berisi air – seorang rawi bernama Israil menggabungkan tiga jarinya mengisyaratkan saiz mangkuk yang kecil – dari qussah (rambut bahagian hadapan kepala atau bahagian ubun-ubun kepala. Jika dengan huruf “Fa ف dan “Dhad ض”, ia sifat kepada mangkuk iaitulah diperbuat daripada perak), di dalamnya terdapat beberapa helai rambut Nabi SAW. Dahulunya jika seseorang terkena ain atau sesuatu penyakit, seseorang akan menghantar besen (mikhdhabah). Aku lihat di dalam juljul (bekas seperti loceng milik Ummu Salamah) di dalamnya beberapa helai rambut (Nabi SAW) bewarna merah.” (Lihat al-Tausyih Syarh al-Jami’ al-Sahih oleh al-Suyuthi dan Minhah al-Bari Bi Syarh Sahih al-Bukhari oleh Zakaria al-Ansari) 

Berdasarkan hadis ini, jika lafaz قصة yang sebenarnya adalah فضة yang bermaksud bekas dari perak, menjadikan sebahagian ulama mengatakan, jika penggunaan emas dan perak merangkumi penggunaan selain dijadikan bekas makan dan minum, sudah tentu Ummu Salamah yang meriwayatkan hadis larangan makan dan minum dari bekas emas dan perak tidak akan menggunakan bekas dari perak untuk menyimpan rambut Nabi SAW. Hal ini kerana Ummu Salamah, periwayat hadis lebih mengetahui dan faham apa yang beliau riwayatkan dari Nabi SAW (الراوي أعلم بما روى).

            Hujah ini dijawab dengan mengatakan, jika dikatakan lafaz قصة itu sebenarnya adalah فضة berperanan sebagai penjelas kepada jenis mangkuk yang digunakan iaitulah dari jenis perak, boleh difahami ia bukan memaksudkan seluruh mangkuk itu dibuat daripada perak bahkan ia diliputi  atau diselaputi (مُمَوَّهًا) dengan perak. (Lihat Minhah al-Bari Bi Syarh Sahih al-Bukhari oleh Zakaria al-Ansari). Demikian juga juljul pula adalah bekas seperti loceng yang barangkali dibuat daripada emas, perak atau tembaga. 

            al-Suyuthi ketika menerangkan hadis ini berkata: من قصة : diperselisihkan; apakah dengan qaf madhmumah dan sad muhmalah: sifat kepada rambut, atau dengan fa’ maksurah dan dhadh mu’jamah; sifat kepada mangkuk”. Seterusnya beliau menyebut riwayat lain dengan lafaz: فجاءت بجلجل من فضة فيه شعر..., di mana dengan lafaz ini lebih menjadikan lafaz hadis tersusun, dan dapat diketahui bahawa perkataan: من فضة “dari perak” yang merujuk kepada sifat juljul bukan sifat kepada mangkuk. Ibn Hajr di dalam Fath al-Bari menyatakan perkara yang sama, di mana perkataan من فضة adalah berupa penjelasan bagi mangkuk iaitulah ia dibuat dari perak. Beliau juga menukilkan perkataan al-Kirmani yang mengatakan ia memaksudkan bekas yang dilitupi atau diselaputi dengan perak, bukan bermaksud keseluruhan mangkuk itu dari perak. Setelah menukilkan perkataan al-Kirmani ini, Ibn Hajr seperti membantahnya dengan mengatakan; ini jika diandaikan Ummu Salamah tidak membolehkan mengguna bekas emas dan perak untuk selain makan dan minum. Namun apakah bukti al-Kirmani untuk mendakwa perkara ini yang dipegang oleh Ummu Salamah? Sedangkan sememangnya sekumpulan ulama ada yang beranggapan harus menggunakan bekas kecil yang diperbuat dari emas atau perak bukan penggunaan makan dan minum. Jika dibaca من قصة ia menjelaskan sifat rambut, namun susunan begini tidak tersusun dengan baik. Seterusnya Ibn Hajr menyatakan; berdasarkan sebutan al-Humaidi di dalam al-Jam‘u Bain al-Sahihain terdapat bukti yang menunjukkan yang sebenarnya ialah من فضة iaitulah dengan lafaz:  

أرْسَلَنِي أهْلِي إلى أُمِّ سَلَمَةَ بقَدَحٍ مِن مَاءٍ، فَجَاءَتْ بِجُلجُلٍ مِن فِضَّةٍ فِيه شَعَرٌ...

Maksudnya: “Keluargaku mengutuskan kepada Ummu Salamah membawa mangkuk berisi air. Lalu Ummu Salamah mengeluarkan juljul (bekas berbentuk seperti loseng) dari perak, di dalamnya terdapat beberapa helai rambut…” Ini menjadikan riwayat ini tersusun dan menunjukkan من فضة adalah menjelaskan sifat juljul bukan sifat mangkuk yang dibawa oleh ‘Uthman bin ‘Abdillah bin Muhib. Bacaan dengan من فضة inilah yang sahih di sisi para muhaqqiq. Perkara ini juga telah dijelaskan oleh Waki’ (وكيع) di dalam Musannafnya dengan katanya:  كانَ جُلْجُلًا مِن فِضَّةٍ صِيغَ صَوّانًا لِشَعَراتٍ كانَتْ عِنْدَ أُمِّ سَلَمَةَ مِن شَعَرِ النَّبِيِّ ﷺ “Adalah bekas juljul itu daripada perak dibuat sebagai bekas menyimpan beberapa helai rambut yang berada pada Ummu Salamah terdiri dari rambut Nabi SAW.” Riwayat ini memaksudkan sesiapa yang sakit ketika itu akan menghantar satu bekas berisi air kepada Ummu Salamah untuk dimasukkan beberapa helai rambut Nabi SAW dan dibasuh atau digaul di dalam bekas tersebut. Setelah itu bekas berisi air yang telah digaul atau dibasuh rambut Nabi itu dikembalikan untuk diminum atau untuk dimandi oleh orang yang mengalami sakit, kerana mengharapkan kesembuhan dari Allah SWT dan memperolehi keberkatannya.

[18] Persoalan yang termasuk dalam من باب الأولى adalah tergolong dalam kumpulan qiyas al- awla (قياس الأولى) atau qiyas al-Jaliy (قياس الجلي). Ia memaksudkan al-maqis (المقيس) atau al-furu’ (الفرع) lebih awla atau lebih utama mengambil hukum al-Maqis ‘alaih (الأصل). Contoh lain; hukum menolak atau memukul ibu bapa (المقيس/الفرع) tidak terdapat dalil yang menyebut pengharamannya. Namun ia mengambil hukum haram secara qiyas awla atau qiyas jaliy dari persoalan al-asl (المقيس عليه) larangan ta’fif (التأفيف) iaitulah mengucapkan uf (أُف) yang dinaskan pengharamannya di dalam ayat al-Quran (al-Isra’: 23): فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا.

            Di kalangan ulama ada yang berpandangan tidak perlu diumum atau diluaskan larangan menggunakan emas dan perak kepada selain dari menggunakannya sebagai bekas makan dan minum. Alasan mereka, hukum asal setiap perkara adalah harus berdasarkan firman Allah SWT: هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ ما فِي الأرْضِ جَمِيعًا  (al-Baqarah: 29). Justeru hukum asal menggunakan bekas emas dan perak adalah harus melainkan dalam perkara yang memiliki tegahan khusus dari dalil. Maka dalil yang ada hanya mengkhususkan larangan penggunaan emas dan perak sebagai bekas makan dan minum sahaja dan tidak perlu diumum atau diluaskan kepada semua penggunaan.

            Namun alasan ini tertolak dengan alasan hukum haram yang diumum atau diluaskan sehingga merangkumi semua penggunaan emas dan perak adalah berdasarkan qiyas jaliy atau qiyas awla. Tidak dinafikan hukum asal setiap perkara adalah harus melainkan terdapat dalil yang memalingkan hukum asal keharusan ini kepada haram. Maka dalam permasalahan menggunakan emas dan perak untuk selain dari bekas makan dan minum, terdapat dalil kuat yang dapat memalingkan hukum asal keharusan kepada hukum haram dan ditegah, iaitulah melalui qiyas jaliy atau qiyas awla yang dianggap setaraf dengan nas oleh para ulama.  

Pandangan majoriti ulama adalah lebih selamat dan lebih berhati-hati. Oleh itu zahir dalil adalah haram menggunakan emas dan perak secara mutlaq. Tidak boleh sebagai perhiasan, tidak boleh sebagai kunci dan seumpamanya melainkan perkara yang memiliki dalil dibenarkan oleh syarak, iaitulah emas dan perak untuk perhiasan wanita dan cincin perak untuk orang lelaki. Orang lelaki tidak boleh menggunakan perak selain dari cincin. Ini kerana dalil yang ada hanya menyebut keharusan cincin. Kaedah menyebut: أن ما خرج عن القياس فغيره عليه لا ينقاس “Bahawa apa-apa yang terkeluar dari qiyas, maka selain darinya tidak diqiyaskan dengannya.” Maksudnya; pada asal yang umum adalah haram menggunakan emas dan perak secara mutlaq seperti pandangan yang dipilih di atas. Terkecuali dalam larangan ini cincin perak untuk lelaki. Maka berpada dengan keizinan ini sahaja kerana hadis hanya berpada menyebut cincin perak untuk lelaki sahaja.


Cetak  
Wallahu a'lam