Huraian Fiqh Sunnah: Perbahasan Berkaitan Syarat-Syarat Wajib Jumaat

PERBAHASAN BERKAITAN SYARAT-SYARAT WAJIB JUMAAT

Kata Syed Sabiq RH:

مناقشة الشروط التي اشترطها الفقهاء تقدم الكلام على أن شروط وجوب الجمعة: الذكورة والحرية والصحة والاقامة وعدم العذر الموجب للتخلف عنها، كما تقدم أن الجماعة شرط لصحتها. هـذا هو القدر الذي جاءت به السنة والذي كلفنا الله به. وأما ما وراء ذلك من الشروط التي اشترطها بعض الفقهاء فليس له أصل يرجع إليه ولا مستند يعول عليه.

Maksudnya:  “Perbahasan syarat-syarat yang diletakkan oleh para fuqaha. Telah lalu bahawa syarat-syarat wajib Jumaat ialah: lelaki, merdeka, sihat tubuh-badan, iqamah dan tiada keuzuran yang membolehkan tidak hadir Jumaat. Demikian juga berjemaah adalah satu syarat sahnya Jumaat. Inilah yang memiliki bukti dari sunah yang ditaklifkan ke atas kita oleh Allah. Adapun syarat-syarat lain yang diletakkan oleh sebahagian fuqaha, tidak memiliki asas yan boleh dijadikan sandaran.”

Huraian:

Dalam bab ini Syed Sabiq tidak memasukkan “baligh” dan “berkemampuan hadir menunaikan solat Jumaat”. Dua perkara ini telah beliau sebutkan dalam bab sebelum ini iaitulah ketika membicarakan berkaitan, “siapa yang diwajibkan Jumaat.” Beliau nyatakan:

“Wajib Jumaat ke atas setiap muslim yang merdeka, berakal, baligh, muqim, memiliki kekuatan untuk menghadirinya dan tidak memiliki sebarang keuzuran yang membolehkan tidak hadir Jumaat.”

Tujuh syarat yang disebut oleh Syed Sabiq ini, bersamaan dengan syarat wajib Jumaat yang disebut oleh fuqaha mazhab Syafi’’e (Lihat al-Fiqh al-Manhaji 1/200-201). Dalam Matn Abi Syuja’ halaman 12 disebut tujuh syarat wajib Jumaat itu ialah; Islam, bulugh, berakal, merdeka, lelaki, sihat dan al-Istitan (bermastautin). Manakala syarat melaksanakan Jumaat ada tiga iaitulah: tempat yang hendak didirikan Jumaat hendaklah kota atau kampung, terdapat seramai 40 orang ahli Jumaat dan dilaksanakan dalam waktu Jumaat.

Manakala dalam Zad al-Mustaqni’ dari mazhab Hambali menyebut syarat wajib Jumaat ialah lelaki, merdeka, mukalaf, muslim, mastautin dan didirikan di kawasan memiliki binaan dan semuanya dalam satu nama (seperti nama Mekah, Riyadh atau seumpamanya), yang jaraknya dengan masjid tidak melebihi satu farsakh (tiga Mil).

al-Qaradhawi dalam Fiqh al-Solah, halaman 482 menyebut syarat wajib Jumaat ialah muslim, berakal, baligh, lelaki, merdeka, muqim, mastautin di bina’ yang mu’tad (المستوطن ببناء معتاد), mampu hadir ke tempat ia dilaksanakan dan bukan seorang yang dalam keuzuran.

Kata Syed Sabiq RH:  

ونكتفي هنا بنقل ما قاله الروضة الندية قال:

 (هي كسائر الصلوات لا تخالفها لكونه لم يأت ما يدل على أنها تخالفها. وفي هذا الكلام إشارة إلى رد ما قيل من أنه يشترط في وجوبها الامام الأعظم والمصر الجامع والعدد المخصوص، فإن هذه الشروط لم يدل عليها دليل يفيد استحبابها فضلا عن وجوبها فضلا عن كونها شروطا، بل إذا صلى رجلان الجمعة في مكان لم يكن فيه غيرهما جماعة فقد فعلا ما يجب عليهما، فإن خطب أحدهما فقد عملا بالسنة وإن تركا الخطبة فهي سنة فقط. ولولا حديث طارق بن شهاب المقيد للوجوب على كل مسلم بكونه في جماعة ومن عدم إقامتها في زمنه ﷺ في غير جماعة لكان فعلها فرادى مجزئا كغيرها من الصلوات. وأما ما يروى (من أربعة إلى الولاة) فهذا قد صرح أئمة الشأن بأنه ليس من كلام النبوة ولا من كلام من كان في عصرها من الصحابة حتى يحتاج إلى بيان معناه أو تأويله) وإنما هو من كلام الحسن البصري.

Maksudnya: “Memadai dengan kami nukilkan kenyataan dalam al-Raudhah al-Nadiyyah:

“Ia (solat Jumaat) sama seperti seluruh solat yang lain, Solat Jumaat tidak perbezaan dengan seluruh solat yang lain disebabkan tiada sebarang bukti menunjukkan ia berbeza.” 

Huraian:

Perkataan ini adalah perkataan dari kitab al-Durar al-Bahiyyah. Nukilan berikutnya barulah dari kitab al-Raudhah al-Nadiyyah syarah kepada kitab al-Durar al-Bahiyyah oleh al-Syeikh Siddiq bin Hasan bin ‘Ali al-Husaini, terkenal dengan Siddiq Hasan Khan, meninggal dunia pada tahun 1307H.

Kitab al-Raudhah al-Nadiyyah oleh Siddiq Hasan Khan yang dinukilkan oleh Syed Sabiq adalah syarahan atau huraian beliau untuk kitab al-Durar al-Bahiyyah karangan al-Imam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad al-Yamani al-Syaukani RH, meninggal pada tahun 1255H. Kitab al-Durar al-Bahiyyah adalah kitab bersifat kitab matan. Al-Syaukani sendiri ada menulis syarahnya sendiri untuk kitabnya ini dengan tajuk: al-Darariy al-Mudhiyyah Syarh al-Durar al-Bahiyyah (الدرري المضية شرح الدررالبهية).

          Demikianlah pengajian fiqh, kebiasaannya perlu melalui proses langkah demi langkah, bagi membolehkan seseorang penuntut dapat menguasai apa yang dipelajarinya. Bermula dengan kitab matan dan diikuti dengan kitab syarah dan seumpamanya.  

Perkataan al-Syeikh Siddiq bin Hasan Khan RH bermula:

Maksudnya: “Perkataan ini memberi isyarat bantahan apa yang dikatakan tentang syarat wajib Jumaat perlu mendapat keizinan pemimpin tertinggi, hanya didirikan di misr jami’ dan penetapan jumlah jemaah yang tertentu. Sesungguhnya syarat-syarat ini tidak memiliki dalil yang menunjukkan ia sunat apatah lagi untuk menunjukkan ia wajib, demikian itu apatah lagi untuk menunjukkan ia sebagai syarat. Bahkan apabila dua orang berjemaah menunaikan Jumaat di tempat tiada orang lain selain mereka berdua, mereka berdua telah melaksanakan apa yang diwajibkan. Jika salah seorang menyampaikan khutbah, maka mereka berdua telah melakukan sunnah. Jika mereka berdua tidak melakukan khutbah, khutbah itu adalah satu perkara sunat sahaja. Kalaulah bukan kerana hadis Tariq bin Syihab yang mengaitkan kewajipan Jumaat mesti dilakukan oleh setiap secara berjemaah, demikian juga disebabkan tidak pernah didirikan Jumaat di zaman baginda SAW secara tidak berjemaah, maka sudah tentu melaksanakan secara bersendirian juga adalah memadai sama seperti seluruh solat yang lain. Adapun riwayat “pada empat perkara (diserahkan) kepada para pemimpin”, riwayat ini telah dijelaskan oleh para imam hadis ia bukan dari sabdaan Nabi Nabi SAW, bukan juga dari perkataan mereka yang berada di zaman kenabiah dari kalangan para sahabat sehingga ia memerlukan penjelasan maknanya atau tafsirannya, Sebaliknya ia hanyalah dari perkataan al-Hassan al-Basri.”

Huraian:

             Syarat untuk didirikan Jumaat perlu mendapat keizinan pemerintah tertinggi negara adalah syarat di sisi ulama mazhab Hanafi dan satu pandangan di kalangan ulama mazhab Hambali. Manakala di sisi ulama mazhab Maliki dan Syafie, juga pandangan al-Sahih di sisi ulama Hambali tidak disyaratkan keizinan pemerintah tertinggi untuk menjadikan sesuatu Jumaat itu dihukum sah. Ulama mazhab Maliki dan Syafi’e hanya mengatakan sunat mendapatkan keizinan tersebut. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 3/154-155). Kata al-Imam al-Nawawi RH dalam al-Majmu’ 4/583:

مذهبنا أنَّها تصحُّ بغير إذنه وحضوره، وسواء كان السلطانُ في البلد أم لا، وحكاه ابنُ المنذر عن مالكٍ، وأحمد، وإسحاق، وأبي ثور

maksudnya: “Mazhab kami bahawa Jumaat sah tanpa keizinan dari pemerintah dan kehadirannya. Sama ada sultan berada dalam kota atau tiada. Ibn al-Munzir telah menghikayatkan perkara ini daripada Malik, Ahmad, Ishak dan Abu Thaur.”

 

Beliau juga berkata dalam al-Majmu’ 4/583:

كونُ الناسِ في الأعصار يُقيمون الجمعة بإذن السلطان لا يلزم منه بُطلانُها إذا أُقيمت بغير إذنه، وقولهم: "يُؤدِّي إلى فتنة" لا نُسلِّمه؛ لأنَّ الافتئات المؤدِّي إلى فتنة إنما يكونُ في الأمور العظام، وليستِ الجمعة ممَّا تؤدِّي إلى فتنة

maksudnya: “Umat Islam di kota-kota Islam menunaikan Jumaat dengan mendapat keizinan dari pemerintah tertinggi, tidak menjadikan Jumaat yang didirikan tanpa mendapat keizinan imam itu terbatal. Alasan mereka yang mengatakan: “(tidak perlukan keizinan pemerintah) boleh mendatangkan fitnah”, tidak boleh diterima, kerana perbautan-perbuatan yang mendatangkan fitnah hanya berlaku dalam perkara yang besar. Bukanlah Jumaat itu termasuk dalam  perkara yang boleh mendatangkan fitnah.”

             Syarat hendaklah didirikan Jumaat di Misr Jami’ juga adalah syarat yang diletakkan oleh mazhab Hanafi seperti yang telah dijelaskan bawah tajuk “Tempat Mendirikan Jumaat” yang lalu. al-Imam al-Nawawi RH dalam al-Majmu’ 4/505 berkata:

إذا كان في القريةِ أربعون من أهلِ الكَمال صحَّت جُمعتُهم في قريتهم ولزمتهم، سواء كان فيها سوقٌ ونهر أم لا، وبه قال مالكٌ وأحمد، وإسحاق، وجمهورُ العلماء، وحكاه الشيخ أبو حامد عن عُمرَ وابنِه، وابنِ عبَّاس رضي الله عنهم

maksudnya: “Jika dalam sesuatu kampung terdapat 40 orang berkeahlian menunaikan Jumaat, sah Jumaat yang mereka kerjakan dalam kampung mereka, bahkan wajib mereka melaksanakan Jumaat, sama ada dalam kampung tersebut terdapat pasar dan sungai atau tidak. Inilah pandangan Malik, Ahmad, Ishak dan majoriti ulama. al-Syeikh Abu Hamid menghikayatkan pandangan yang sama daripada ‘Umar dan anaknya, demikian juga Ibn ‘Abbas RA.”

             Manakala syarat hendaklah memiliki jumlah tertentu adalah syarat yang menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama empat mazhab. Pandangan yang ditarjihkan oleh Siddiq Hasan Khan RH adalah bertepatan dengan pandangan al-Sahih mazhab Hanafi seperti yang telah dijelaskan sebelum ini dalam persoalan; “Berjemaah Termasuk Syarat Sah Jumaat.”  

             Tiga syarat yang dibantah oleh Siddiq Hasan Khan RH kerana tidak memiliki dalil, adalah menurut pemerhatian beliau, atau dalil yang dikemukan, dinilai tidak kuat di sisi beliau. Atau alasan bagi syarat tersebut seperti ia amalan yang diwarisi dari para imam salaf, dinilai sebagai tidak kukuh di sisi Siddiq Hasan Khan RH.

             Sebagai contoh dalam permasalahan ini, disebutkan di sini alasan ulama mazhab Hanafi bagi syarat mendapat keizinan dari pemerintah tertinggi untuk melaksanakan Jumaat. Di mana, apabila sabit arahan melaksanakan Jumaat secara berjemaah, maka mereka berpandangan, setiap perhimpunan ramai atau berjemaah, memerlukan keizinan untuk berhimpun, kerana tidak ada berhasil kesatuan perhimpunan melainkan apabila mendapat keizinan dari pemerintah tertinggi. Justeru Jumaat hendaklah dilaksanakan dalam bentuk terserlah (الاشتهار). Alasan seperti ini dinilai lemah oleh Siddiq Hasan Khan, namun tidak semestinya lemah di sisi ulama lain terutamanya di sisi ulama yang bersetuju dengan pandangan ulama Hanafi.

 

Kata al-Syeikh Siddiq Hasan Khan RH:

ومن تأمل فيما وقع في هذه العبادة الفاضلة - التي افترضها الله عليهم في الاسبوع وجعلها شعارا من شعائر الاسلام، وهي صلاة الجمعة - من الاقوال الساقطة والمذاهب الزائفة والاجتهادات الداحضة (١) قضى من ذلك العجب فقائل يقول الخطبة كركعتين وإن من فاتته لم تصح جمعته وكأنه لم يبلغه ما ورد عن رسول الله ﷺ من طرق متعددة يقوي بعضها بعضا، ويشد بعضها عضد بعض: أن من فاتته ركعة من ركعتي الجمعة فليضف إليها أخرى وقد تمت صلاته، ولا بلغه غير هذا الحديث من الادلة.

Maksudnya: “Siapa yang memerhatikan ibadah yang mulia ini, - yang telah difardhukan oleh Allah ke atas manusia dalam seminggu, dan Allah menjadikannya sebagai satu syiar dari syiar-syiar agama Islam, iaitulah solat Jumaat, - dari perkataan-perkataan yang tiada nilai, pandangan-pandangan mazhab yang palsu dan ijtihad-ijtihad yang batil, menjadikannya berada dalam kehairanan. Ada pandangan yang mengatakan dua khutbah itu seperti dua rakaat (solat Zohor), jika terlepas, tidak sah Jumaatnya, seolah-olah tidak sampai kepada penutur pandangan ini hadis Rasulullah SAW dari jalan periwayatan yang berbagai, saling menguatkan sesama riwayat tersebut: “bahawa sesiapa yang terlepas satu rakaat dari dua rakaat Jumaat, maka hendaklah dia menambah satu rakaat lagi, dengan itu menjadi sempurna solat Jumaatnya.” demikian juga seperti tidak sampai kepadanya hadis lain yang termasuk dalam  dalil (permasalahan ini).”

Huraian:

           Ibadah Jumaat adalah salah satu dari syiar Islam seperti yang dinyatakan oleh Siddiq Hasan Khan RH. Syiar Islam bermaksud tanda zahir agama Islam. al-Syiar di sisi para fuqaha ialah alamah (tanda) yang zahir atau nyata dan membezakan (العَلاَمَةُ الظّاهِرَةُ المُمَيِّزَةُ). (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 26/100).

 

Kedudukan Dua Khutbah Jumaat

Kedudukan dua khutbah sama seperti dua rakaat solat disebut oleh majoriti fuqaha berdalilkan beberapa athar sahabat dan tabi’en, antaranya:

i. Diriwayatkan daripada ‘Umar bin al-Khattab RA yang berkata:

الخُطْبَةُ مَوْضِعَ الرَّكْعَتَيْنِ، مَن فاتَتْهُ الخُطْبَةُ صَلّى أرْبَعًا

Maksudnya: “Khutbah itu berapa pada kedudukan dua rakaat (solat). Sesiapa yang terlepas darinya hendaklah menuniakan solat empat rakaat (zohor).” (Abdul Razzaq dalam al-Musannaf, bilangan: 5485)

ii. Daripada ‘Umar bin al-Khattab RA yang berkata:

إنَّما جُعِلَتِ الخُطْبَةُ مَكانَ الرَّكْعَتَيْنِ، فَإنْ لَمْ يُدْرِكِ الخُطْبَةَ، فَلْيُصَلِّ أرْبَعًا

Maksudnya: “Diadakan khutbah itu hanyalah menggantikan tempat dua rakaat (solat). Jika seseorang tidak menyertai khutbah, maka hendaklah dia menunaikan solat empat rakaat.” (Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf, bil: 5334)

Al-Syeikh Dr. ‘Abdul ‘Aziz al-Hujailan dalam Khutbah al-Jumu‘ah wa Ahkamuha al-Fiqhiyyah, hal: 35 menyatakan athar ini munqati’ al-Sanad (lemah. Maka ia tidak memenuhi syarat untuk dijadikan dalil. Jika diandaikan thabit, ia adalah pandangan sahabat yang menimbulkan perbezaan pendapat di antara ulama pada menjadikannya sebagai hujah.

al-‘Iraqi (w806H) dalam Tarh al-Tathrib Fi Syarh al-Taqrib 3/185 menolak pandangan yang mengatakan khutbah Jumaat itu adalah solat dengan alasan:

i. Jika seseorang masuk ke dalam masjid ketika imam sedang menunaikan solat, orang tersebut tidak perlu lagi menunaikan tahiyyatul masjid kerana anjuran mengisi atau penuhi tempat (dalam masjid) dengan menunaikan solat telah terlaksana. Namun Nabi SAW telah memerintahkan Sulaik al-Ghatafani menunaikan solat tahiyyatul masjid ketika baginda sedang berkhutbah.

ii. Nabi SAW sendiri membezakan antara solat dan khutbah dalam hadis baginda: إذا أُقِيمَتْ الصَّلاةُ فَلا صَلاةَ إلّا المَكْتُوبَةَ maksudnya: “Apabila dilaungkan iqamat solat Fardhu, maka tiada lagi solat melainkan solat fardhu.” Baginda juga telah memerintahkan Sulaik untuk menunaikan solat tahiyyatul masjid ketika baginda berkhutbah. Maka tidak boleh digabungkan apa-apa yang telah dipisahkan oleh baginda.

iii. Dibenarkan berbicara antara khatib dan Jemaah, demikian juga melakukan sesuatu perbuatan lain ketika khutbah disampaikan.  Berdasarkan hadis Abi Rifa‘ah dalam Sahih Muslim yang menceritakan beliau berbicara dengan Nabi SAW meminta diterangkan tentang agama kepadanya. Lalu Nabi SAW turun dari mimbar ketika baginda berkhutbah. Beliau berkata:

انْتَهَيْتُ إلى النَّبِيِّ ﷺ وهُوَ يَخْطُبُ، قالَ: فَقُلْتُ: يا رَسُولَ اللهِ رَجُلٌ غَرِيبٌ، جاءَ يَسْألُ عَنْ دِينِهِ، لا يَدْرِي ما دِينُهُ، قالَ: فَأقْبَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللهِ ﷺ، وتَرَكَ خُطْبَتَهُ حَتّى انْتَهى إلَيَّ، فَأُتِيَ بِكُرْسِيٍّ، حَسِبْتُ قَوائِمَهُ حَدِيدًا، قالَ: فَقَعَدَ عَلَيْهِ رَسُولُ اللهِ ﷺ، وجَعَلَ يُعَلِّمُنِي مِمّا عَلَّمَهُ اللهُ، ثُمَّ أتى خُطْبَتَهُ، فَأتَمَّ آخِرَها

Maksudnya: “Daku sampai kepada Nabi SAW. Ketika itu baginda sedang berkhutbah. Aku berkata: “Wahai Rasulullah, (daku ini) seorang lelaki yang asing, datang ingin bertanyakan soalan tentang agama yang tidak diketahuinya.” Lalu Rasulullah SAW datang kepadaku dan baginda meninggalkan khutbah. Dibawakan kepada baginda kursi, daku menyangka kaki kursi tersebut diperbuat dari besi. Baginda duduk di atasnya dan mengajarkan kepada daku apa-apa yang diajarkan oleh Allah kepada baginda. Setelah itu baginda menyambung khutbah sehingga ke akhirnya.”

          Namun al-Nawawi dalam Syarah al-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim 6/166 ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan beberapa kemungkinan, antaranya berkemungkinan khutbah yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah bukan khutbah Jumaat. Berkemungkinan juga baginda memulakan sekali lagi khutbah tersebut dari awal setelah selesai memberi penerangan. Berkemungkinan tidak berlaku pemisahan yang panjang ketika baginda memberi penerangan tersebut atau penerangan baginda kepada Abu Rifa‘ah masih berkaitan dengan khutbah yang baginda sampaikan.             

          Pandangan yang mengatakan penerangan baginda kepada Abu Rifa‘ah terdiri dari perkara yang sesuai dijadikan khutbah, dibantah oleh al-‘Iraqi dengan mengatakan ketika solat, tetap dilarang berdailog bagi tujuan pengajaran. Demikian juga jika khutbah itu adalah solat, maka tidak boleh turun dari mimbar, berjalan, duduk di atas kursi dan semua perbuatan itu berturutan dan perbuatan yang banyak. Di samping itu ramai dalam kalangan ulama yang mengharuskan berkhutbah dalam keadaan berhadas, sedang tidak boleh solat dalam keadaan berhadas secara ijmak. Bahkan Ahmad mengharuskan seorang yang berjunub untuk berkhutbah, setelah itu dia boleh mandi dan menunaikan solat bersama jemaah menjadi imam. Demikian juga solat disyaratkan mengadap kiblat, sedangkan khutbah disyaratkan khatib membelakangi kiblat untuk menghadap Jemaah. Maka bagaimana mungkin untuk disamakan dua perkara yang berbeza ini? 

 

Hukum Dua Khutbah Jumaat

Siddiq Hasan Khan RH memilih pandangan yang mengatakan dua khutbah tidak termasuk dalam syarat sah Jumaat. Beliau dengan jelas menyatakan dua khutbah itu hanyalah sunat, sah Jumaat sekalipun tanpa didahulukan dengan dua khutbah.

Dapat difahami Syed Sabiq bersetuju dengan pandangan ini berdasarkan nukilan yang beliau lakukan. Ini adalah pandangan salah seorang tokon ulama tabi’’en, al-Hasan al-Basri yang meninggal dunia pada tahun 120H. Pandangan ini juga diriwayatakan daripada al-Imam Malik dan pandangan sebahagian sahabat beliau. Inilah juga pandangan Ibn Hazm. (Lihat Khutbah al-Jumu‘ah Wa Ahkamuha al-Fiqhiyyah, halaman: 28)

Namun dua khutbah Jumaat sebelum solat Jumaat termasuk dalam syarat sah Jumaat di sisi majoriti ulama, ia pandangan al-Sahih mazhab Maliki, pandangan ulama mazhab Syafi’e dan ulama mazhab Hambali. Kata al-Imam al-Nawawi RH dalam Syarh Sahih Muslim 6/150:

وأنَّ الجُمعة لا تصحُّ إلا بخُطبتين؛ قال القاضي: ذهب عامَّةُ العلماء إلى اشتراط الخطبتين لصحَّة الجمعة

maksudnya:  “Dan bahawasanya Jumaat tidak sah melainkan dengan adanya dua khutbah (sebelum solat Jumaat). Kata al-Qadhi: “Kebanyakan ulama mensyaratkan dua khutbah bagi menjadikan sah Jumaat.”

Manakala ulama mazhab Hanafi berpandangan satu khutbah telah memadai bagi menjadikan sesuatu khutbah itu sah.

Terdapat ulama yang mengatakan pandangan tidak mensyaratkan khutbah bagi solat Jumaat adalah pandangan yang syaz atau ganjil dan terpinggir. Kata al-Mawardi RH dalam al-Hawi al-Kabir 2/432:

فَهُوَ مَذْهَبُ الفُقَهاءِ كافَّةً إلّا الحَسَنَ البَصْرِيَّ فَإنَّهُ شَذَّ عَنِ الإجْماعِ وقالَ: إنَّها لَيْسَتْ واجِبَةً، لِأنَّ الجُمْعَةَ قَدْ تَصِحُّ لِمَن لَمْ يَحْضُرِ الخُطْبَةَ، ولَوْ كانَتْ واجِبَةً لَمْ يَصِحَّ إدْراكُ الجُمْعَةِ إلّا بِها. وهَذا خَطَأٌ

maksudnya:  “Ia adalah mazhab para fuqaha kebanyakannya, melainkan al-Hasan al-Basri, beliau bersendirian berbeza dengan kesepakatan ulama. Beliau beralasan: Jumaat sah bagi sesiapa yang tidak hadir khutbah, jika khutbah itu wajib, sudah tentu tidak sah Jumaat melainkan mesti menghadiri khutbah. Pandangan beliau ini satu yang salah.”

Kata Ibn Qudamah dalam al-Mughni 2/224:

وجُمْلَةُ ذَلِكَ أنَّ الخُطْبَةَ شَرْطٌ فِي الجُمُعَةِ، لا تَصِحُّ بِدُونِها كَذَلِكَ قالَ عَطاءٌ، والنَّخَعِيُّ، وقَتادَةُ، والثَّوْرِيُّ، والشّافِعِيُّ، وإسْحاقُ، وأبُو ثَوْرٍ، وأصْحابُ الرَّأْيِ. ولا نَعْلَمُ فِيهِ مُخالِفًا، إلّا الحَسَنَ، قالَ: تُجْزِئُهُمْ جَمِيعَهُمْ، خَطَبَ الإمامُ أوْ لَمْ يَخْطُبْ؛ لِأنَّها صَلاةُ عِيدٍ، فَلَمْ تُشْتَرَطْ لَها الخُطْبَةُ، كَصَلاةِ الأضْحى

maksudnya: “Kesimpulannya, bahawa khutbah adalah satu syarat bagi Jumaat, tidak sah Jumaat tanpa khutbah. Demikian itulah yang dinyatakan oleh ‘Atha, al-Nakhai‘e, Qatadah, al-Thauri, al-Syafi‘e, Ishak, Abu Thaur dan Ashab al-Ra’yi. Tidak kami ketahui terdapatnya ulama yang berbeza melainkan al-Hasan (al-Basri) yang berkata: “memadai solat Jumaat sama ada imam menyampaikan khutbah atau tidak, kerana Jumaat itu adalah solat hari raya (mingguan), tidak disyaratkan kepadanya khutbah, ia sama seperti solat hari raya Adha.”

Antara dalil yang didatangkan oleh majoriti ulama sebagai sandaran pandangan mereka ialah:

  1. Firman Allah SWT:

﴿يا أيُّها الَّذِينَ آمَنُوا إذا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِن يَوْمِ الجُمُعَةِ فاسْعَوْا إلى ذِكْرِ اللَّهِ وذَرُوا البَيْعَ﴾

Maksudnya: “’Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru kepada solat pada hari Jumaat, maka bersegerahlah kepada zikrullah dan tinggalkanlah urusan jual-beli.” (Surah al-Jumu’ah: 9)

Wujud perbezaan pendapat salaf ketika menghuraikan maksud zikrullah. Sebahagian berpandangan ia merujuk kepada khutbah, sebahagian lain mengatakan ia merujuk kepada solat itu sendiri, sebahagian lain mengatakan ia merujuk kepada khutbah dan solat Jumaat.

al-Qaradhawi dalam Fiqh al-Solah, halaman 492 menyatakan: “Zikrullah adalah khutbah, kerana terdapat padanya pujian dan pujaan kepada Allah, memberi peringatan dengan ayat-ayat al-Quran. Maka perintah segera pergi (hadir untuk zikrullah) yang wajib itu menunjukkan zikrullah (khutbah) itu juga adalah wajib. Maka khutbah itu adalah sesuatu yang wajib juga. Sesungguhnya telah tawatur dalil-dalil menunjukkan Nabi SAW menyampaikan dua khutbah sebelum menunaikan solat Jumaat.” 

  1. Hadis Jabir bin Samurah RA:

كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم يَخطُبُ قائمًا، ثم يَجلِسُ، ثم يقومُ فيخطبُ قائمًا

maksudnya: “Dahulunya Rasulullah SAW berkhutbah dalam keadaan berdiri, kemudian baginda duduk, setelah itu baginda berdiri semula menyampaikan khutbah dalam keadaan berdiri.” (HR Muslim)

  1. Hadis ‘Abdullah bin ‘Umar RA:

كان النبيُّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم يخطُبُ خُطبَتَينِ يقعُدُ بينهما

Maksudnya: “Dahulunya Nabi SAW sering menyampaikan dua khutbah, baginda akan duduk antara dua khutbah tersebut.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Nabi SAW telah bersabda:

صلوا كما رأيتموتي أصلي

Maksudnya: “Tunaikanlah solat sepertimana kamu semua melihat aku menunaikan solat.” (HR al-Bukhari), dan baginda Nabi SAW tidak menunaikan solat Jumaat melainkan didahulukan dengan dua khutbah. 

  1. Nabi SAW sentiasa melakukan dua khutbah untuk solat Jumaat, baginda tidak pernah meninggalkannya. Tindakan baginda ini difahami oleh majoriti ulama membawa maksud wajib atau syarat sah Jumaat.

 

  1. Pengamalan berterusan para khulafa’ dan seluruh para imam umat Islam melaksanakan dua khutbah sebelum menunaikan solat Jumaat. Demikian juga pengharaman jual-beli setelah dilaungkan azan Jumaat, tiada aktiviti lain selepas dilaungkan azan Jumaat melainkan khutbah. Jika khutbah tidak wajib, tiada keperluan pengharaman jual-beli selepas azan, kerana perkara yang disunatkan tidak boleh mengharamkan jual-beli yang harus. 

 

  1. Firman Allah SWT:

وَإِذَا رَأَوْا تِجَارَةً أَوْ لَهْوًا انفَضُّوا إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَائِمًا

Maksudnya: “Dan apabila mereka melihat rombongan perniagaan (tiba di Madinah) atau permainan, mereka bubar dan pergi kepadanya, mereka meninggalkan dikau (Muhammad) dalam keadaan berdiri (menyampaikan khutbah).” (al-Jumuah: 11). Ayat ini menunjukkan wajib khutbah, kerana Allah mencela tindakan mereka yang meninggalkan khutbah. Maka meninggalkan sesuatu yang wajib layak dicela di sisi syarak.

 

  1. Hadis-hadis yang melarang berbicara ketika imam menyampaikan khutbah menunjukkan khutbah untuk solat Jumaat adalah wajib.

 

Kata al-Qaradhawi: “Dari sini dapat diketahui bahawa lemahnya pandangan yang mengatakan khutbah tidak wajib bahkan sunat seperti pandangan al-Syaukani dalam Nail al-Authar 3/315.” (Lihat Fiqh al-Solah 492-493)

 

Kata Siddiq Hasan Khan RH:

وقائل يقول: لا تنعقد الجمعة إلا بثلاثة مع الامام، وقائل يقول بأربعة، وقائل يقول بسبعة، وقائل يقول بتسعة، وقائل يقول باثني عشر، وقائل يقول بعشرين، وقائل يقول بثلاثين، وقائل يقول لا تنعقد إلا بأربعين، وقائل يقول بخمسين، وقائل يقول لا تنعقد إلا بسبعين وقائل يقول فيما بين ذلك، وقائل يقول بجمع كثير من غير تقييد وقائل يقول إن الجمعة لا تصح إلا في مصر جامع. وحده بعضهم بأن يكون الساكنون فيه كذا وكذا من الالاف. وآخر قال أن يكون فيه جامع وحمام، وآخر قال أن يكون فيه كذا وكذا وآخر قال إنها لا تجب إلا مع الامام الاعظم فإن لم يوجد أو كان مختل العدالة بوجه من الوجوه لم تجب الجمعة ولم تشرع، ونحو هذه الاقوال التي ليس عليها أثارة من علم ولا يوجد في كتاب الله تعالى ولا في سنة رسول الله ﷺ حرف واحد يدل على ما ادعوه من كون هذه الامور المذكورة شروطا لصحة الجمعة أو فرضا من فرائضها أو ركنا من أركانها.

Maksudnya: “Terdapat juga pandangan yang mengatakan: tidak berlaku Jumaat melainkan dengan tiga orang jemaah bersama dengan imam. Ada yang berkata dengan empat orang, ada yang berkata: dengan tujuh orang, ada yang berkata dengan sembilan orang jemaah, ada yang berkata dengan 12 orang, ada yang berkata dengan 20 orang, ada yang berkata dengan 30 orang, ada yang berkata dengan 40 orang, ada yang berkata dengan 50 orang, ada yang berkata tidak sah Jumaat melainkan dengan 70 orang, ada yang berkata antara jumlah itu, ada yang berkata perlu dilakukan Jumaat dalam bentuk yang ramai tanpa ditetapkan jumlah tertentu, ada juga yang berkata Jumaat tidak sah melainkan jika dilaksanakan di Misr Jami’. Sebahagian dari kalangan mereka menetapkan sekian-sekian dari ribuan jumlah jemaah, ada pula pihak lain yang mengatakan tidak boleh melaksanakan Jumaat melainkan di tempat yang terdapat jami’ dan hammam. Pihak lain pula berkata perlu ada sekian dan sekian. Pihak lain pula ada yang berkata Jumaat tidak wajib melainkan bersama dengan pemimpin tertinggi, jika tidak ada atau pemimpin yang ada tidak sempurna ‘adalah dari salah satu sudut, maka tidak wajib Jumaat dan tidak disyariatkan dan perkataan seumpama ini yang tiada memiliki sandaran ilmu, tidak terdapat dalam kitab Allah Taala dan sunnah Rasulullah SAW walau satu huruf yang membuktikan apa yang mereka dakwa terdiri perkara-perkara sebagai syarat untuk sah Jumaat atau sebagai satu perkara fardhu dari kefardhuan-kefardhuan (Jumaat) atau sebagai satu rukun dari rukun-rukun Jumaat.”   

فيا لله للعجب مما فعل الرأي بأهله، وما يخرج من رؤوسهم من الخزعبلات الشبيهة بما يتحدث الناس به في مجامعهم وما يخبرونه في أسمارهم من القصص والاحاديث الملفقة وهي عن الشريعة المطهرة بمعزل، يعرف هذا كل عارف بالكتاب والسنة وكل متصف بصفة الانصاف وكل من ثبت قدمه ولم يتزلزل عن طريق الحق بالقيل والقال، ومن جاء بالغلط فغلطه رد عليه مردود في وجهه.

Maksudnya: “Alangkah ajaibnya pemilik pemikiran yang keluar dari kepala mereka perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mentertawakan, menyamai perkara dan cerita yang dibualkan oleh orang ramai dalam perhimpunan malam hari mereka terdiri dari kisah-kisah dan hadis-hadis rekaan, yang semuanya terpisah dari syariat Islam yang suci. Perkara ini dapat dikenali oleh setiap orang yang mengetahui al-Kitab dan al-Sunnah, mereka yang bersifat insaf dan mereka yang kukuh ilmunya, yang tidak akan goyah dari jalan kebenaran dengan perkara yang tidak memiliki asas kebenaran. Orang yang datang membawa perkara-perkara salah, semuanya dipulangkan kepadanya (tidak diterima).

والحكم بين العباد هو كتاب الله تعالى وسنة رسوله ﷺ كما قال سبحانه: (فإن تنازعتم في شئ فردوه إلى الله والرسول) (إنما كان قول المؤمنين إذا دعوا إلى الله ورسوله ليحكم بينهم أن يقولوا سمعنا وأطعنا) (فلا وربك لا يؤمنون حتى يحكموك فيما شجر بينهم ثم لا يجدوا في أنفسهم حرجا مما قضيت ويسلموا تسليما).   
فهذه الايات ونحوها تدل أبلغ دلالة وتفيد أعظم فائدة أن المرجع مع الاختلاف هو حكم الله ورسوله. وحكم الله هو كتابه، وحكم رسوله بعد أن قبضه الله تعالى هو سنته ليس غير ذلك، ولم يجعل الله تعالى لاحد من العباد وإن بلغ في العلم أعلى مبلغ وجمع منه ما لا يجمع غيره أن يقول في هذه الشريعة بشئ لا دليل عليه من كتاب ولا سنة.
والمجتهد، وإن جاءت الرخصة له بالعمل برأيه عند عدم الدليل، فلا رخصة لغيره أن يأخذ بذلك الرأي كائنا من كان.

Maksudnya: “Hukum yang terpakai antara para hamba adalah Kitab Allah Taala dan sunnah Rasul-Nya SAW sepertimana firman-Nya: “Jika kamu semua berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah perkara ini kepada neraca Allah (al-Quran) dan Rasul (al-Sunnah).” Firman-Nyalagi: “Dan hanyasanya perkataan mereka yang beriman apabila diseru kepada Allah dan Rasul-Nya untuk dijatuhkan hukum sesama mereka ialah dengan mereka berkata: “Kami dengar dan patuh.” Firman-Nya: “Maka demi tuhanmu, mereka tidak beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul antara mereka. Kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkum hukumkandan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”

Ayat-ayat ini dan yang seumpamanya merupakan bukti jelas dan agung yang  menunjukkan rujukan ketika berlaku perselisihan adalah hukum Allah dan Rasul-Nya. Hukum Allah adalah kitab-Nya, manakala hukum Rasul-Nya setelah baginda wafat ialah sunnah baginda, tiada yang lain. Allah Taala tidak menjadikan kepada seseorangpun dari kalangan hamba-Nya, sekalipun seorang yang sampai ke kemuncak ilmu yang tertinggi, yang telah menghimpunkan ilmu yang luas, tidak dimiiliki oleh orang lain untuk dia mengatakan apa dalam agama ini sesuatu yang tiada dalilnya dari kitab dan sunnah. Seorang mujtahid, jika terdapat rukhsah untuk dia menggunakan pandangannya ketika ketiadaan dalil (di sisinya), maka tidak ada rukhsah kepada selainnya untuk mengambil pandangan orang alim itu, siapapun dia.   

وإني، كما علم الله، لا أزال أكثر التعجب من وقوع مثل هذا للمصنفين وتصديره في كتب الهداية وأمر العوام والمقصرين باعتقاده والعمل به وهو على شفا جرف هار، ولم يختص بمذهب من المذاهب ولا بقطر من الاقطار ولا بعصر من العصور: بل تبع فيه الاخر الاول كأنه أخذه من أم الكتاب وهو حديث خرافة.
وقد كثرت التعيينات في هذه العبادة كما سبقت الاشارة إليها بلا برهان ولا قرآن ولا شرع ولا عقل.

Maksudnya: “Daku seperti yang diketahui oleh Allah, sentiasa amat hairan dengan berlakunya perkara seumpama ini (perkara yang disandarkan kepada agama yang tidak memiliki dalil) dari ramai para penulis dan diterbitkan dalam  buku-buku al-Hidayah. Orang awam pula disuruh meyakininya dan mengamalkannya, sedangkan dia sedang berada di tepi jurang yang hampir runtuh. Tidak dikhususkan kepada sesuatu mazhab, kota dan zaman, bahkan orang kemudian mengikut orang yang sebelumnya, seolah-olahlah ikutannya itu diambil dari Umm al-Kitab, sedangkan yang sebenarnya yang diambilnya itu hanya perbicaraan khurafat. Sesungguhnya telah banyak perkara-perkara yang diwajibkan dalam ibadah ini (solat Jumaat), seperti yang telah disebutkan sebelum ini, sedangkan perkara tersebut tidak memiliki bukti sama ada dari al-Quran, dari syara’, mahupun dari akal logik.”     


Cetak  
Wallahu a'lam