Syarat Penampakan Anak Bulan

Terdapat dua syarat penampakan anak bulan baharu:

Pertama: Berlaku iqtiran sebelum matahari tenggelam. Ini kerana hilal adalah fasa yang berlaku setelah fasa muhaq. Anak bulan ketika berlaku iqtiran akan tenggelam bersama dengan matahari, menjadikan ia mustahil untuk dapat dilihat. Ditambah pula permukaan bulan yang menghadap bumi adalah permukaan gelap, manakala pemukaan bulan yang diterangi cahaya matahari menghadap matahari pada ketika iqtiran.

Kedua: Bulan tenggelam setelah matahari tenggelam. Jika bulan tenggelam terlebih dahulu sebelum matahari, ini bermakna ketika masuk hari baharu dengan tenggelamnya matahari, anak bulan atau hilal telah tiada di langit. Demikian juga jika sempurna berlaku iqtiran sebelum matahari tenggelam beberapa jam. Bulan pula tenggelam selepas matahari dalam waktu yang singkat, keadaan ini tidak memadai untuk keboleh nampakan hilal.

Perlu juga diketahui bahawa waktu pertengahan bagi bulan terkebelakang dari matahari adalah sekitar 48 minit dalam setiap hari. Ini bermakna, bulan akan ditinggalkan oleh matahari dalam peredarannya pada kadar dua minit bagi setiap jam. Jika matahari tenggelam lima jam setelah sempurna iqtiran, bulan pula akan tenggelam 10 minit setelah itu. Inilah gambaran bagi keadaan pergerakan yang sederhana atau pertengahan. Dalam keadaan ini adalah mustahil untuk penampakan anak bulan baharu kerana dua sebab:

Pertama: Permukaan bulan yang diterangi dengan cahaya matahari amat sedikit, hanya sekadar 1/70 bahagian bulan.

Kedua: Hilal atau anak bulan yang amat sedikit ini pula terlalu dekat dengan matahari. Ia berada dalam kawasan sinaran matahari yang kuat. Sinaran dan pancaran matahari di ufuk selepas matahari tenggelam beberapa minit adalah amat kuat berbanding cahaya yang membentuk hilal di permukaan bulan. Kerana itu sebahagian ahli falak berpandangan, sukar untuk melihat anak bulan melainkan dalam keadaan bulan terlewat dari matahari dalam peredarannya tidak kurang dari 29 minit. Ini bermakna umur anak bulan tersebut hendaklah sekitar 15 jam setelah berlaku iqtiran dalam keadaan pergerakan yang pertengahan.

Kesimpulannya: Umur anak bulan antara 12 ke 18 jam selepas iqtiran adalah waktu terbaik bagi keboleh nampakan hilal. Perkara ini bukanlah sekadar perbezaan dalam perhitungan astronomi semata-mata, bahkan perbezaan itu wujud antara ahli falak dalam permasalahan Imkaniyyah al-Rukyah itu sendiri. (Lihat al-Hisabat al-Falakiyyah oleh Dr. 'Abd al-Rahman Hamzah Maghribi, hal: 13 dan Mafhum al-Hisab al-Falaki Min Nahiyah al-Syar'iyyah oleh Dr. 'Abdullah bin 'Abdul Wahid al-Khamis, hal: 4 & 5)  


Cetak  
Wallahu a'lam