SDI 1595: Pergerakan Janin Dalam Perut Ibunya Dan Cara Pengurusan Janin Gugur

Soalan:

Kajian moden membuktikan janin mula bergerak dalam perut ibu mengandung dalam bulan pertama kandungan. Sedangkan berdasarkan maklumat yang saya ketahui, ada hadis yang menyatakan tiupan ruh selepas janin melalui tempoh 120 hari. Mohon penjelasan dari ustaz bagaimana bayi yang keguguran nak diuruskan?

 

Jawapan:

Terdapat dua pergerakan janin dalam rahim ibunya:

1) Pergerakan dengan kehendaknya (حركة إرادية) yang tidak akan berlaku melainkan selepas roh ditiupkan.

2) pergerakan tanpa kehendaknya (حركة لا إرادية), sebaliknya terhasil dari tumbesaran dan pemakanannya yang berlaku sebelum dan selepas roh ditiupkan.

Dr. Muhammad ‘Ali al-Bar dalam bukunya Khalq al-Insan Bain al-Tibb wa al-Quran, hal: 355, pada bahagian nota kaki menyatakan pergerakan janin dengan kehendaknya dalam perut ibu bermula ketika usia kandungan lapan minggu. Namun pergeraknya ketika ini amat terbatas. Pergerakannya ketara bermula ketika usia janin 12 minggu dan apabila masuk usia 16 minggu pergerakan janin lebih jelas dapat dirasai oleh ibunya dengan sempurna.

Penemuan ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW tentang tiupan ruh yang berlaku selepas tempoh usia janin 120 hari.

Imam Muslim dalam kitab Sahihnya, daripada ‘Abdullah bin Mas’ud yang berkata: “Rasulullah SAW yang benar lagi dibenarkan telah menceritakan kepada kami:

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ في بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ في ذلك عَلَقَةً مِثْلَ ذلك ثُمَّ يَكُونُ في ذلك مُضْغَةً مِثْلَ ذلك ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فيه الرُّوحَ وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أو سَعِيدٌ فَوَا الَّذِي لَا إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حتى ما يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عليه الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا وان أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حتى ما يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عليه الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap orang daripada kamu, dihimpunkan ciptaannya di dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian dalam tempoh itu menjadi segumpal darah seperti itu juga, kemudian dalam tempuh itu menjadi seketul daging seperti itu juga. Setelah itu diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan ke dalamnya ruh dan diperintahkan dengan 4 perkara: ketentuan rezeki, ajal, amalan, bahagian atau sengsara…” (HR Muslim)

Hadis Abdullah bin Mas’ud pula yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dengan lafaz:

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ في بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذلك ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذلك ثُمَّ يَبْعَثُ الله مَلَكًا

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap orang daripada kamu, dihimpunkan ciptaannya di dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian menjadi segumpal darah seperti tempoh  itu juga, kemudian menjadi seketul daging seperti tempoh itu juga, setelah itu Allah mengutuskan kepadanya malaikat…” (HR al-Bukhari)

Kata Ibn Hajar dalam Fath al-Bari:

اتفق العلماء على أن نفخ الروح لا يكون إلا بعد أربعة شهر

Maksudnya: “Sepakat (kebanyakan) para ulama bahawa tiupan ruh tidak berlaku melainkan selepas empat bulan.”

 

Cara Menguruskan Janin Keguguran

Saya sertakan di bawah ini perkataan al-Bujairami berkaitan pengurusan janin keguguran:

وَالسَّقْطُ كَالْكَبِيرِ فِي الْوَفَاةِ ... إنْ ظَهَرَتْ أَمَارَةُ الْحَيَاةِ

أَوْ خَفِيَتْ وَخَلْقُهُ قَدْ ظَهَرَا ... فَامْنَعْ صَلَاةً وَسِوَاهَا اعْتَبِرَا

أَوْ اخْتَفَى أَيْضًا فَفِيهِ لَمْ يَجِبْ ... شَيْءٌ وَسَتْرٌ ثُمَّ دَفْنٌ قَدْ نُدِبْ

Maksudnya: “Janin (yang keguguran) sama (pengurusannya) seperti kematian orang dewasa jika jelas tanda hidupnya (bersuara atau bergerak selepas dilahirkan sebelum meninggal dunia). Jika tidak jelas tanda hidupnya, namun sifat-sifat manusia telah terzahir (terbentuk mata, hidung, telinga, jari dan lain-lain), tidak perlu disolatkan, hanya dilakukan urusan selain solat (mandi, kafan dan kebumi). Jika tiada sebarang tanda (tiada tanda hidup dan belum terbentuk sifat manusia) maka tidak perlu melakukan apa-apa selain sunat dibalut dalam kain dan dikebumikan.” (Lihat Hasyiah al-Bujairami 2/281)


Cetak  
Wallahu a'lam