Nafkah Isteri Zaman Kini

Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Islam telah meletakkan peraturan yang terbaik dalam hubungan suami isteri. Hubungan tersebut hendaklah di bina di atas dasar rasa kasih-sayang (al-Mawaddah), belas-kasihan (al-Rahmah) dan saling lengkap-melengkapi (al-Takaful). Bagi terlaksananya hasrat ini, Islam telah memberi hak kepada setiap pihak samada suami mahupun isteri bersesuai dengan kewajipan yang dipikulnya. Antara kewajipan penting yang telah Islam pikulkan ke atas bahu para suami ialah Nafkah Isteri. Allah SWT berfirman:

 ãA%y`Ìh9$# šcqãBº§qs% ’n?tã Ïä!$|¡ÏiY9$# $yJÎ/ Ÿ@žÒsù ª!$# óOßgŸÒ÷èt/ 4’n?tã <Ù÷èt/ !$yJÎ/ur (#qà)xÿRr& ô`ÏB öNÎgÏ9ºuqøBr& 4 .... ÇÌÍÈ  

Maksudnya: “kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka…” (al-Nisaa’: 34)

Persoalan nafkah isteri menjadi tajuk yang diberi perhatian berat oleh para fuqaha’ dahulu mahupun sekarang. Kerana itu boleh dikatakan semua kitab-kitab fiqh akan membincangkan tajuk ini. Hal ini memberi isyarat betapa pentingnya persoalan nafkah untuk isteri.

Hukum Nafkah Isteri

Para ulama bersepakat, secara umumnya nafkah seorang isteri adalah wajib ke atas suaminya. Kewajipan ini suatu yang telah thabit di dalam al-Quran, al-Sunnah dan Ijma’ ulama. Dalil-dalil al-Quran yang jelas menunjukkan kewajipan ini antaranya:

  • Firman Allah SWT:

Maksudnya: “hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. dan orang yang disempitkan rezkinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya...” (al-Tolaq: 7)

  • Firman Allah SWT:

Maksudnya: “dan kewajiban ayah memberi Makan dan pakaian kepada Para ibu dengan cara ma'ruf…” (al-Baqarah: 233)

  • Firman Allah SWT:

Maksudnya: “tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka. dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalaq) itu sedang hamil, Maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin…” (al-Tolak: 6)

Manakala dalil-dalil dari al-Sunnah pula, antaranya:

  • Daripada Jabir bin Abdillah RA, Nabi SAW telah bersabda di dalam khutbah Haji Wida’:

Maksudnya: “Wahai sekelian kaum lelaki, bertaqwalah kamu akan hak para wanita. Sesungguhnya kamu semua telah mengambil mereka dengan amanah dari Allah, menjadi halal kepada kamu kemaluan mereka dengan hukum-hakam Allah. Kamu pula memiliki hak dari mereka iaitulah mereka tidak boleh memasukkan ke dalam rumah kamu seseorang yang kamu tidak suka. Jika mereka lakukan perkara itu, maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak berat. Mereka pula memiliki hak makanan dan pakaian dari kamu semua dengan cara  yang makruf.” (HR Muslim 3009) 

  • Daripada ‘Aisyah RA, bahawa Hindun binti ‘Utbah RA pernah berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan seorang lelaki yang kikir. Dia tidak memberi kepadaku apa-apa yang cukup untukku dan anakku melainkan apa-apa yang aku ambil dari miliknya tanpa pengetahuannya.” Sabda baginda: “Ambillah apa-apa keperluanmu dan anakmu dengan makruf.” (HR al-Bukhari 5364 dan Muslim 4574)

Cuma terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tentang beberapa perkara, apakah ia termasuk di dalam nafkah yang wajib dari seorang suami untuk isterinya ataupun tidak. Antara perkara tersebut ialah:

 

Nafkah Perubatan Isteri

Para ulama berbeza pandangan tentang nafkah atau belanja perubatan isteri, apakah wajib ke atas suami membiayainya atau tidak. Terdapat dua pandangan ulama:

  • Tidak wajib ke atas suami menanggung belanja perubatan dan doktor untuk isteri. (Ibn ‘Abidin, Hasyiah Radd al-Muhtar ‘Ala Durr al-Mukhtar 3/575, al-Durdir; al-Syarh al-Kabir dan al-Dusuqi 2/511, Nihayah al-Muhtaj 7/195, Kassyaf al-Qana’ 5/536 dan Ibn al-Muflih, Ibrahim bin Muhammad bin Muflih; al-Mubdi’ Syarh al-Muqni’) Sebaliknya belanja perubatan isteri adalah dari harta siisteri sendiri atau ke atas individu selain suami yang wajib memberi nafkah untuk isteri seperti bapa dan datuk. Inilah pandangan majoriti fuqaha’ berdasarkan firman Allah SWT:

Maksudnya: “hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. dan orang yang disempitkan rezkinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya...” (al-Tolaq: 7)

Bentuk penghujahan yang diambil oleh majority ulama dari ayat ini ialah, dimana Allah SWT telah mewajibkan ke atas suami mengeluarkan nafkah yang berterusan kepada isteri. Manakala nafkah perubatan tidak termasuk di dalamnya disebabkan keperluan perubatan adalah sesuatu yang mendatang dan bukan berterusan (al-Bada’I’ 4/20 dan Hasyiah al-Dasuqi 2/511). Demikian juga membeli ubat-ubatan adalah bertujuan memperbaiki tubuh-badan, maka ia tidak boleh diwajibkan ke atas suami. (al-Mughniy 9/235, Kassyaf al-Qana’ 5/536 dan Mughniy al-Muhtaj 3/431)

  • Wajib ke atas suami mengeluarkan atau menanggung belanja perubatan isteri mengikut yang makruf. Inilah pandangan al-Imam al-Syaukani di dalam al-Sail al-Jarrar (2/448) demikian juga sekumpulan ulama semasa. Mereka berhujjah berdasarkan keumumam nas, antaranya firman Allah SWT:

Maksudnya: “dan kewajiban suami memberi Makan dan pakaian kepada para isteri dengan cara ma'ruf…” (al-Baqarah: 233)

Bentuk penghujahannya berdasarkan kepada keumuman sighah yang ada di dalam ayat ini (Sadiq Hasan Khan di dalam al-Raudhah al-Nadiyyah 2/79, Dar al-Ma’rif Beirut). Selain itu kewajipan nafkah untuk isteri ditanggung oleh suami adalah bertujuan memelihara kesihatan isteri. Manakala ubat-ubatan itu pula termasuk bertujuan memelihara kesihatan dan keselamatan isteri. Oleh itu ia menyerupai nafkah. Kata Al-Imam al-Syaukani:

Maksudnya: “Adapun mewajibkan memberi ubat kepada isteri, maka bentuk penghujahannya kerana kewajipan nafkah ke atas suami adalah bertujuan menjaga kesihatan isteri. Maka ubat termasuk dalam perkara yang bertujuan memelihara kesihatan seorang isteri.” (al-Sail al-Jarrar al-Mutadaffiq ‘ala Hadaiq al-Azhar)

Dr Wahbah al-Zuhaili RH menyokong pandangan ini. beliau berkata:

Maksudnya: “Yang jelas bagi saya, pada zaman dahulu mendapatkan rawatan tidak termasuk dalam keperluan asas, kebiasaannya orang-orang dahulu tidak memerlukan kepada rawatan, kerana mereka kuat mematuhi displin-displin kesihatan dan pencegahan. Maka (dalam perkara seperti ini) ijtihad ulama dibina berdasarkan uruf (kebiasaan) yang berlaku pada zaman mereka. adapun sekarang, mendapatkan perubatan telah menjadi satu keperluan sama seperti keperluan kepada makanan, bahkan mendapatkan rawatan itu lebih penting lagi, hal ini kerana seorang yang ditimpa sakit kebiasaannya lebih memerlukan ubat berbanding perkara lain. Bagaimana dia hendak menjamah makanan sedangkan dia menderita dan menanggung penyakit yang mengancam nyawanya? Kerana itu, saya berpandangan wajibnya nafkah ubat dipikul oleh suami sama seperti kewajipan nafkah lainnya yang wajib (makanan, pakaian dan tempat tinggal). Sama juga seperti wajibnya nafkah ubat untuk anak ke atas bapanya dengan kesepakatan semua ulama. Apakah seorang suami dikira bergaul secara baik dengan isterinya (seperti yang disuruh di dalam al-Quran), jika dia hanya berseronok dengan isterinya ketika siisteri sihat, kemudian memulangkan siisteri kepada keluarganya apabila dia sakit?” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 10/110. Dar al-Fikr, Dimasyq. Cetakan keempat)

 

Belanja Pembersih Diri

Para fuqaha berpandangan suami wajib menyediakan keperluan isteri membersihkan rambut dan kepalanya seperti sikat, minyak rambut dan seumpamanya. (Bada’I’ al-Sona’I’ 4/20, Hasyiah al-Dusuqi 2/511, al-Mughniy 9/235, al-Mardawi al-Insaf 9/262 dan Mughniy al-Muhtaj 3/431)

Sebahagian daripada fuqaha mengkiaskan kewajipan ini dengan kewajipan penyewa memastikan kebersihan sesuatu yang disewanya. (al-Mardawi, al-Insaf 9/262)

Selain itu alasan yang lebih kukuh bagi kewajipan suami menyediakan keperluan ini ialah berdasarkan adat dimana sememangnya wanita memerlukan kelengkapan tersebut. (Hasyiah al-Raudh al-Murbi’ oleh Ibn Qasim 7/111)

 

Belanja Alat Solekan

Para fuqaha mazhab berpandangan belanja wangian tidak termasuk di dalam kewajipan nafkah dari suami jika ia bertujuan al-Talazzuz (menikmati bau harum) dan al-Istimta’ (berseronok). Ini kerana al-Talazzuz dan al-Istimta’ adalah hak yang perlu diterima oleh suami. Justeru tidak wajib ke atas suami sesuatu yang termasuk dalam perkara yang berhak diterimanya.

Berbeza jika wangian bagi tujuan menghilangkan bau tidak enak. Ia wajib ke atas suami menyediakannya. (al-Fatawa al-Hindiyyah 1/549, al-Tajj wa al-Iklil 4/182-183 dan Mughniy al-Muhtaj 3/430 dan al-Mughniy 9/235).

Para ulama pula berbeza pandangan tentang solekan bagi tujuan menghilangkan kusut masai rambut dan wajah yang kusam seperti berikut:

  • Tidak wajib ke atas suami. Inilah pandangan ulama mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali. (Hasyiah Radd al-Muhtar oleh Ibn ‘Abidin 3/579, Raudhah al-Tolibin oleh al-Nawawi 6/459 dan al-Mughniy oleh Ibn Qudamah 11/208)

Dalil bagi pandangan ini ialah dengan mengatakan perhiasan bukanlah suatu keperluan bagi seorang perempuan. Sebaliknya ia bertujuan menimbulkan keseronokan dan menarik perhatian suami. Oleh itu jika suami tidak memintanya maka tidak wajib ke atasnya mengeluarkan belanja untuk tujuan itu. (al-Mughniy oleh Ibn Qudamah 11/208)

  • Wajib ke atas suami menyediakan perbelanjaan perhiasaan yang boleh mendatangkan mudharat kepada isteri jika meninggalkannya. Inilah pandangan ulama Mazhab Malik, satu wajah di sisi ulama Mazhab Hambali. (al-Insaf oleh al-Mardawi 9/262). Ibn Hamdan dari mazhab Hambali berpandangan wajib ke atas suami jika ada permintaan dari isteri. (al-Ri’ayah oleh Najm al-Din Ahmad bin Hamdan al-Harraniy 2/1146)

Dalil bagi ulama mazhab Malik ini pula berdasarkan firman Allah SWT: “Dan bergaullah dengan mereka dengan cara yang baik.” (al-Nisa’: 19)

Ulama mazhab Malik berkata, adalah termasuk di dalam tuntutan al-Ma’ruf dengan menyediakan untuk isteri apa-apa yang diperlukannya terdiri dari perhiasan dan alat solek yang menjadi kebiasaan diterima oleh penduduk setempat (Tabyin al-Salik oleh al-Syanqithi 3/234). Demikian juga pada kebiasaannya para wanita yang meninggalkan perhiasaan yang biasa, akan mendatangkan keburukan kepada mereka. Maka suami wajib menyediakan perhiasan dan solehkan seperti wangian yang biasa digunakan untuk rambut, celak dan minyak yang biasa digunakan oleh kaum wanita. Namun tidak wajib menyediakan wangian tangan. Ini kerana wangian rambut bertujuan menghilangkan kusut masai dan bau busuk yang biasanya mendatangkan keburukan berbeza dengan wangian tangan yang semata-mata bertujuan perhiasan. (al-Syarh al-Kabir oleh al-Dardir 2/510

Tarjih

Pandangan dari mazhab Malik dilihat lebih mengungguli perbincangan ini ditambah dengan adat atau ‘uruf semasa yang berlaku. Reality semasa menunjukkan seorang suami biasanya menyediakan peralatan solekan untuk isterinya. Di samping penggunaan solekan yang amat meluas dalam kalangan wanita hari ini.

Oleh itu, seorang suami wajib menanggung belanja kebiasaan alat solekan isteri jika dia seorang yang berkemampuan. Syarat kemampuan ini diletakkan dalam ertikata jika suami tidak mampu, maka gugurlah kewajipan ini daripadanya kerana alat solekan tidak termasuk dalam keperluan yang mesti (الضروريات). Demikian juga kewajipan ini gugur jika suami seorang yang susah, dimana jika dia menyediakan alat solekan yang biasa sekalipun akan menyebabkan habis pendapatannya. Selain itu bagi memberi keadilan kepada suami, maka batas minima perlu ditetapkan iaitulah suami wajib menyediakan peralatan solekan yang biasa dalam ertikata cukup bertujuan menghilangkan kusut masai dan wajah yang kusam. Suami tidak wajib menyediakan lebih dari batas minima ini. Kegagalan seorang suami menyediakan peralatan solekan minima ini, dia dikira telah cuai dalam menunaikan kewajipan nafkah untuk isterinya.

Seperti yang telah dinyatakan bahawa mazhab Hambali antara mazhab yang tidak mewajibkan nafkah alat solekan ke atas suami. Namun beberapa ulama dari mazhab Hambali telah membuat pengecualian dimana perbelanjaan alat solekan menjadi wajib ke atas suami jika si suami sendiri yang meminta isterinya berhias dan mencantikkan diri (Lihat al-Syarh al-Kabir 9/236 oleh Muhammad bin Ahmad bin Qudamah dan al-Insaf 9/262 oleh al-Mardawi). Pandangan ini menguatkan lagi pemilihan pandangan mazhab Maliki terutamanya zaman sekarang yang pada kebiasaannya suami akan meminta isterinya untuk berhias dan mencantikkan diri di hadapannya.


Cetak  
Wallahu a'lam