SDI 0821: Hukum Solat di Masjid Yang Arah Kiblah Terpesong Sebanyak 25°

Soalan: 
 
Assalamualaikum ustaz...sy ingin bertanya kpd ustaz apakah yg patut sy lakukan kerana masjid yg ada di kwsan tempat tnggal sy menghadap ke arah kiblat yg tidak tepat,utk pengtahuan ustaz sy tnggal d negara australia,para AJK masjid mnyedari keadaan ini tetapi masih tidak mahu membetulkannya...persoalannya adakah perlu sy dan rakan2 utk bersolat jumaat di rumah kerana kami tidak mahu solat di masjid yg kiblatnya salah?...dan perbezaan ini sgt ketara...adakah dalil yg mnunjukkan rasul saw bersolat jumaat dgn makmum yg kurang dari 40 orang?harap ustaz dpt memberi pandangan dlm msalah ini...jazakallahukhair.
 
Jawapan:
Perintah mengadap kiblat adalah ke arahnya bukan mesti tepat., kerana memastikan menghadap tepat ke kiblat adalah suatu yang mustahil bagi tempat yang jauh dari mekah.
 
Penyoal:
Ye benar ustaz...tp dlm kes ini perbezaan nampak ketara...mereka tdk mahu merubah arah kiblat yg lebih tepat kerana tdk mahu menerima nasihat dari org mlysia...pihak AJK masjid berketurunan pakistan...dlm kes ini patutkah kita solat jumaat bersama mereka ataupun solat jumaat di rumah?jazakallahukhair ustaz
 
Bin Sahak:
Apa asas anda mengatakan kiblat mereka salah?
 
Penyoal:
Kami cek dgn kompas
 
Bin Sahak:
Berapa darjah lari?
 
Penyoal:
25 drjah ustaz
 
Jawapan Bin Sahak:
Anda dan rakan-rakan TIDAK PERLU solat di rumah. Anda dan rakan-rakan boleh terus solat 5 waktu dan solat Jumaat di masjid tersebut yang kiblatnya berpaling sekitar 25° dari kiblat. Solat saudara di masjid tersebut adalah SAH.
 
Tempat yang jauh dari Mekah TIDAK DIWAJIBKAN kiblatnya bertepatan dengan ain kaabah. Sebaliknya memadai menghadap ke arah kiblah. Arah yang tersasar dari kaabah jika sedikit, ia tidak menjejaskan sahnya solat selama-mana masih menghadap KE ARAH yang terdapat Kaabah disitu.
 
Para ulama menyatakan berpaling dari kiblat sehingga membatalkan solat adalah berpaling yg banyak dlm bentuk berpaling dan menyalahi arah kiblat. Kata alDardir di dalam alSyarh alKabir 1/227:
والانحراف الكثير أن يشرق أو يغرّب ، نصّ عليه في المدونة
Maksudnya: "dan berpaling yang banyak iaitulah menghadap ke arah timur atau barat. (Seperti) yang telah dinyatakan di dalam alMudawwanah."
 
Kenyataan ini merujuk kepada penduduk Madinah dan juga bagi sesiapa yang berada di utara atau selatan Mekah. Apabila mereka mengadap ke timur atau ke barat, bermakna mereka telah berpaling terus dari arah Kiblat. Adapun bagi mereka yang berada di bahagian barat Mekah sebagai contoh, maka arah kiblat bagi mereka adalah ke arah timur. Jika mereka berpaling dari arah timur dan menghadap ke arah utara sebagai contoh atau ke arah selatan atau membelakangi arah timur, maka pada ketika itu mereka telah berpaling banyak dari arah kiblat dan solat mereka tidak sah. Asas pendalilan dalam permasalahan ini ialah hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh alTirmizi dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah RA, telah bersabda Rasulullah SAW:
مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ قِبْلَةٌ
Maksudnya: "Apa yang di antara timur dan barat itu adalah kiblat (bagi penduduk Madinah dan yang sewaktu dengannya)." Hadis ini dinilai Sahih oleh alAlbani di dalam Irwa' alGhalil. Sekalipun demikian, yang lebih utama (afdhal) ialah memperbetulkan kiblat masjid yang berpaling sedikit dari arah kiblat. Namun tetap solat dengan kiblat yang terpesong 25° adalah tetap sah seperti yang telah dijelaskan di atas. Dan hal seperti ini tidak wajar diheboh dan diperbesarkan bagi mengelak perbalahan dalam kalangan orang Islam.
 

Cetak  
Wallahu a'lam