Hukum Imam Berbeza Mazhab

HUKUM IMAM BERBEZA MAZHAB

Oleh: Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Pegawai Jabatan Mufti Perlis

 

Imam berbeza mazhab ada tiga keadaan:

Pertama: Imam yang memelihara tempat-tempat khilaf dalam bentuk imam tidak meninggalkan satu rukun atau syarat yang dianggap rukun atau syarat oleh makmum. Imam juga tidak meninggalkan satu rukun atau syarat di sisinya bukan di sisi makmum.

Solat di belakang imam seperti ini Harus di sisi empat mazhab:

  • Kata Khalil RH:

Maksudnya: “Dan harus mengikut (imam) yang buta dan yang berbeza dalam permasalahan-permasalahan furu’.”[1]

  • Kata Imam al-Nawawi RH:

Maksudnya: “Dan yang keempat: Inilah yang Asah. Inilah pandangan Abu Ishak al-Marwazi, al-Syeikh Abu Hamid al-Isfarayiniy, al-Bandanijiy, al-Qadhi Abu al-Tayyib dan kebanyakan ulama: jika kita pasti tinggalnya imam sesuatu yang kita mengira tidak sahih mengikutnya (yang meninggalkan perkara tersebut), dan jika kita pasti (imam) melakukan semuanya, atau kita raguinya, maka Sah.” [2]

  • Kata ‘Abd al-Rahman bin Abi ‘Umar bin Qudamah RH:

Maksudnya: “Maka adapun orang-orang yang berbeza pandangan dalam persoalan-persoalan furu’ seperti mazhab-mazhab yang empat, maka solat belakang mereka (yang berbeza dengan kita) adalah harus lagi Sahih (Sah), tanpa ada makruh, telah dinyatakan hal ini (oleh Imam Ahmad). Ini kerana para sahabat, tabi’ien dan orang-orang selepas mereka sentiasa sebahagiannya menunaikan solat di belakang sebahagian lain sedangkan ada perbezaan antara mereka dalam persoalan furu’, maka hal demikian ini adalah ijma’.” [3]

Kedua: Makmum mengetahui imam meninggalkan satu rukun atau syarat di sisinya (makmum), bukan di sisi imam. Contoh:

Seorang imam memegang isterinya lalu menunaikan solat tanpa memperbaharui wudhu, sedangkan makmum memegang pandangan yang mengatakan Imam tersebut wajib berwudhu, sedangkan imam memegang pandangan yang mengatakan tidak wajib. Terdapat dua pandangan ulama. Namun pandangan yang lebih kuat ialah pandangan yang mengatakan solat makmum sebegini adalah Sah. Inilah pandangan para ulama mazhab Maliki.[4] Pandangan ini juga merupakan satu Wajah bagi Ashab al-Syafi’ie, dipilih oleh al-Qaffal.[5] [6] Pandangan ini juga diriwayatkan daripada Imam Ahmad, dan ia merupakan pandangan al-Sahih di sisi para ulama mazhab Hanbali.[7]  Inilah juga pandangan pilihan Ibn Qudamah[8] dan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH. [9]  

            Para ulama ini berdalilkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Huraiah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “(Para imam itu) mereka solat bersama dengan kamu (menjadi imam), jika mereka betul (di dalam solatnya), maka untuk kamu semua juga pahala. Jika mereka tersilap, maka untuk kamu semua pahala kamu dan untuk mereka (para imam) dosa mereka.” [10]

Di dalam hadis ini menunjukkan Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa kesalahan imam tidak akan berpindah kepada makmum. Ini menunjukkan apa-apa yang dilakukan oleh imam yang dianggap satu kesalahan di sisi makmum tidak memberi kesan kepada solat makmum. Maka solat di belakang imam seperti ini adalah Sah.

            Selain itu pandangan yang mengatakan tidak sah boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam. Ia juga akan menjadikan hukuman tidak Sah solat kepada orang yang berbeza dalam masalah ijtihadiah.

Ketiga: Imam meninggalkan sesuatu yang dianggap rukun atau syarat olehnya sendiri bukan makmum.

Contoh: Seorang imam memegang pandangan yang mengatakan wajib wudhu selepas memakan daging unta. Manakala makmum tidak memegang pandangan tidak wajib. Setelah itu imam menunaikan solat tanpa memperbaharui wudhunya.

Terdapat dua pandangan ulama dalam persoalan ini. Namun pandangan yang lebih kuat ialah makmum tersebut tidak boleh solat di belakangnya. Inilan pandangan ulama mazhab Hanafi[11], menjadi pilihan al-Qaffal dari kalangan ulama mazhab al-Syafie[12] dan menjadi pandangan ramai dari kalangan ulama mazhab Hambal[13]. Mereka mendatangkan dua ta’lil:

  • Imam ini telah meninggalkan satu perkara yang wajib dilakukan untuk solat. Maka batal solatnya dan solat sesiapa yang mengikutnya dalam keadaan tahu solat imam tersebut tidak sah.[14]
  • Imam ini telah meninggalkan satu perkara wajib di dalam solat. Maka solatnya terbatal. Makmum yang mengikut imam seperti ini adalah ikutan atas sangkaan adanya wudhu, namun di sisi Imam wudhu itu tiada lagi. Maka asal wudhu itu adalah tiada di sisi Imam, maka tidak boleh mengikut imam seperti ini. [15]

Sebahagian ulama lain ada yang berpendapat solat makmum tersebut adalah sah. Mereka mengatakan yang diambil kira adalah apa yang diambil kira hukumnya ke atas makmum itu sendiri bukan imam atau lainnya. Namun alasan ini tidak benar. ini kerana imam tersebut telah meninggalkan satu perkara yang wajib yang diyakininya. Maka dalam keadaan ini solatnya tidak sah, sedang makmum pula mengetahui solat imam tersebut tidak sah di sisi imam sendiri. Maka tidak boleh atau tidak  sah mengikut imam yang batal solatnya. Berbeza jika makmum tidak mengetahui solat imam tersebut telah batal. Maka boleh pula dia mengikut imam seperti ini.

------------------------------------------------------------------- 

[1] Mukhtasar Khalil 32

[2] Al-Majmu’ 4:164

[3] Al-Syarh al-Kabir 1:104

[4] Lihat al-Kharasyi ‘Ala Khalil 2:31

[5] Beliau tergolong dari kalangan ulama besar mazhab al-Syafie, seorang syeikh bagi ulama mazhab Syafie di Khurasan. Terkenal sebagai al-Qaffal al-Saghir al-Marwazi. Meninggal tahun 417H. Lihat Tabaqat al-Syafi’iyyah al-Kubra 3:198-203

[6] Raudhah al-Talibin 2: 347.

[7] Lihat al-Insaf 2: 262-263

[8] Al-Mughniy 2: 191

[9] Majmu’ al-Fatawa 23: 376 - 377

[10] Riwayat al-Bukhari – Kitab al-Azan – Bab Iza Lam Yutimm al-Imam Wa Atamm Man Khalfuh 1: 170

[11] Lihat al-Bahr al-Ra’iq 2: 51 dan Fath al-Qadir 1: 381.

[12] Al-Majmu’ 4: 164

[13] Lihat al-INsaf 2: 262

[14] Lihat al-Syarh al-Kabir 1: 402

[15] Lihat al-Bahr al-Ra’iq 2: 51


Cetak  
Wallahu a'lam