SDI 1268: Taqlid Kepada Mazhab Maliki Ketika Keperluan Dalam Masalah Kenajisan Babi

Soalan: 

Assalamualaikum ustaz

Abang sy berkahwin dgn seorang cina yg baru memeluk Islam.. keluarga kakak ipar sy mmg makan daging khinzir dirumah dan ada ladang khinzir bwh..

Soalan
1.Perlukah abg sy membawa peralatan sndr dr rumah, atau bolekah menggunakan shj peralatan dirumah mertua?

Mohon pencerahan . jakallahu Khair ustaz

Jawapan: 

Amat sukar untuk abang anda berpegang dengan pandangan majoriti ulama dalam persoalan kenajisan babi atau khinzir. Ia juga pasti akan mewujudkan hubungan yang janggal dan serba kekok antara keluarga isteri. Sudah tentu hal ini tidak bagus untuk hubungan kekeluargaan dan memberi gambaran buruk terhadap agama dan menjauhkan usaha dakwah. Sedangkan isu kenajisan babi adalah isu ijtihadi yang tidak terdapat kata putus dari Allah SWT dan Rasul SAW.

Hukum samak untuk kenajisan babi adalah pandangan dari sebahagian ulama, termasuk ulama mazhab syafi'ie kerana berpandangan babi lebih jijik dan keji berbanding anjing. Pandangan babi lebih jijik dari anjing kerana melihat beberapa petunjuk, antaranya pengharaman dagingnya di dalam al-Quran. Demikian juga perintah membunuhnya secara umum. Demikian juga keberadaan hadis yang menceritakan Nabi Isa AS di akhir zaman nanti akan membunuh babi. Dalil-dalil ini menunjukkan babi teramat keji dan jijik pada kaca mata islam menurut penilaian majoriti ulama, 

Apabila anjing disuruh samak bekas yang dijilatnya, sedangkan anjing tidaklah sekeji babi, maka kata majoriti ulama, amat patut dan wajar juga hukum kenajisan yang sama dikenakan kepada babi. Maka hasilnya mereka mewajibkan menyamak apa sahaja yang memiliki kesan babi. 

Ternyata, perintah samak untuk babi tidak dibina dari perintah yang jelas dari Allah SWT mahupun Rasul. Sebaliknya pandangan sebahagian ulama. Dalam masa yang sama terdapat sebahagian ulama lain yang berbeza dalam masalah ini. Di mana mereka berpandangan babi tidak termasuk dalam najis mughallazah atau najis berat. Sebaliknya ia hanyalah najis mutawassitah sama seperti najjis kotoran lain yang hanya perlu dibasuh seperti biasa agar hilang bau, warna dan rasanya. 

Di kalangan ulama yang berpandangan babi BUKAN termasuk dalam najis berat atau mughallazah ialah ulama dalam mazhab Maliki dan pandangan ini disokong oleh al-Imam al-Nawawi dari ulama mazhab Syafi'ie, kata beliau: 

نقل ابن المنذر في كتاب الإجماع إجماع العلماء على نجاسة الخنزير وهو أولى ما يحتج به لو ثبت الإجماع، ولكن مذهب مالك طهارة الخنزير ما دام حيا، وأما ما احتج به المصنف فكذا احتج به غيره ولا دلالة فيه وليس لنا دليل واضح على نجاسة الخنزير

Maksudnya: "Ibn al-Munzir menukilkan di dalam kitabnya al-Ijma' akan ijma'nya para ulama tentang kenajisan babi. Ia (berhujjah dengan ijma') itu adalah seutama-utama sesuatu yang dibuat hujah, itupun jika thabit ijmak itu berlaku. Namun mazhab Maliki berpandangan kesucian babi selama mana masih hidup. Adapun apa yang dijadikan hujah oleh penulis kitab (al-Imam al-Syirazi di dalam al-Muhazzab), demikianlah yang dijadikan hujah oleh selain beliau. Namun tiada bukti di dalamnya (berkaitan kenajisan babi) dan tiada juga bagi kita satu bukti yang jelas akan kenajisan babi."

Abang yang bertanya amat wajar mengambil dan bertaqlid dengan pandangan mazhab Maliki ini yang insyaAllah dapat memberi kemudahan kepadanya dan isteri, demikian juga dapat memberi gambaran yang lebih harmoni kepada saudara yang non muslim, terutamanya dalam usaha dakwah kepada mereka. 

Namun saya nasihatkan kepada yang tiada keperluan untuk berpegang atau bertaqlid dengan mazhab maliki ini supaya jangan buat sesuatu yang boleh menimbulkan keburukan dalam masyarakat. Sesungguhnya Allah tahu siapa yang menghendaki kebaikan atau keburukan dari apa yang dia lakukan. Jika ia pakai kasut kulit babi, sedangkan dia tahu akan menimbulkan perbalahan dalam kalangan masyarakat yang rata-ratanya tidak menghiraukan ilmu dan mabuk dengan hiburan, dia bersedia untuk menjawab di hadapan Allah atas tindakan yang menimbulkan perbalahan tersebut di kalangan orang-orang yang jahil. 

Selain itu tidak mengambil pandangan mazhab Maliki ini juga merupakan tindakan menghormati pandangan ulama majoriti yang mengatakan ia najis mughallazah. Pandangan mazhab Maliki itu amat perlu untuk mereka yang memerlukannya sahaja seperti situasi dalam soalan. Alhamdulillah di sinilah rahmatnya dengan adanya ramai ulama yang berani mengeluarkan pandangan yang berbeza, sehingga kita dapat bertindak di bawah suluh panduan dari mereka.


Cetak  
Wallahu a'lam