Kelebihan Solat Jumaat

Ketahuilah pembaca sekalian. Solat Jumaat memiliki banyak kelebihan berdasarkan hadis Nabi SAW, antaranya:

  • Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

خيرُ يومٍ طَلعَتْ فيه الشَّمسُ يومُ الجُمُعة؛ فيه خَلَقَ اللهُ آدَمَ، وفيه أُدْخِلَ الجَنَّةَ، وفيه أُخرِجَ منها، ولا تقومُ السَّاعةُ إلَّا في يومِ الجُمُعة

Maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari tersebut Allah SWT menciptakan nabi Adam, pada hari tersebut juga baginda dimasukkan ke dalam syurga dan pada hari Jumaat juga baginda dikeluarkan daripadanya. Tidak akan berlaku hari kiamat melainkan pada hari Jumaat.” (Riwayat Muslim 854)

  • Daripada Abu Hurairah dan Huzaifah RA. Rasulullah SAW bersabda:

أضلَّ اللهُ عنِ الجُمُعة مَن كان قَبْلَنا، فكانَ لليهودِ يومُ السَّبت، وكان للنَّصارى يومُ الأحد، فجاءَ اللهُ بنا فهَدَانا ليومِ الجُمُعة، فجَعَل الجُمُعة والسَّبتَ والأَحَد، وكذلك هم تبعٌ لنا يومَ القيامَةِ، نحنُ الآخِرونَ من أهلِ الدُّنيا، والأَوَّلونَ يومَ القِيامَةِ، المقضيُّ لهم قبلَ الخلائقِ

Maksudnya: “Allah telah menyesatkan orang-orang sebelum daripada kita dari hari Jumaat. Untuk orang-orang Yahudi itu hari Sabtu, dan untuk orang-orang Kristian itu hari Ahad. Allah mendatangkan kita (umat Nabi SAW) dan Dia memberi hidayah kepada kita kepada hari Jumaat. Allah telah menjadikan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Demikianlah mereka menuruti kita di hari kiamat. Kita umat terakhir dari kalangan penduduk bumi, kita umat terawal pada hari kiamat, yang terlebih dahulu diputuskan (untuk memasuki syurga) sebelum makhluk-makhluk (umat-umat) yang lain.” (Riwayat Muslim 856)

  • Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW yang bersabda:

نَحنُ الآخِرونَ الأوَّلون السَّابِقون يومَ القِيامةِ، بَيْدَ أنَّهم أُوتوا الكتابَ مِن قَبلِنا، ثمَّ هذا يومُهم الذي فَرَضَ اللهُ عليهم، فاخْتَلفوا فيه، فهَدَانا اللهُ له، والنَّاسُ لنا فيه تَبَعٌ؛ اليهودُ غدًا، والنَّصارَى بعدَ غدٍ

Maksudnya: “Kita adalah umat terakhir (namun) terawal di hari kiamat. Melainkan mereka terlebih dahulu dikurniakan kitab sebelum daripada kita. Kemudian inilah hari mereka yang Allah telah menfardhukan ke atas mereka, namun mereka telah berselisih padanya. Maka Allah memberi hidayah kepada kita untuk hari tersebut (Jumaat), maka orang ramai (umat terdahulu) menuruti kita, orang-orang Yahudi keesokan harinya (menuruti untuk diadili di hari kiamat) dan orang-orang Kristian pada hari lusa (menuruti untuk diadili di hari kiamat).” (Riwayat al-Bukhari 876 dan Muslim 855)


Cetak  
Wallahu a'lam