Tarjih Sukatan Sa’ (Gantang) Nabawi

Pandangan yang lebih kuat dan kukuh ialah pandangan ulama Hijaz yang mengatakan satu Sa’ adalah 5 1/3 Artal. Ini kerana bukti dan hujjah memihak kepada mereka.

Dr. Muhammad Dhiya’ al-Din al-Ris  berkata:

“Pandangan satu Sa’ adalah 5 1/3 Artal – sepertimana pandangan ulama Syafi’ie - adalah pandangan yang benar. Realitinya bahawa tidak patut berbaki lagi apa-apa keraguan sekitar persoalan ini setelah tertegaknya bukti-bukti atas kesahan penentapan kadar ini dari perkataan-perkataan kebanyakan ulama mujtahidin. Sandaran utamanya iaitulah khabar dari Imam Malik yang telah meletakkan (sukatan) penentu ukur Sa’ penduduk Madinah yang ada sejak zaman Nabi SAW. Demikian itu dengan kehadiran al-Khalifah al-Rasyid dan setelah berlaku perdebatan antara beliau dengan al-Qadhi Abu Yusuf. Hasil dari penetapan melalui pengalaman sendiri ini menjadikan Abu Yusuf berpuas hati dan mengubah pandangannya kepada pandangan yang sama dengan Imam Malik dan Ahli Madinah.”[1]

Kata Dr. Muhammad Qasim al-Syum (محمد قاسم الشوم):

“Maka siapakah yang lebih alim berbanding Imam Malik tentang peninggalan-peninggalan Madinah? Dan manakah pula penyaksian yang lebih besar berbanding penyaksian seorang faqih lagi mujtahid, Abu Yusuf yang merupakan seorang Qadhi al-Khilafah dan mustasyar pemerintah yang pertama.”

            Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata: “Oleh yang demikian, pandangan yang sahih yang disokong dengan bukti-bukti ialah pandangan Ahli Hijaz dan mereka yang sependapat dengan mereka bahawa satu Sa’ bersamaan 5 1/3 Artal.”[2]

----------------------------- 

[1] Fiqh al-Zakah 370

[2] Fiqh al-Zakah 371


Cetak  
Wallahu a'lam