Hukum Solat Memakai Facemask

Sememangnya terdapat hadis larangan solat dalam keadaan memakai sesuatu yang menutup muka. Antara hadis larangan itu ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah RA yang berkata: 

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم نهى أن يغطي الرجل فاه في الصلاة

Maksudnya: "Bahawa Rasulullah SAW pernah melarang seseorang lelaki menutup mulutnya ketika solat."

Menutup muka yang dimaksudkan di sini ialah al-Talatthum التلثم. Para ulama berbeza pandangan tentang maksudnya ulama mazhab Syafi'ie berpandangan ia adalah menutup mulut sahaja. Manakala ulama Hanafi dan Hambali berpandangan ia menutup mulut dan hidung. Di sisi ulama Maliki pula berpandangan apa-apa yang menutup sehingga ke bibir mulut yang bawah. 

Para ulama menyatakan larangan yang ada di dalam hadis ini adalah larangan makruh bukan larangan haram. Hukum makruh jika ia dilakukan tanpa ada keperluan. Kata al-Khatib al-Syarbini RH:

وأن يصلي الرجل متلثما والمرأة متنقبة -أي يكره ذلك- ونص النووي في المجموع: أنها كراهة تنزيهيه لا تمنع صحة الصلاة

maksudnya: "dan solat seseorang lelaki dalam keadaan bertutup mukanya demikian juga wanita dalam keadaan berniqab - iaitulah dimakruhkan - al-Nawawi telah menaskan di dalam al-Majmu': bahawa ianya adalah makruh tanzih (bukan haram), dan tidak menghalang sahnya solat." 

Seperti yang dinyatakan ia makruh jika dilakukan tanpa ada keperluan. Jika ada keperluan tiada lagi hukum mahruh tersebut bahkan ialah suatu yang diharuskan. Kata Ibn 'Abd al-Barr RH: 

أجمعوا على أن على المرأة أن تكشف وجهها في الصلاة والإحرام، ولأن ستر الوجه يخل بمباشرة المصلي بالجبهة والأنف ويغطي الفم، وقد نهى النبي صلى الله عليه وسلم الرجل عنه، فإن كان لحاجة كحضور أجانب فلا كراهة، وكذلك الرجل تزول الكراهة في حقه إذا احتاج إلى ذلك 

maksudnya: "Dan para ulama telah ijmak bahawa wanita hendaklah membuka mukanya ketika solat dan berihram. Ini kerana menutup muka akan mengurangkan persentuhan dahi dan hidung seseorang yang sedang menunaikan solat (ke bumi). Sesunggunya Nabi SAW telah melarang seseorang lelaki menutup mulutnya ketika solat. Jika ia dilakukan kerana ada keperluan seperti kehadiran lelaki ajnabi (bagi seorang perempuan), maka tiada hukum makruh. Demikian juga seorang lelaki, gugur hukum makruh darinya jika dia ada keperluan menutup mukanya ketika solat." 


Cetak  
Wallahu a'lam