Ayat Wasiat Apakah Mansuh Ataupun Tidak?

Oleh: Ustaz Mohamad Abdul Kadir Bin Sahak

Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “diwajibkan ke atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, Berwasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara ma'ruf, (ini adalah) kewajiban atas orang-orang yang bertakwa.” (al-Baqarah: 180)

Para ulama berbeza pandangan tentang kewajipan berwasiat yang terdapat di dalam ayat ini Sebahagian ulama berpandangan ayat ini telah dimansukh atau dibatalkan hukumnya dengan ayat-ayat Mawarith yang terdapat di dalam al-Quran. Sebahagian yang lain pula mengatakan ia telah dibatalkan dengan hadis Nabi SAW yang bersabda:

Maksudnya: ”Tiada wasiat kepada ahli waris (yang berhak menerima faraid).”

Terdapat juga para ulama yang berpandangan ayat ini tidak dimansukh atau dibatalkan bahkan ia kekal hukumnya secara mutlak. Ada juga para ulama yang mengatakan hukum yang terdapat di dalam ayat ini mengkhususkan hukum yang umum.

Di bawah adalah huraian ringkas berkaitan dengan persoalan ini:

Pandangan Pertama:

Ayat tentang wasiat kepada ibu-bapa dan ahli keluarga ini telah dimansukh atau dibatalkan hukumnya dengan ayat al-Mawarith iaitulah:

Maksudnya: “Allah mensyari'atkan bagimu tentang (pembagian pusaka untuk) anak-anakmu. Iaitu: bahagian seorang anak lelaki sama dengan bagahian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, Maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, Maka ia memperoleh separuh harta. dan untuk dua orang ibu-bapa, bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya (saja), Maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, Maka ibunya mendapat seperenam. (Pembagian-pembagian tersebut di atas) sesudah dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana. dan bagimu (suami-suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, Maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. Para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. jika kamu mempunyai anak, Maka Para isteri memperoleh seperdelapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. jika seseorang mati, baik laki-laki maupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara laki-laki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), Maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, Maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syari'at yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha mengetahui lagi Maha Penyantun. (al-Nisaa’: 11-12)

Pandangan ini dinisbahkan kepada ‘Abdullah bin ‘Umar bin al-Khattab RA. demikian juga Imam Malik RH. (Lihat Tafsir al-Qurtubi 2/263)

Kata Ibn ‘Abd al-Barr RH: “Dan telah diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, Sa’ied bin Jubair dan al-Hasan bahawa ayat al-Mawarith membatalkan (perintah) wasiat (harta) untuk kedua ibu dan bapa dan ahli keluarga yang berhak menerima pewarisan harta (melalui faraid). Inilah mazhab al-Syafie dan kebanyakan ulama mazhab Malik dan sekumpulan para ulama yang lain.” (Lihat al-Tamhid 14/292)

Al-Syeikh ‘Abd al-‘Azim al-Zarqani berkata: “Dan pandangan aku bahawa yang benar ialah bersama dengan majoriti ulama yang mengatakan ayat ini telah dibatalkan hukumnya. Yang membatalkannya ialah ayat-ayat al-Mawarith. Adapun pandangan yang mengatakan ayat wasiat ini adalah kekal adalah pandangan yang takalluf dan tidak berada di atas jalan yang benar.” (Manahil al-‘Irfan 2/184)

Pandangan Kedua:

Ayat wasiat ini telah dimansukhkan dengan sabda Nabi SAW: “Tiada wasiat untuk ahli waris.”

Pandangan ini dipegang oleh mereka yang berpandangan ayat al-Quran boleh dimansukhkan hukumnya dengan sunnah.

Kata Ibn ‘Abd al-Barr: “Dan adapun (para ulama) Kufah yang membolehkan berlaku pembatalan antara al-Quran dan al-Sunnah berkata: “Adapun ulama Kufah yang membolehkan dimansukhkan al-Quran dengan al-Sunnah berkata: “Setiap satunya datang dari sisi Allah.” Mereka juga berkata: “dimansukhkan (hukum ayat al-Quran) kedua-dua orang tua dan ahli qarabah dalam wasiat dengan sabda Rasulullah SAW: “Tiada wasiat untuk ahli waris.” (al-Istizkar 7/264)

Pandangan Ketiga:

Ayat wasiat tersebut adalah ayat Muhkamah yang tidak ada pemansukhan dan pengkhususan. Antara yang menyatakan pandangan ini ialah Abu Muslim al-Asfahani, Muhammad Rasyid Ridha dan selain mereka dari kalangan ulama semasa.

Kata al-Zahabi menukilkan dari al-Syeikh Muhammad Rasyid Ridha yang berkata: “Bahasanya ayat (al-Wasiah) tidak dimansukhkan dengan ayat al-Mawarith, kerana ayat al-Mawarith tidak bertentangan dengan ayat Wasiah, sebaliknya ayat Mawarith ini menguatkan ayat Wasiah. Tiada bukti juga ayat al-Mawarith ini turun selepas turunnya ayat Wasiah. Tidak boleh juga ayat Wasiah dimansukhkan dengan hadis. Kerana hadis tidak wajar memansukhkan ayat al-Quran yang Muhkamah, dan hukumnya juga kekal. Anda boleh menjadikan hukum wasiat itu khas bagi sesiapa yang tidak mewarisi dari kedua orang tuanya atau dari ahli qarabahnya sepertimana yang diriwayatkan dari sebahagian sahabat, dan menjadikan hukum wasiat itu secara umum. Jangan kamu jadi dari kalangan mereka yang menyangka dan mendakwa berlaku pemansukhan sehingga membatalkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah tanpa keuzuran, terutamanya setelah Allah menegaskan dengan firmanNya: “Hak ke atas orang-orang yang beriman.” (Lihat al-Zahabi penulis kitab al-Tafsir wa al-Mufassirun 2/148)

Pandangan Keempat:

Ayat wasiat tidak dimansukhkan. Sebaliknya ia datang dari sudut umum dan khusus. Justeru ayat al-Quran tentang wasiat itu tidak mansukh. Sebaliknya dari sisi zahir ia membawa maksud umum. Manakala maksud yang dikehendaki ialah khusus untuk dua orang tua yang tidak dapat mewarisi sesuatu dari anaknya disebabkan terdapat halangan pewarisan seperti disebabkan pembunuhan, perbezaan agama atau disebabkan penghambaan. Manakala qarabah yang dimaksudkan di dalam ayat wasiat pula ialah qarabah yang tidak termasuk ahli waris. Pandangan ini menjadi pilihan al-Imam al-Tobari, al-‘Allamah al-Sa’di dan al-Syeikh Ibn ‘Uthaimin RH. Kata al-‘Allamah al-Sa’di:

“Ketahuilah bahawa majoriti ulama tafsir berpandangan ayat ini (ayat Wasiat) telah dimansukhkan dengan ayat al-Mawarith. Sebahagian mereka pula berpandangan ayat wasiat itu untuk dua orang tua dan ahli keluarga yang bukan dari ahli waris. Namun tidak terdapat dalil pengkhususan ini. dan yang lebih baik ialah dengan dikatakan bahawa ayat wasiat ini untuk kedua orang tua dan ahli keluarga secara umum. Allah mengembalikan perkara ini kepada uruf yang diamalkan. Setelah itu Allah telah tetapkan untuk dua orang tua yang mewarisi dan selain mereka berdua dari kalangan ahli keluarga yang mewarisi penetapan yang sedia diketahui di dalam ayat al-Mawarith. setelah pada awalnya ia umum, lalu dikekalkan hukumnya kepada mereka yang tidak mewarisi dari kalangan kedua orang tua yang terhalang dari pewarisan atau selain mereka berdua dari kalangan mereka yang terhijab dengan seseorang individu atau sesuatu sifat. Sesungguhnya seseorang itu diperintahkan berwasiat kepada mereka semua  yang berhak. Sedangkan kedua orang tua adalah mereka yang lebih berhak untuk dibuat baik. Dengan gabungan ini, terhasilnya keserasian dan terhimpunnya antara (hukum) ayat-ayat. Ini kerana selagi memungkinkan dihimpunkan, adalah lebih baik berbanding dakwaan berlaku pemansukhan yang tidak dibuktikan dengan sebarang bukti yang sahih.” (Tafsir al-Karim al-Rahman Fi Tafsir Kalam al-Mannan 1/85)

Tarjihan:

Kata al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin: “oleh kerana itu, pandangan yang rajih dalam permasalahan ini ialah wasiat untuk ahli qarabah yang bukan dari kalangan ahli waris ialah wajib. Ini kerana ayat wasiat itu adalah jelas. (dakwaan berlaku pemansukhan) bukan suatu yang ringan untuk dilakukan sedangkan ayat ini amat jelas. Di samping itu dapat digabungkan antara ayat wasiah dengan ayat mawarith. dan gabungan itu ialah dengan ayat-ayat mawarith secara jelas adalah selepas wasiat. Bagaimana kita dapat hapuskan ayat ini yang memiliki ciri-ciri penting: “Telah ditetapkan”, “Hak”, “ke atas orang-orang yang bertakwa” dalam keadaan kita dapat mengamalkan ayat mawarith dan awat wasiat. Di samping tiada dalil berlakunya pemansukhan.” (al-Syarh al-Mumti’ ‘Ala Zaad al-Mustaqni’ 11/135)

Justeru, pandangan yang lebih jelas ialah ayat Wasiat adalah dalam bentuk khusus. Ini kerana pemansukhaan tidak boleh dilaksanakan melainkan jika berlaku pertentangan yang tidak dapat diserasikan. Ibn ‘Abd al-Barr berkata: “Tidak sewajarnya bagi seorang ‘Alim menjadikan sesuatu (hukum) dari al-Quran sebagai mansukh (atau batal) melainkan berlaku pertentangan yang terhalang dari diamalkannya mengkhususkannya.”

Maka ayat Wasiat ini adalah umum memasukkan kedua-dua orang tua dan ahli keluarga (Qarabah). Akan tetapi ayat Wasiat ini tidak memaksudkan kedua-dua orang tua dan ahli keluarga (Qarabah) yang mewarisi dengan dalil (bukti) adanya ayat Mawarith dan hadis yang menyebut: “Tiada wasiat kepada Ahli Waris.”

Namun hukum perintah wasiat kepada kedua-dua orang tua dan ahli keluarga ini kekal kepada kedua-dua orang tua dan ahli keluarga yang terhalang dari menerima pewarisan kerana sesuatu sebab atau mereka yang tidak disebut di dalam ayat Mawarith.

WA


Cetak  
Wallahu a'lam