Hukum Peniaga Menjual Barang Dengan Harga Yang Lebih Murah Dari Harga Pasaran

Soalan:

Umar R.A melarang menjual barang dengan harga yg lebih rendah dari pasaran.

Bagaimana dengan pasaraya yang meletakkan harga terlalu murah contohnya yg menjual dengan harga rm2.30 untuk kebanyakan barang mereka?

Jawapan:

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam persoalan ini. Iaitulah persoalan bolehkah seorang peniaga menjual dengan harga yang lebih rendah dari harga pasaran.

Majoriti ulama berpandangan boleh seorang peniaga menjual dengan harga yang lebih rendah dari harga pasaran. Inilah pandangan ulama mazhab Hanafi (lihat Tabyin al-Haqa-iq 6/28 dan al-Fatawa al-Hindiyyah 3/214), pandangan Ibn Rusyd dari kalangan ulama mazhab Maliki (lihat al-Bayan wa al-Tahsil 9/306), ulama mazhab Syafi’e (lihat Mukhtasar al-Muzani 92 dan Mughniy al-Muhtaj 2/38), ulama mazhab Hambali (lihat al-Mughniy 6/311-312) dan Ibn Hazm al-Zahiri (lihat al-Muhalla 9/40). Pandangan majoriti ini berbeza dengan pandangan ulama mazhab Maliki.

Pandangan majoriti dalam permasalah ini adalah lebih kuat, alasannya:

  • Asas jual-beli ialah al-Taradhi التراضي seperti firman Allah SWT:

إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ

Maksudnya:  “Melainkan diadakan jual-beli yang saling meredhai antara kamu.” (al-Nisa’: 29)

Oleh itu apabila seseorang peniaga dengan rela hati menjual barang jualannya dengan harga yang lebih rendah dari harga pasaran, maka tiada alasan untuk perbuatannya itu dihalang. Inilah asas dalam jual-beli yang halal. Firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ

Maksudnya:  “Dan Allah telah menghalalkan jual-beli.” (al-Baqarah: 275)

  • Sabit larangan dari Nabi SAW mengawal harga barang jualan dan perbuatan mengawal harga barang ini termasuk dalam kezaliman kepada peniaga. Baginda SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ هو القَابِضُ الباسِطُ الْمُسَعِّرُ، وَإِنِّي لَأَرْجُو أَنْ أَلْقَى اللهَ، وَلا يُطَالِبُني أَحَدٌ بِمَظْلِمَةٍ ظَلَمْتُهَا إِيَّاهُ في دَمٍ ولا مالٍ

Maksudnya:  “Sesungguhnya Allah, Dialah yang menggenggam dan melepaskan genggaman, Dialah juga tuhan yang menetapkan harga. Sesungguhnya aku berharap ketika bertemu dengan Allah, tiada seseorang yang menuntut dari ku sesuatu kezaliman yang pernah daku lakukan terhadapnya yang berkaitan darah dan harta.”

  • Agama Islam menganjurkan pernbuatan memberi keluasan dan kemudahan kepada orang lain termasuk dalam persoalan jual-beli. Baginda bersabda:

رَحِمَ اللهُ رَجُلًا سَمْحًا إِذَا باعَ، وَإِذَا اشْتَرَى، وَإِذَا اقْتَضَى

Maksudnya:  “Semoga Allah merahmati seseorang yang memberi kemurahan dan memudahkan apabila berjual-beli dan apabila membuat tuntutan hak.” (al-Bukhari, hadis dari Jabir bin ‘Abdillah RA)

            Tidak diragukan bahawa menjual dengan harga yang rendah termasuk dalam sikap memudahkan dan kemurahan hati. Sehingga Ibn Rusyd berkata berkaitan seseorang yang menjual dengan harga yang lebih rendah dari harga pasaran:

بل يشكر على ذلك إن فعله لوجوه الناس، ويؤجر فيه إذا فعله لوجه الله

Maksudnya: “Bahkan (orang seperti itu) patut diucapkan terima kasih jika dia lakukannya kerana manusia, dan dia berhak diberi pahala jika melakukannya kerana Allah.” (al-Bayan wa al-Tahsil 9/306)

  • Barangan jualan dan perkhidmatan adalah milik penjual. Maka tidak boleh dihalang tindakannya menawarkan harga yang lebih rendah dari harga pasaran.
  • Antara dalil yang digunakan oleh pihak yang melarang ialah athar ‘Umar bin al-Khattab RA yang dikatakan pernah lalu berhampiran Hatib bin Abi Balta‘ah RA yang sedang menjual zabib (anggur kering) di pasar Madinah. Lalu ‘Umar berkata:

إما أن تزيد في السعر، وإما أن تَرْفَعَ من سوقنا

Maksudnya: “Sama ada kamu tambah harganya (naikkan sehingga sama dengan harga pasaran)[1], ataupun kamu berhenti dari berniaga di pasar kami.” (al-Muwattha’ imam Malik, al-Baihaqi di dalam Sunannya dan di dalam Ma’rifah al-Sunan wa al-Athar dan lainnya)  

Komentar dalil dari athar ‘Umar bin al-Khattab RA:

  • Athar ‘Umar bin al-Khattab ini dinilai dhoief oleh Ibn Hazm.
  • Jika athar ini thabit sekalipun ia adalah pandangan ‘Umar[2]. Selain itu terdapat riwayat yang mengisyaratkan ‘Umar kembali kepada Hatib dan berkata:

إن الذي قلت ليس بعزيمة مني، ولا قضاء، وإنما هو أمر أردت به الخير لأهل البلد، فحيث شئت وكيف شئت فبع

Maksudnya: “Sesungguhnya apa yang aku  katakan (sebelum ini) bukanlah satu kemestian dariku, bukan juga satu ketetapan. Sebaliknya ia adalah perkara yang aku maksudkan kebaikan untuk penduduk negeri ini. Kerana itu menurut apa dan bagaimana yang kamu kehendaki, juallah.” (al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra – Kitab al-Buyu’ – Bab al-Tas‘ir 6/29 dan di dalam al-Sunan al-Sughra – Kitab al-Buyu’ – Bab al-Tas‘ir, bil. hadis: 2020, 2/86, di dalam Ma’rifah al-Sunan wa al-Athar 8/204-205, al-Muzani di dalam al-Mukhtasar hal.: 90 menukilkan dari al-Syafi‘e)

  • Menjual dengan harga kurang dari harga pasaran tidak mendatangkan keburukan dan mudharat kepada para peniaga lain. Jika peniaga lain mendapat sesuatu barang dijual dengan harga yang lebih rendah, maka sudah tentu mereka juga akan mengurangkan harga jualan mereka.[3]
  • Jika diandaikan berlaku mudharat kepada sebahagian peniaga dengan tindakan peniaga lain yang menjual dengan harga yang lebih rendah dari harga pasaran, kaedah menyatakan apabila bertembung antara beberapa maslahah dan mafsadah,maka hendaklah didahulukan yang rajih. Justeru membenarkan peniaga mengurangkan harga jualan berbanding harga pasaran mendatangkan maslahah yang lebih jelas dan besar kepada umum masyarakat berbanding mafsadah kepada sebahagian peniaga sahaja, terutamanya perniagaan hari ini yang kebanyakannya para peniaga mengambil keuntang yang amat tinggi.

Namun perkara-perkara seumpama ini, hukum keharusannya boleh berubah dengan kuasa pemerintah jika pemerintah telah memastikan ianya boleh mendatangkan keburukan yang lebih besar kepada masyarakat dan negara.

------------------------------------ 

[1] Terdapat perbezaan pendapat ulama berkaitan maksud hadis ini. Kebanyakan syurrah hadis (ulama yang mensyarahkan hadis ini) berpandangan seperti yang diterjemahkan. Namun al-Qari di dalam Syarh al-Muwattha’ oleh Muhammad berpandangan Hatib bin Abi Balta‘ah jual dengan harga yang mahal dengan diandaikan terdapat لا yang dibuang dari ungkapan ‘Umar ini yang sebenarnya ‘Umar memaksudkan: أن لا تزيد.... Namun penulis al-Ta’liq al-Mumajjad berkata: “Tiada keperluan untuk diandaikan seperti ini.” (Lihat Aujiz al-Masalik Ila Muwattha Malik 13/14 oleh Muhammad Zakaria al-Kandahlawi al-Madani (W1406H), takliq: Ustaz Dr. Taqiyuddin al-Nadwi, cetakan pertama 1424H/2003M, Dar al-Qalam, Dimasyq)

[2] Al-Muhalla 9/40

[3] Al-Muhalla 9/41


Cetak  
Wallahu a'lam