SDI 0809: Isteri Tuntut Nafkah Dibayar Setiap Bulan

Soalan: 
Salam ustaz.
Maaf kalau soalan saya sebelum ni pernah orang tanya. Saya baru sahaja start follow ustaz.
Soalan saya berkenaan nafkah isteri.
Isteri saya bekerja dan saya bekerja. Gaji saya 4300 sebulan. Seribu saya simpan tabung haji untuk haji dan keperluan kecemasan.
Baki yang ada pada saya 3300. Bila dikira sewa rumah, bayaran pengasuh, bil-bil, sedikit duit untuk ibu saya dan keperluan lain, duit 3300 itu cukup cukup sahaja setiap bulan tanpa berbaki.
Isteri saya meminta saya membayarnya nafkah setiap bulan.
Dalam keadaan sekarang, jika nafkah dibayar, saya perlu memotong simpanan tabung haji saya.
Soalan saya, bagaimana saya mahu mengira nafkah yang saya perlu bayar kepada isteri saya.
Jawapan ustaz amatlah saya hargai dan didahului dengan ucapan terima kasih. JazakaAllahu khayran khatira.
 
Jawapan:
Asas hubungan suami-isteri hendaklah dibina di atas dasar ma'ruf atau saling berbuat-baik. Jika dasar ini tidak tertegak dalam hubungan suami-isteri, maka amat sukar mewujudkan kerukunan. Di bawah ini adalah jawapan saya menurut keterbatasan yang ada di ruang FB kepada soalan yang dikemukakan:
 
1) seorg suami wajib memberi nafkah kepada isterinya sekalipun siisteri seorang kaya. Melainkan jika siisteri redha menampung sendiri semua atau sebahagian dari perbelanjaan untuk dirinya.
2) Nafkah yang wajib ke atas suami adalah menurut kemampuan suami. Bukan menurut kehendak isteri. Nafkah wajib yang disepakati dalam kalangan fuqahaa' ini terbahagi kepada:
 
i. Pakaian. Iaitulah pakaian yang sesuai untuk dipakai oleh isterinya. Tidak menjadi syarat dibeli setiap tahun. Tidak boleh juga menunggu pakaian koyak baru dibelikan yang baharu. Sebaliknya pakaian dibeli menurut keperluan isteri berdasarkan kemampuan suami TANPA menjejaskan kewajipan suami yang lain. alQuran mengungkapkan dengan kalimah
وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ لا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا
Maksudnya: "dan ke atas bapa memberi makan dan pakaian (nafkah) kepada isteri secara makruf, tidak dibebankan ke atas sesuatu jiwa melainkan menurut kemampuannya." (alBaqarah: 233)
 
Kata Imam Ibn Kathir:
بما جرت به عادة أمثالهن في بلدهنّ ، من غير إسراف ولا إقتار ، بحسب قدرته في يساره ، وتوسطه وإقتاره "
 
Maksudnya: "menurut kebiasaan (nafkah yang diterima) wanita seumpama mereka di negeri tersebut, tanpa melampau dan tanpa menyempitkan, (hendaklah) menurut kemampuan suami berdasarkan kesenangan, kemampuan pertengahan dan kesempitannya."
 
Perlu diperingatkan kepada wanita bekerjaya bahawa persalinan pakaian untuk ke tempat kerja TIDAK TERMASUK di dalam nafkah yang wajib disediakan oleh suami. Melainkan jika telah termeterai perjanjian ketika akad.
 
ii. Makanan. Iaitulah makanan yang memadai dan mencukupi untuk seorg isteri. Ia tidak perlu ditetapkan menurut kadar tertentu berdasarkan pandangan majoriti fuqahaa'.
 
iii. Tempat tinggal. Iaitulah yang bersesuaian dengan isteri.
 
Catatan Penting: Jika tiada apa-apa syarat yang dipersetujui sebelum perkahwinan, suami boleh mengizinkan isteri bekerja dan sebagai timbal-baliknya suami berhak meminta dari isteri untuk turut sama dalam mengeluarkan nafkah menurut persetujuan bersama.

Cetak  
Wallahu a'lam