SDI 0757: Tolak Pinangan Orang Tua Yang Meminang Anak Gadis Saya

 Soalan: 
 
Kalau saya tolak pinangan seorg lelaki tua (50an) yg meminang anak gadis saya apakah saya bersalah?
Dia seorg yg baik dan org masjid. Tapi saya rasa usianya tidak sesuai dgn anak saya. Masalahnya bila saya tolak pinangannya saya rasa bersalah. Benarkah tindakan saya?
 
Jawapan:
 
Seorang wali berhak menolak pinangan lelaki yang dirasanya tidak sesuai untuk anaknya. Seperti lelaki tua untuk anaknya yang masih muda. Jika ia melihat hal itu akan mendatangkan keburukan duniawi ataupun ukhrawi kepada anaknya. Ini kerana termasuk dalam tanggungjawab seorang wali adalah memastikan calon terbaik untuk wanita/anak di bawah jagaannya. 
 
Nabi SAW telah menolak pinangan dua orang yang paling utama dalam kalangan umat baginda untuk Fatimah, iaitulah Abu Bakar dan 'Omar R.'anhuma. al-Imam alNasa'ie meriwayatkan di dalam Sunannya hadis bilangan: 3221, daripada 'Abdullah bin Buraidah daripada bapanya yang berkata:
 
خَطَبَ أَبُو بَكْرٍ ، وَعُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا فَاطِمَةَ ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ( إِنَّهَا صَغِيرَةٌ ) ، فَخَطَبَهَا عَلِيٌّ ، فَزَوَّجَهَا مِنْهُ
 
Maksudnya: "Abu Bakar dan 'Umar R.'anhuma pernah meminang Fatimah (binti Rasulullah SAW). Namun baginda bersabda: "sesungguhnya dia (Fatimah) seorang yang masih kecil. Setelah itu 'Ali meminang Fatimah. Lalu Baginda mengahwinkan Fatimah dengan 'Ali (bin Abi Tolib RA)."
 
Penulis Zakhirah al'Uqba, syarah kepada Sunan alNasa'ie, alSyeikh Muhammad bin Adam berkata: "Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya dia (Fatimah) seorang yang masih kecil." Iaitulah umur setiap seorang dari kamu berdua (Abu Bakar dan 'Umar) tidak sesuai dengannya. Yang dikehendaki dari pernikahan ialah berterusannya kebersamaan dan pergaulan. Maka apabila salah seorang dari pasangan berbeza umur (yang jauh) dengan pasangannya, tidak akan beroleh matlamat ini secara sempurna. Barangkali ia akan membawa kepada perpisahan yang menafikan tujuan/maksud pernikahan." (27/57) 
 
Perkahwinan 'Ali dengan fatimah berlangsung pada tahun ke-2 hijriyyah dalam bulan Zul Kaedah selepas berlaku peperangan Badr. Ketika itu umur Nabi SAW sekitar 54-55 tahun. Umur Abu Bakr pula ketika itu sekitar 51-52 tahun. Manakala umur 'Umar sekitar 41-42 tahun. Umur 'Ali bi Abi Tolib sekitar 22-23 tahun. Umur Fatimah pula ketika itu sekitar 15-16 tahun.

Cetak  
Wallahu a'lam