SDI 0670: Iddah Wanita Hamil Kematian Suami

Soalan:

Saya melahirkan anak seminggu selepas suami saya meninggal dunia. Berapa lama 'Iddah saya?

Jawapan:

Wanita hamil yang kematian suami, Iddahnya tamat setelah dia melahirkan anak. Jika dia melahirkan anak seminggu selepas suaminya meninggal dunia, maka iddahnya hanya seminggu. Jika dia melahirkan anak sejam selepas suaminya meninggal dunia, maka iddahnya hanya sejam sahaja. Demikian juga halnya wanita hamil yang dicerai hidup. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:


 ۚ وَأُولَاتُ الْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ ۚ


Maksudnya: "Dan wanita-wanita yang mengandung, tempoh iddahnya sehingga mereka melahirkan anak." (alTolaq: 4) 

Imam Malik meriwayatkan di dalam alMuwatta, demikian juga alBukhari dan Muslim dalam Sahih mereka berdua, daripada Ummu Salamah RA yang berkata: 

"Subai'ah alAslamiyyah سبيعة الأسلمية bersalin selepas kematian suaminya Sa'ad bin Khawlah dari Bani 'Amir bin Lu-aiy عامر بن لؤي selang beberapa malam. Lalu beliau menyatakan hal itu kepada Rasulullah SAW. Baginda bersabda: "Kamu telah halal (telah tamat Iddah), maka kahwinilah mana-mana lelaki yang kamu kehendaki." 

Kata Imam Malik: "Inilah perintah (tamat Iddah) dari baginda yang sentiasa dipegang oleh para ulama." 

Imam alQurtubi di dalam tafsirnya berkata: "Iddah wanita hamil kematian suami adalah dengan melahirkan anak di sisi majoriti ulama."


Cetak  
Wallahu a'lam