SDI 1401: Nikah Bagi Pasangan Yang Memeluk Islam

Wednesday, December 3, 2008


Soalan:

Sepasang suami isteri yang dulunya bukan beragama islam telah memeluk islam. Adakah mereka memerlukan akad nikah yang baru mengikut agama islam atau tidak perlu? Mohon pandangan Ustaz.

Jawapan:

Sepasang suami isteri yang memeluk agama Islam TIDAK PERLU kepada nikah yang baharu. Nikah mereka ketika tidak Islam diterima di sisi syarak. Jika diandaikan si suami memeluk Islam lebih awal berbanding isterinya, kemudian sebelum tamat 'Iddah, isterinya pula memeluk Islam, maka nikah mereka juga TETAP SAH, mereka tidak perlu kepada nikah yang baharu. ('Iddah wanita ialah tiga kali suci bagi yang masih berhaid, dan tiga bulan bagi yang telah putus haid, dan melahirkan anak jika dia sedang mengandung). Inilah mazhab al-Syafi'e dan Ahmad, demikian juga Malik.

Terdapat bukti yang banyak daripada sunnah dalam perkara ini, antaranya:

1- Isteri Sofwan bin Umayyah memeluk Islam pada hari pembukaan Mekah, kemudian Sofwan bin Umayyah memeluk Islam selepas daripada itu dalam tempoh lebih kurang satu bulan. Nabi SAW tidak memisahkan di antara mereka berdua, dan baginda juga tidak mengarahkan mereka melakukan akad yang baru. Kekal bagi mereka pernikahan mereka yang awal (ketika sebelum Islam).

Adapun jika salah seorang memeluk Islam selepas tamat tempoh 'Iddah, maka wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama. Pendapat yang lebih benar seperti yang dinyatakan oleh sebahagian ulama ialah, jika mereka berdua sepakat untuk kembali rujuk, dan si wanita itu tidak berkahwin dengan lelaki yang lain maka harus untuk mereka rujuk tanpa akad yang baharu. Inilah pendapat yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan anak muridnya Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Pendapat inilah juga yang dirajihkan oleh al-Syeikh Ibn 'Uthaimin r.himahumullah ajma'ien. Mereka berdalilkan dengan riwayat Abu Daud dari Ibn 'Abbas RA:
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم رد زينب ابنته على زوجها أبي العاص بنكاحها الأول

Maksudnya: "bahawasanya Nabi SAW mengembalikan puteri baginda Zainab kepada suaminya Abi al-'Ash dengan nikah yang pertama (ketika sebelum muslim)." (Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah. Dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah)

Abi al-Ash memeluk Islam dua tahun selepas turunnya beberapa ayat dari surah al-Mumtahinah yang mengharamkan wanita muslimah berkahwin dengan lelaki musyrik (kerana itu Nabi SAW memisahkan mereka berdua). Tempoh dua tahun ini menunjukkan telah tamatnya waktu 'Iddah Zainab. Dalam keadaan itu Nabi SAW tetap mengembalikan Zainab kepada Abi al-'Ash dengan pernikahan yang pertama, tanpa perlu akad yang baru.

Cetak  
Wallahu a'lam