SDI 0789, Susulan SDI 788: Pertembungan Arahan Antara Emak Dan Ayah, Mana Satu Perlu Ditaati?

Soalan:
 
Contohnya: semalam si suami sudah bawa isterinya keluar makan sedap di restoran, harini ini sekali lagi si isteri minta si suami bawa makan di restoran (tetapi si suami enggan kerana di rumah sudah ada makanan). Kemudian si ibu mengajak anak lelaki keluar makan di restoran, kerana tahu anaknya banyak wang. Dalam situasi ini, bolehkan bapa menyuruh si anak tidak bawak si ibu keluar makan? Bawa ibu keluar makan itu baik, menurut si bapa pula sudah membazir kerana sudah ada makanan.
Kesimpulan soalan sy lebih merujuk kepada kuasa si bapa ke atas anak lelaki, adakah boleh membatalkan arahan si ibu jika si bapa rasa permintaan si ibu tidak munasabah dan tiada mudharat.
 
Jawapan:
 
Pada asasnya taat kepada kedua ibu-bapa adalah wajib. Taat kepada mereka sekalipun dalam melayani keinginan dan kemahuan mereka termasuk dalam berbuat baik kepada keduanya, selagi tidak termasuk dalam perkara maksiat dan sesuatu yang boleh membawa mudharat. Seorg anak disuruh berusaha taat kepada kedua-duanya jika berlaku pertembungan perintah antara mereka berdua. Dalam erti kata lain, berusaha patuh arahan kedua-dua ibu dan bapa yang saling bertentangan tersebut. 
 
Namun jika tiada jalan untuk mentaati kedua-duanya. Maka majoriti ulama berpandangan taat kepada ibu didahulukan berbanding bapa. Inilah pandangan alLaith bin Sa'ad, Abu Hanifah dan yang zahir dari pandangan Imam Malik. 
 
Manakala ulama mazhab Syafi'ie pula berpandangan bakti kepada ibu dan bapa dari seorang anak adalah sama. Tidak ada mana-mana pihak yang perlu dilebihkan. Jika berdasarkan pandangan ini, apabila berlaku pertembungan antara perintah ibu dengan perintah bapa, maka seorang anak hendaklah membuat tarjihan iaitu membuat penilaian antara dua perintah yang berbeza tersebut dengan mengambil kira panduan yang telah saya sebutkan dalam siri SDI 788.

Cetak  
Wallahu a'lam