Sembelih Akikah

SEMBELIH AKIKAH

Akikah ialah sembelihan yang dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran bayi. Nabi SAW bersabda:

مَعَ الْغُلامِ عَقِيقَةٌ، فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيْطُوا عَنْهُ الأَذَى

Mafhumnya: “Bagi bayi itu ‘Akikah, maka tumpahkan darah ‘akikah itu, dan buangkan darinya kotoran.” (HR al-Bukhari)

Ungkapan: “buangkan darinya kotoran” membawa maksud arahan mencukur rambut bayi. Dikatakan juga ia membawa maksud membersihkannya dari semua kotoran ketika kelahiran, atau ia bermaksud arahan supaya dikhitankan.[1]

Al-Imam al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra menyebut: “Dan buangkan darinya kotoran”, mengandungi maksud (arahan) mencukur rambut (bayi), dan larangan dari mengenakan kepala bayi dengan darah binatang yang disembelih.”[2]

Dalam hadith yang lain Nabi SAW bersabda:

كُلُّ غُلَامٍ رَهِيْنٌ بِعَقِيْقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ وَيُسَمَّى فِيْهِ وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Mafhumnya: “Setiap bayi itu tergadai dengan ‘Akikahnya, disembelih ‘akikah itu untuknya pada hari ketujuh, dan diberikan nama pada hari itu dan dicukur kepalanya.” (HR al-Nasaie dan dinilai Sahih oleh al-Albani)

Sembelihan akikah pada hari ke tujuh ini adalah sunat bukan wajib. Jika disembelih pada hari lain juga tidak mengapa. Namun pada hari ke tujuh itu lebih digalakkan berdasarkan hadis ini.

Bagaimana hendak mengira hari ke tujuh dari hari kelahiran? Hari kelahiran itu dikira atau tidak?

Jawapannya: Majoriti ulama berpandangan hari kelahiran termasuk dalam pengiraan. Oleh itu jika bayi dilahirkan pada 4/9/2018, maka hari ke tujuh kelahirannya ialah pada 10/9/2018.

Kata al-Imam al-Nawawi RH:

وَهَلْ يُحْسَبُ يَوْمُ الْوِلَادَةِ مِنْ السَّبْعَةِ ؟ فيه وجهان "أصحهما" يحسب فيذبح في السادس مما بعده "والثاني" لا يحسب فيذبح في السابع مما بعده , وهو المنصوص في البويطي ولكن المذهب الأول وهو ظاهر الأحاديث, فإن ولد في الليل حسب اليوم الذي يلي تلك الليلة بلا خلاف

Maksudnya: "Apakah dihitung hari kelahiran termasuk dalam tujuh hari? Ada dua pandangan (Wajhan). Yang Asah, ia dihitung, maka (sunat) disembelih akikah pada hari ke enam selepas hari kelahiran. (Pandangan) kedua: (hari kelahiran) tidak dihitung, maka disembelih akikah pada hari ke tujuh selepas hari kelahiran. Pandangan ini dinaskan pada al-Buwaithi, akan tetapi pandangan mazhab pertama adalah berdasarkan zahir hadis-hadis. Jika bayi dilahirkan pada malam hari, dihitung bermula hari (siang) yang mengiringi malam tersebut tanpa ada perbezaan pendapat ulama." (al-Majmu' 8/411)

Di dalam al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah 30/279 dinyatakan:

ذهب جمهور الفقهاء إلى أن يوم الولادة يحسب من السبعة, ولا تحسب الليلة إن ولد ليلاً, بل يحسب اليوم الذي يليها

Maksudnya: "Majoriti fuqaha berpandangan hari kelahiran dihitung dalam tujuh hari. Dan tidak dihitung malam jika bayi dilahirkan pada malam hari, sebaliknya yang dihitung adalah hari yang mengiringi selepas malam tersebut."

Inilah pandangan yang rajih berdasarkan penilaian ulama semasa. Alasannya ialah hadis Nabi SAW:

تذبح عنه يوم سابعه

Maksudnya: "disembelih (akikah) untuk bayi itu pada hari ketujuh kelahiran."

Dalam hadis ini Nabi sandarkan "hari ketujuh" kepada hari bayi dilahirkan. Maka penyandaran seperti ini dinamakan al-Idhofah الإضافة yg menatijahkan keterikatan hukum dengan suatu yang disandarkan (والإضافة تقتضي تقييد الحكم بالمضاف إليه). Maknanya, tujuh hari itu disandarkan kepada hari kelahiran bayi. Maka sudah tentu hari kelahiran itu termasuk yang dihitung dalam tujuh hari.

Saya sebutkan di sini kaedah mengira hari ke tujuh kelahiran iaitulah ia akan jatuh sehari sebelum hari kelahiran. Contoh kelahiran berlaku pada hari Sabtu, maka hari ke tujuh jatuh pada sehari sebelum hari Sabtu berikutnya iaitulah pada hari Jumaat. Jika kelahiran hari Khamis, maka hari ke tujuhnya jatuh pada hari Rabu, dan demikianlah seterusnya.

Pandangan kedua mengatakan hari kelahiran tidak termasuk dalam pengiraan. Inilah pandangan ulama mazhab Maliki dan pandangan ini marjuh seperti yang dinyatakan oleh beberapa ulama kemudian.

Disunatkan akikah untuk bayi lelaki dengan dua ekor kambing dan bayi perempuan dengan seekor kambing berdasarkan hadith:

Daripada Umm Kurz (أم كرز) yang pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang Akikah dan baginda menjawab:

الغُلَامُ شَاتَانِ، وَعَنْ الْأُنْثَى وَاحِدَة

Mafhumnya: “Untuk bayi lelaki dua ekor kambing dan untuk bayi perempuan seekor kambing.” (Hadith riwayat al-Tirmizi, beliau berkata: Hadith ini Hasan Sahih. Al-Albani juga menilai hadith ini sebagai Sahih di dalam Irwa’ al-Ghalil)

Di dalam Fatwa Lajnah al-Daimah jilid 11, hal: 439 dinyatakan:

العَقِيْقَةُ سُنَّةٌ مُؤَكَّدَةٌ، عَنْ اْلغُلَامِ شَاتَانِ تُجْزِئُ كُلُّ مِنْهُمَا أُضْحِيَّة، وَعَنْ الْجَارِيَةِ شَاةٌ وَاحِدَةٌ، وَتُذْبَحُ يَوْمَ السَّابِع، وَإذَا أخِّرَهَا عَنْ السَّابِعِ جَازَ ذَبْحُهَا فِيْ أَيِّ وَقْتٍ، وَلَا يَأثَم فِيْ تَأْخِيْرِهَا، وَالْأَفْضَلُ تَقْدِيْمُهَا مَا أَمْكَنَ

Mafhumnya: “Akikah itu adalah sunat yang dituntut, untuk bayi lelaki dua ekor kambing yang boleh dibuat korban, untuk bayi perempuan seekor kambing, disembelih pada hari ke tujuh (kelahiran). Jika dilewatkan dari hari ke tujuh, harus dilakukan sembelihan pada bila-bila waktu, tidak berdosa melewatkannya, akan tetapi menyegerakannya jika mampu adalah lebih utama.”

Di dalam Fatwa Lajnah al-Daimah jilid 11, hal: 442 juga dinyatakan:

العَقِيْقَةُ : هِيَ مَا يُذْبَحُ فِيْ اليَوْمِ السَّابِعِ مِنْ الوِلَادَةِ؛ شُكْراً للهِ عَلَى مَا وَهَبَهُ مِنْ الوَلَدِ ، ذكَراً كَانَ أَوْ أنْثَى، وَهِـيَ سُنَّة ؛ لِمَا وَرَدَ فِيْهَا مِنْ الْأَحَادِيْثِ

Mafhumnya: “Akikah adalah apa yang disembelih pada hari ke tujuh kelahiran, sebagai bersyukur kepada Allah atas anak yang dianugerahkanNya, samada bayi itu lelaki atau perempuan. Ia adalah sunat, berdasarkan petunjuk dari beberapa hadith.”

Dinyatakan juga:

وَيَأْكُلُ هُوَ وَأَهْلُهُ مِنْهَا، وَلَهُ أَنْ يَدْعُوْ النَّاسَ الفُقَرَاء وَالْأَغْنِيَاء وَيُطْعِمُهُمْ إيَّاهَا فِيْ بَيْتِهِ وَنِحْوِهِ ، وَالْأَمْرُ فِيْ ذَلِكَ وَاسِعٌ

Mafhumnya: Orang yang melakukan akikan dan keluarganya boleh memakan daging dari akikah, dia juga boleh memanggil orang ramai, samada golongan fakir atau orang-orang kaya untuk memakannya, samada di rumahnya atau di tempat lain. Urusan dalam perkara ini adalah luas.” (Fatwa Lajnah al-Daimah, jilid 11, hal:443)

  • Harus menyembelih seekor kambing untuk bayi lelaki bagi yang tidak mampu, berdasarkan hadith

أَنَّ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَقَّ عَنْ الْحَسَن وَالْحُسَيْن كَبْشًا كَبْشًا

Mafhumnya: “Bahawa Nabi sallallah ‘alaih wa sallam melakukan akikah untuk Hasan dan Husain dengan seekor kibas, seekor kibas.” (HR Abu Daud). Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut di dalam Fath al-Bari, “…hadith ini menunjukkan harus dengan seekor, kerana bilangan (akikah dengan seekor atau dua ekor) bukan menjadi syarat, sebaliknya adalah sunat sahaja.”

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata: “Jika seseorang hanya mendapati seekor kambing, ia memadai, dan ia memperoleh maksud akikah, akan tetapi jika Allah melebihkan rezki kepadanya, dua ekor kambing itu adalah lebih utama.” (al-Syarh al-Mumti’, jilis 7, hal:492)

-------------------------------

[1] Sila lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masobih

[2] Sila lihat al-Sunan al-Kubra oleh al-Imam al-Baihaqi, Kitab al-Dohaya, Jima’ Abwab al-‘Aqiqah


Cetak  
Wallahu a'lam