SDI 1373: Apakah Rosak Bakti Kita Kepada Ibu Bapa Jika Disertai Dengan Riak Muka Dan Nada Marah?

Soalan:

السلام عليكم ورحمة الله

Ustaz, saya ada soalan

Niat menjaga ibu yang sedang sakit dan uzur kerana mengharapkan syurga yang Allah janjikan bagi anak-anak yang berbakti kepada ibu bapa, namun ustaz, kebanyakkan masa, banyak keadaan yang menguji kesabaran sehingga kadang terlepas riak muka yang tidak sepatutnya dan kadang-kadang walaupun bukan nada marah tapi tidak bercakap dengan baik seperti biasa, sehingga rasa bimbang ujian menjaga ibu akan menjadikan diri anak derhaka.  Apa yang Allah dan Rasul ajar untuk situasi ni ustaz? Apa pujukan dan motivasi dari agama utk situasi ni ustaz?

Jawapan:

وعليكم السلام ورحمة الله

Pertama sekali, kepada yang bertanya Izzati Hassan. Saudari yang bertanya, sedarlah, saudari sedang berhadapan dengan satu anugerah yang dikurniakan dari Allah SWT, iaitulah dikurniakan ibu ataupun bapa yang sedang uzur. Di mana berbakti kepada mereka merupakan satu amalan yang cukup besar di dalam Islam. Salah seorang sahabat Nabi Ibn ‘Abbas RA, pernah didatangi seorang lelaki yang melakukan kesalahan jenayah bunuh. Lalu lelaki itu bertanya kepada Ibn ‘Abbas:

“wahai tuan apakah aku masih ada peluang untuk bertaubat kepada Allah SWT?” Lalu Ibn ‘Abbas RA bertanya semula kepada lelaki tersebut: “Apakah ibu kamu masih hidup?” Jawab lelaki tersebut: “tidak, ibu aku telah meninggal dunia.” Lalu Ibn ‘Abbas RA berkata: "jika demikian maka bertaubatlah bersungguh-sungguh kepada Allah dan perbanyakan amalan soleh, mudah-mudahan Allah menerima taubat kamu tersebut."

Apabila lelaki itu pergi, beberapa anak murid Ibn ‘Abbas yang ada bersama ketika itu, mereka bertanya kepada Ibn ‘Abbas: “Wahai tuan, kenapa tuan bertanya perihal ibu orang tersebut masih hidup atau telah meninggal dunia?” Jawab Ibn ‘Abbas RA, iaitulah seorang sahabat yang faqih dan alim, seorang yang dikenali sebagai pendeta umat Nabi SAW menjawab:

“Sesungguhnya aku tidak nampak adanya satu amalan yang lebih besar pahalanya berbanding berbuat baik kepada seorang ibu, sehingga amalan tersebut boleh menghapuskan dosa-dosanya yang lalu.”

Itu perkata Ibn ‘Abbas RA. Kerana itu saya katakan kepada saudari yang bertanya, saudari sedang berhadapan dengan satu anugerah dari Allah SWT, iaitulah peluang yang terbuka luas untuk berbakti kepada orang tua sehingga jalan untuk saudari bertemu dengan syurga menjadi mudah.

Yang kedua, kepada saudari yang bertanya, kita hendaklah berusaha berbakti sebaik mungkin kepada ibu dan bapa kita yang dalam keuzuran. Ikhlaskan niat, kita mengharapkan keredhaan Allah SWT seperti yang disebut di awal soalan "iaitulah mengharapkan syurga yang Allah janjikan kepada anak-anak yang berbakti." Insya-Allah, sememangnya ada syurga untuk anak-anak yang berbakti kepada kepada kedua orang tuanya, jika dia benar ikhlas niat dan murni tujuannya.

Namun begitu, sebagai seorang manusia, kita tak terlepas dari perasaan marah. Apabila marah, kadang-kala kita tak dapat kawal perasaan kita, sehingga kita melakukan kesilapan. Maka saya berikan khabar gembira kepada orang-orang yang kekal hendak berbuat baik kepada orang tuanya yang sedang uzur, iaitu, bukalah al-Quran, tengak surah al-Israa’ ayat 25, Allah SWT berfirman:  

رَّبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا فِى نُفُوسِكُمْ ۚ إِن تَكُونُواْ صَٰلِحِينَ فَإِنَّهُۥ كَانَ لِلْأَوَّٰبِينَ غَفُورًا

Maksudnya: “Sesungguhnya tuhan kamu lebih mengetahui apa yang ada di dalam diri kamu semua. Jika kamu benar-benar hendakkan kebaikan, maka sesungguhnya ALlah Maha Pengampun untuk mereka yang mahu kembali taubat kepada-Nya.”

al-Imam al-Qurtubi ketika beliau menafsirkan ayat ini di dalam tafsirnya, menukilkan perkataan beberapa ulama salaf, iaitulah ulama umat islam yang awal dahulu yang terjamin kefahaman agama mereka, yang mengatakan, firman Allah إِن تَكُونُواْ صَٰلِحِينَ “jika kamu semua benar-benar mahukan kebaikan” merujuk kepada mereka yang benar-benar hendak berbakti kepada ibu bapa, namun ketika mereka marah dan tidak dapat mengawal marah dan marah itu menguasai diri mereka, menyebabkan mereka mengeluarkan perkataan dan tindakan yang tidak wajar. Itulah yang dimaksudkan إِن تَكُونُواْ صَٰلِحِينَ “jika kamu semua benar-benar mahukan kebaikan”. Kemudian Allah menyambung firman-Nya: فَإِنَّهُۥ كَانَ لِلْأَوَّٰبِينَ غَفُورًا “Sesungguhnya Allah Maha Pengampun terhadap mereka yang mahu kembali bertaubat kepada Dia.”

Kerana itu, teruslah berbakti kepada ibu dan bapa yang sedang uzur. Terimalah khabar gembira, bahawa kesilapan-kesilapan, ketaksiran-ketaksiran yang dilakukan secara tidak sengaja atau kerana gagal mengawal perasaan marah, kemudian segeralah kembali kepada Allah, mengadu kelemahan diri, lalu segera beristighfar kepada Allah, pasti Allah SWT sedia memberi keampunan kepada kita.

Jangan disebabkan kekurangan di pihak kita, lalu kita melepaskan peluang terbesar yang terbentang di hadapan kita, untuk kita kembali kepada Allah dan mendapatkan kebahagian dan syurga Allah SWT. 

Mudah-mudahan jawapan ini dapat memberi rangsangan dan anjuran kepada yang bertanya untuk terus berbakti kepada kedua ibu bapa yang sudah uzur. Sesungguhnya tiada lagi nikmat yang paling besar, bila ibu-bapa kita meninggal dalam keadaan kita rasa telah mencurahkan bakti semaksimum mungkin kepada mereka. Jangan nanti bila ibu dan bapa kita telah meninggal dunia, asyik datang penyesalan dalam diri kita, kenapa aku tak berbakti kepada ibu dan bapa ku sedemikian dan sedemikian. Peluang ini tidak akan datang lagi. 

Teruslah berbakti kepada kedua ibu dan bapa sekalipun dalam masa yang sama kita melakukan kesilapan. Bertaubatlah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang ada di dalam jantung hati kita.    


Cetak  
Wallahu a'lam