Makna al-Ba-ah الْبَاءَةَ

Kalimah al-Ba’ah (الْبَاءَةَ) pada asalya bermaksud al-Jima’ (persetubuhan) diambil dari perkataan الْمَبَاءَةِ yang bermaksud (الْمَنْزِلُ) iaitulah rumah. Orang Arab menyebut مَبَاءَةُ الْإِبِلِ bermaksud tempat tinggal unta. Lama-kelamaan ia digunakan bagi maksud ‘Akad Nikah, kerana seseorang lelaki yang mengahwini seorang wanita, dia sepatutnya menyediakan rumah untuk isterinya. Para ulama berbeza pandangan apakah yang dimaksudkan oleh baginda SAW dengan al-Ba’ah di dalam hadis:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: “Wahai sekelian pemuda, sesiapa dari kalangan kamu yang berkemampuan al-Ba’ah, maka hendaklah dia berkahwin, kerana berkahwin itu lebih dapat menundukkan penglihatan dan lebih dapat memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak belum mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu baginya dapat bertindak sebagai perisai.” 

Terdapat dua pandangan, yang kembali kepada makna  yang satu:

  • Yang dimaksudkan di sini adalah dari sudut bahasa iaitulah jima’. Maka jadilah hadis itu memaksudkan: “Sesiapa dari kalangan kamu semua (para pemuda) yang mampu berjima’ disebabkan mampu memikul tanggungan perkahwinan (مُؤَنُ النِّكَاحِ) iaitulah bebanan dan nafkah perkahwinan, maka hendaklah dia berkahwin. Sesiapa yang tiada kemampuan jima’ disebabkan tiada kemampuan untuk menanggung perkahwinan, maka hendaklah dia berpuasa untuk menyekat syahwatnya.”
  • Yang dimaksudkan di sini ialah kemampuan memikul tanggungan perkahwinan. Maka jadilah hadis itu memaksudkan: “Sesiapa dari kalangan kamu semua (para pemuda) yang mampu memikul tanggungan perkahwinan, maka hendaklah dia berkahwin…” Hal ini berdasarkan ungkapan yang melengkapkan hadis tersebut iaitulah: “sesiapa yang tiada kemampuan tersebut maka hendalah dia berpuasa.” Kata para ulama yang menyebut pandangan ini: “Orang yang lemah dari melakukan jima’ tidak memerlukan puasa untuk menolak syahwatnya, justeru wajib menafsirkan kalimah al-Ba’ah dengan maksud tanggungan perkahwinan (مُؤَنُ النِّكَاحِ). 

Cetak