الصحيح al-Sahih

 Ṣaḥiḥ

Ṣaḥiḥ Ialah pasti, benar, sah, dapat diakui dan diterima.[1] Hadis ṣaḥiḥ pula di sisi para ulama hadis ialah hadis bersanad yang sanadnya bersambung hasil nukilan periwayat yang ‘adil[2] dan ḍābiṭ[3]. sehingga ke hujungnya di samping tidak terdapat sebarang Syādh[4] dan Mu‘allal[5].[6]



[1]Kamus Dewan Edisi Keempat. Laman web http://prpm.dbp.gov.my/ . Akses 15 September 2018.

[2]‘Adil di sisi para ulama hadis ialah seorang muslim yang baligh, berakal, bebas daripada sebab-sebab kefasikan dan kecacatan muru’ah sama ada lelaki mahupun perempuan, seorang merdeka mahupun hamba, seorang yang melihat mahupun buta. Termasuk juga yang pernah dihukum qazaf jika dia telah bertaubat berdasarkan pandangan jumhur. (Lihat: Ibn Solah, Abu ‘Abd al-Rahman Solah Bin Muhammad. (T.t.). Muqaddimah Ibn al-Solah fi ‘Ulum al-Hadith. Komentar Solah bin  Muhammad bin ‘Uwaidah. Cetakan Pertama. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hal.: 18)

[3]Dabit terbahagi kepada dua bahagian: 1) Dabit Sima‘ iaitu menghafaz hadis yang didengar daripada guru dalam bentuk mampu menyebut hadis tersebut pada bila-bila masa yang dihendaki. Bermula ketika dia mendengarnya sehingga pada waktu dia sampaikan hadis tersebut atau meriwayatkannya. 2) Dabit Kitab iaitu memelihara kitab dan menjaganya dari masuk sebarang perubahan bermula waktu mendengarnya sehinggalah menyampai dan meriwayatkannya. Seseorang periwayat itu juga tidak meminjamkan bukunya melainkan kepada sesiapa yang dipercayainya sahaja yang dapat dipastikan tiada perubahan di dalamnya. Yang dimaksudkan Dabit di sini ialah Dabit yang sempurna (al-Tam) antara maksudnya: Tidak diterima riwayat daripada seorang yang buruk hafalannya, yang lalai sehingga banyak kecelaruannya seperti dia memarfu‘kan riwayat yang mauquf atau meriwayatkan dalam bentuk bersambung hadis yang mursal, melakukan Tasyhif para periwayat (salah dalam menyebut nama periwayat), maka menjadikan hadisnya tidak Sahih. (Ibid. hal.: 18)

[4]Syadh iaitu berbezanya riwayat seorang thiqah dengan periwayat yang lebih thiqah daripadanya. (Ibid. hal.: 18)

[5]Mu’allal ialah kecacatan buruk dalam periwayatan seperti mengirsalkan yang mausul, mewasalkan yang munqati’ atau merafa’kan yang mauquf dan seumpamanya. Ia terbahagi kepada dua: 1) Jelas dan nyata iaitu seperti al-Irsal yang zahir. Ia apabila seseorang meriwayatkan daripada seseorang yang diketahui ramai, orang tersebut tidak pernah bertemu dengannya, dan dia juga tidak mendengar sesuatu pun daripada orang tersebut. 2) Tersembunyi dan kabur, seperti al-Irsal yang khafi iaitu seseorang meriwayatkan daripada seseorang yang sezaman dengannya dengan menggunakan lafaz ‘an (daripada) sedangkan dia tidak pernah mendengar sesuatu apa-apa pun daripada orang tersebut. (Ibid. hal.: 19)

[6]Ibn al-Solah, Abu ‘Abd al-Rahman Solah Bin Muhammad. (T.t.). Muqaddimah Ibn al-Solah fi ‘Ulum al-Hadith. Komentar Solah bin  Muhammad bin ‘Uwaidah. Cetakan Pertama. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hal.: 18-19.


Cetak