Yahud يَهُوْدَ

Kata nama Yahud يَهُوْدَ dalam bahasa ‘Arab berasal dari Bahasa ‘Ibraniyyah dengan huruf dzal (ذ) di hujungnya iaitulah يَهُوْذَ yang merupakan nama salah seorang zuriat Israil (Nabi Ya’qub AS). Kata Yahud jika disebut tanpa sebarang keterikatan ia membawa maksud Bani Israil (zuriat Nabi Yaqub) selepas kewafatan Nabi Sulaiman AS pada tahun 975 sebelum Nabi Isa AS.

Kerajaan (zuriat) Israil terbahagi kepada dua selepas kewafatan Nabi Sulaiman AS, iaitulah;

Pertama; Kerajaan pimpinan Rahba‘am bin Sulaiman (رَحْبَعامَ بْنِ سُلَيْمانَ). Para pengikutnya dari kalangan zuriat Yahudza (يَهُوْذَا) dan zuriat Binyamin (بِنْيامِينَ). Lalu Kerajaan ini dinamakan sebagai Mamlakah Yahudza (مَملَكَة يَهُوْذَا) atau Kerajaan Yahudza kerana kebanyakan pengikutnya dari kalangan zuriat Yahudza. Kerajaan Yahudza berpusat di Ursyalim (أُورْشَلِيمَ)

Kedua; Kerajaan pimpinan Burba‘am bin Binath (يُورْبَعامُ بْنُ بِناطَ), seorang hamba kepada Nabi Sulaiman. Beliau seorang yang berani dan bijak menyebabkan baki 10 zuriat Nabi Sulaiman yang lain melantiknya menjadi pemimpin. Pusat pemerintahannya di Samirah (السّامِرَةَ), beliau digelar sebagai raja Israil (مَلِك إسْرائِيلَ). Namun kaumnya telah mengubah agama al-Musawiyyah (الدِّيانَةَ المُوسَوِيَّةَ) dan mereka mula menyembah berhala. Oleh kerana itu mereka terpisah dari kumpulan Israiliyyah (الجامِعَة الإسْرائِيلِيَّة) dan kerajaan ini tidak kekal di Samirah melainkan selama 250 tahun lebih. Setelah itu Kerajaan ini jatuh di bawah penguasaan raja-raja al-Asyuriyyin (الآشُورِيِّينَ) yang memusnahkan sama sekali kekuasaan raja-raja Israil di Samirah. Bani Israil di Samirah dipindahkan ke negeri Asyur (آشُور) sebagai hamba kepada raja-raja Asyuriyyin. Bermula waktu ini, Samirah didiami oleh sekumpulan orang Asyuriyyin. Demikian juga bermula fasa Bani Israil tidak memiliki sebarang Kerajaan melainkan Kerajaan Yahudza di Ursyalim (أُورْشَلِيمَ) yang silih berganti pemerintahannya dalam kalangan zuriat Nabi Sulaiman AS. Bermula tempoh ini, Bani Israil lebih dominan dengan nama Yahuda atau Yahudza. Kerajaan ini berterusan sehingga tahun 120 sebelum Nabi Isa AS.  (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir oleh Ibu 'Asyur) 


Cetak