Adakah Hadis Tentang Perbezaan Antara Langit Seperti Cincin Berbanding Padang Pasir?

Soalan:

Salam ustaz Kadir.. ada tak Hadis sahih yg sebut pasai perbezaan langit pertama dan kedua sprt cincin dan padang pasir.

Jawapan:

Berdasarkan semakan, saya mendapati al-Alusi di dalam tafsirnya Ruh al-Ma‘ani ada berkata:

وفي الخبر أن الأرض بالنسبة إلى السماء الدنيا كحلقة في فلاة، وكذا السماء الدنيا بالنسبة إلى السماء التي فوقها وهكذا إلى السماء السابعة وهي بالنسبة إلى الكرسي كحلقة في فلاة، وهو بالنسبة إلى العرش كذلك

Maksudnya: “di dalam khabar ada dinyatakan bahawa bumi dengan dinisbahkan kepada langit dunia adalah seperti halqah (boleh diterjemahkan sebagai subang telinga atau seumpamanya) yang berada di padang pasir. Demikianlah langit dunia pada nisbah langit yang di atasnya, demikianlah sehingga ke langit yang ke tujuh. Dan ianya pada nisbah kursi adalah seperti halqah (subang telinga atau seumpamanya) yang berada di padang pasir, dan ianya pada nisbah ‘Arasy seperti demikian itu pula.” (Abu al-Fadhl, Syihabuddin al-Sayyid Mahmud al-Alusi al-Baghdadi (W1270H), Ruh al-Ma‘ani FI Tafsir al-Quran al-‘Azhim wa Sab‘ al-Mathani, ketika menafsirkan ayat فإن تولوا فقل حسبي الله... 11/53) 

Demikian juga di dalam Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih oleh ‘Ali bin Sultan Muhammad al-Qari (1014H) 10/268 berkata:

جاء في الحديث إن الأرض بجنب السماء كحلقة في فلاة، وكذا كل سماء بالنسبة إلى ما في فوقها والسموات السبع والأرضين عند الكرسي كحلقة في فلاة وكذا هو في جنب العرش

Maksudnya:  “Terdapat di dalam hadis bahawa bumi di sisi langit seperti halqah di padang pasir, demikian juga setiap langit pada nisbah langit di atasnya dan semua langit dan bumi di sisi kursi adalah seperti halqah di padang pasir. Demikian juga ia (kursi) berbanding arash.” 

Ibn Kathir di dalam al-Bidayah al-Nihayah 1/15 mendatangkan hadis dari Abi Zar al-Ghifari RA dengan sanad yang mausul, menceritakan Nabi SAW pernah ditanya tentang kursi dan baginda bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالْأَرَضُونَ السَّبْعُ عِنْدَ الْكُرْسِيِّ إِلَّا كَحَلْقَةٍ مُلْقَاةٍ بِأَرْضٍ فَلَاةٍ ، وَإِنَّ فَضْلَ الْعَرْشِ عَلَى الْكُرْسِيِّ كَفَضْلِ الْفَلَاةِ عَلَى تِلْكَ الْحَلْقَةِ

Maksudnya:  “Demi jiwaku yang berada dalam genggaman-Nya, tidaklah tujuh lapis langit itu dan semua lapisan bumi di sisi kursi melainkan seperti halqah yang dibuang di tengah padang pasir. Dan sesungguhnya kelebihan arash berbanding kursi seperti kelebihan luasnya padang pasir berbanding halqah tersebut.” (al-Bidayah wa al-Nihayah, Dar ‘Alam al-Kutub 1424H)


Cetak  
Wallahu a'lam