Hukum Muzik Termasuk Dalam Khilaf Muktabar (4)

Tambahan point respon kepada UDK: Mengithbatkan Keharusan Menyanyi Kepada Ibrahim bin Sa'ad.
 
1. Riwayat Ibrahim bin Sa'ad bukanlah asas dalam keharusan muzik. Asas keharusan muzik ialah hukum asal sesuatu adalah harus selagi ia bukan termasuk perkara pengibadatan kepada Allah SWT. Justeru riwayat Ibrahim bin Sa'ad menghalalkan muzik hanya sebagai sokongan tidak berlaku ijmak dalam pengharaman muzik.
 
2. Di samping itu, tiada seorang pun ulama silam yang mempertikaikan nukilan pandangan Ibrahim bin Saad dalam mengharuskan nyanyian dan muzik ini. Ulama yang mengharamkan muzik pun mengiktiraf pandangan keharusan muzik adalah pandangan Ibrahim bin Saad.
 
3. Pertikaian nukilan pandangan ini hanya dimula dan dimasyhurkan oleh ulama moden semata dalam keghairahan mereka untuk men"jarah" mereka yang berpegang kepada keharusan muzik.
 
4. Kecelaruan timbul apabila pandangan ulama dinilai dengan neraca hadis sedangkan ia tidak begitu secara mutlak. Keperluan kepada penilaian sanad pandangan tokoh diperlukan jika berlaku khilaf dalam nukilan pandangan beliau oleh anak murid beliau. Dalam isu ini tiada pun riwayat yang menafikan pandangan Ibrahim bin Saad mengharuskan muzik. Bahkan ia memang pandangan beliau dan beliau masyhur dengannya seperti kata al-Zabidi yang telah saya nukilkan dalam respon sebelum ini.
 
Bukan sekadar alZabidi, saya tambah lagi di sini kenyataan alUdfuwi (الأدفوي) yang menyatakan perkara yang sama. Beliau berkata:
 
"Para penukil belum ada berbeza dalam penisbahan alDarb kepada Ibrahim bin Sa'ad."
 
5. Nukilan masyhur dari salaf diterima tanpa memerlukan saringan sanad di sisi ulama. Selagi ia tidak menyalahi prinsip-prinsip asas dan kaedah-kaedah utama syara'. Kerana itu ketika memberi komentar tentang athar 'Ali bin Abi Tolib, al-Imam Ibn 'Abd alBarr berkata:
 
"Tidak lagi memerlukan Sanad kerana kemasyhurannya di sisi mereka (ulama)."
 
Peliknya, mereka yang melemahkan pandangan Ibrahim bin Saad ini ,nukilkan kalam Ibn Abdil Barr ini, namun ada dalam kalangan mereka yang masih lagi meminta sanad sahih dalam isu ini. Hairan, tidakkah mereka faham maksud kalam Ibn Abdil Barr ini?
 
6. Bahkan Pandangan yang mengingkari nukilan masyhur salaf adalah bidaah moden yang menyanggahi ulama silam.
 

Cetak  
Wallahu a'lam