SDI 0754: Benarkah Ibrahim bin Sa'ad Membenarkan Muzik? Hukum Muzik Termasuk Dalam Khilaf Yg Muktabar (2)

 
 
Soalan: 
Minta ustaz komen ttg status ini. Benarkah riwayat yg Dr Maza sebut itu batil?
 
Jawapan:
 
Pemilik FB, Dar Al-Kutawi terkeliru:
 
1) Riwayat yang dikatakan dusta oleh alSyeikh Abdullah bin Ramadhan bin Musa di dalam kitabnya alRadd 'Ala alQaradhawi wa alJudai' ialah kisah pemergian Ibrahim bin Sa'ad ke 'Iraq bertemu dengan Khalifah alRasyid. Sila lihat buku yang dimaksudkan hlmn: 397-398
 
2) Manakala status dalam Page FB Dato' Mufti Dr Maza ialah berkaitan Ibrahim bin Sa'ad yang membenarkan muzik.
 
Ini dua perkara yang berbeza. Satu tentang kisah Ibrahim bin Sa'ad ke Iraq, ketika ditanya kepada beliau tentang berlagu, lalu beliau menfatwakan sebagai halal. Manakala status Dato' Mufti tiada kaitan dengan kisah Ibrahim bin Sa'ad ke 'Iraq tersebut. Sebaliknya status Dato' Mufti adalah tentang pandangan Ibrahim bin Sa'ad yang membenarkan lagu dan muzik.
 
Hal ini bukan suatu yang asing. Ia disebut antaranya oleh al-Imam alZahabi di dalam kitabnya Siyar A'lam alNubala ketika memperkenalkan Ibrahim bin Sa'ad, beliau berkata:
 
"Aku katakan, beliau (Ibrahim bin Sa'ad) adalah dari kalangan mereka yang mengambil ringan pada berlagu (dengan muzik) berdasarkan kebiasaan Ahl alMadinah."
 
Kebiasaan penduduk Madinah mengambil ringan dalam berlagu dengan muzik ini suatu yang sedia dimaklumi. Kerana itu alHakim di dalam Ma'rifah 'Ulum alHadis meriwayatkan perkataan alAuza'ie yang berkata:
 
"Dijauhi atau ditinggalkan dari perkataan Ahli 'Iraq lima perkara, manakala dari perkataan Ahl alHijaz lima perkara...." Seterusnya beliau menyebut lima perkara yang dijauhi dari perkataan Ahli alHijaz itu, salah satunya adalah Istimaa' alMalahiy (mendengar lagu dan muzik).
 
Ibn Hajr di dalam alTalkhis alHabir pula berkata:
 
'Abd alRazzaq meriwayatkan daripada Ma'mar yang berkata: "sekiranya seorang lelaki mengambil pandangan Ahl alMadinah pada mendengar lagu (dan muzik)..."
 
Riwayat-riwayat ini menunjukkan sukanya Ahli Madinah atau sikap ambil ringan mereka mendengar lagu dan muzik adalah suatu yang ma'ruf dalam kalangan Salaf. Sekaligus ia membuktikan hukum mendengar muzik termasuk dalam persoalan khilaf yang mu'tabar.
 
3) Sekali lagi ditegaskan bahawa riwayat yang dikatakan dusta adalah riwayat Ibrahim bin Sa'ad pergi ke Iraq. Bukan seperti yang didakwa oleh pemilik FB Dar Al-Kutawi kononnya semua riwayat Ibrahim bin Sa'ad menghalalkan muzik adalah batil dan dusta.

Cetak  
Wallahu a'lam